1. EMPAT PERTANYAAN YANG MESTI DIJAWAB

Ertinya :

Daripada Abu Barzah Nadhlah Bin ‘Ubaid al-Aslami ra. berkata : Bersabda Rasullullah saw.:”Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah swt. pada hari qiamat),sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya,untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya,untuk apa  ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya,daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya,untuk apa dibinasakannya(digunakannya).”

Hadis Riwayat Tirmizi

2. SIAPA TEMAN SETIA


Ertinya :

Daripada Anas Bin Malik RA Sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda : ” Ada TIGA macam yang akan menghantarkan jenazah ketika dibawa ke perkuburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Dua diantaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal menyertainya. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalnya akan tetap setia bersamanya.”

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

3. SERINGAN-RINGAN SEKSAAN DI NERAKA

ERTINYA :

Daripada Nu’man Bin Basyir RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ” Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni NERAKA pada hari Kiamat ialah seseorang yang akan diletakkan di bawah telapak kakinya dua buah bara api neraka sehingga mendidih ( dari sebab panas kedua bara api tersebut ) otak yang ada di kepalanya. Dia mengira bahawa tidak ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah yang paling ringan seksaannya”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM.

4. MERAMPAS SEBILAH KAYU MISWAK SUDAH BOLEH MEMBAWA PADAH

ERTINYA :

Daripada Abu Umamah Iyas bin Tha’labah al-Haristhi RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang mengambil hak milik seseorang Islam dengan sumpahnya, (mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah swt telah mewajibkan neraka baginya dan telah mengharamkan syurga untuk dimasukinya. Kemudian ada seorang lelaki yang bertanya: “Kalau hanya barang yang sangat sedikit, Ya Rasulallah?. Nabi SAW menjawab: Walaupun hanya setangkai kayu arak(kayu yang digunakan untuk bersiwak)”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

Dalam sebuah hadis  yang lain riwayat daripada Umar bin Khattab RA beliau berkata :

” Setelah selesai peperangan Khaibar ada segolongan di antara sahabat Rasulullah SAW datang menghadap kepada Baginda,kemudian mereka berkata: “Si Fulan itu mati syahid,dan si Fulan itu mati syahid”,sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seorang lelaki lalu mereka berkata”Si Fulan itu juga mati syahid”.Lalu Nabi SAW bersabda: “Tidak,sama sekali tidak. Fulan itu saya lihat dimasukkan ke dalam api neraka kerana menyembunyikan sehelai selendang atau(syak perawi hadis)sehelai baju kurung (daripada harta rampasan).”

HADIS RIWAYAT MUSLIM

5. SIAPA ORANG YANG BANKRAP (MUFLIS)

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA,bahawa Rasulullah SAW ber sabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?.” Sahabat menjawab :” Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta”.Lalu Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencai maki si fulan, menuduh si fulan,memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu  daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

 

6. BAGAIMANA KITA AKAN MENGHADAPI SAKARATUL MAUT

 ERTINYA :

Daripada Aisyah R.Anha berkata : “Aku melihat RAsulullah SAW sedang menghadapi sakaratul maut dan di sisinya ada sebuah mangkuk yang berisi air, kemudian beliau memasukkan tangannya ke dalam mangkuk lalu menyapu mukanya dengan air sambil berdoa : “Ya Allah ! Berikanlah pertolongan kepadaku untuk menghadapi kepedihan mati dan sakaratul maut”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI.

7. MAHKAMAH QADHI RABBUN JALIL

 ERTINYA :

Daripada “Adiy bin Hatim RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tidak ada seorang jua pun di antara manusia ini kecuali (pada hari Kiamat nanti ) akan dipercakapi oleh Allah SWT (dihadapkan ke Mahkamah Allah SWT). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain yang sanggup menjadi jurucakap antara keduanya (sebagai orang yang ketiga atau peguam). Lalu orang yang dipercakapi oleh Allah SWT tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka ia tidak melihat melainkan  hanya pahala kebaikan yang pernah ia lakukan ketika berada di dunia dahulu. Dan apabila ia cuba melihat ke sebelah kiri, maka ia tidak melihat kecuali hanya balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dahulu. Kemudian apabila ia melihat ke hadapan maka ia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma sahaja”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

8. BERENANG DI LAUTAN PELUH

ERTINYA :

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda : ” Seluruh manusia akan berdiri di hadapan Tuhan Pencipta Alam ini (pada hari kiamat nanti), sehingga salah seorang di antara mereka ada yang akan tenggelam di dalam peluhnya sendiri sampai ke pertengahan telinganya”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

9. BERAPAKAH DALAMNYA JURANG API NERAKA?

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata : Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda : “Tahukah kamu suara apakah ini?. Kami menjawab : “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi SAW bersabda : Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

10. MAJORITI PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA

ERTINYA : 

Daripada Ibnu Abbas dan Imran Bin Hushain Radhiallahu Anhum daripada Nabi SAW sabdanya : ” Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir. Dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI MUSLIM.

11. JANGAN DIPERMUDAH DOSA YANG KECIL

ERTINYA :

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ” Ada seorang perempuan yang diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya (dipenjarakannya) sampai kucing itu mati. Wanita itu akan dimasukkan ke dalam api Neraka. Perempuan itu tidak suka memberi makanan dan minuman ketika ia memenjarakan kucing itu , juga ia tidak suka melepaskannya untuk bebas memakan dari binatang-binatang kecil yang melata di bumi”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

12. HINDARI DOA ORANG YANG KENA ZALIM

ERTINYA :

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW mengutus Muaz ke negeri Yaman (untuk menjadi amir dan Qadhi), lalu beliau bersabda kepadanya : ” Hindarilah doa orang yang terkena zalim,maka sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dan antara Allah SWT sebarang benda yang mendinding (menghalang)”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

13. DIUSIR DARI SYURGA

ERTINYA :

Daripada Abdullah Bin Mas’ud RA,Rasulullah SAW bersabda : ” Tidak akan masuk ke dalam Syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat takbur (kesombongan) sekalipun hanya seberat debu”. Lalu ada salah seorang di antara sahabat yang bertanya: ” Sesungguhnya ada seseorang yang suka bahawa pakaiannya itu baik dan kasutnya baik”. Nabi SAW menjawab: ” Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Takbur itu menolak yang benar dan menghina orang lain”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

14. HANYA BEROLEH PENAT DAN LETIH BERJAGA MALAM

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda: ” Berapa banyak orang yang bersembahyang tetapi yang didapatinya dari sembahyangnya itu hanyalah letih berjaga malam sahaja”.

HADIS RIWAYAT NASAI

15. HANYA BEROLEH LAPAR DAN DAHAGA

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta (ertinya berdusta dengan anggota), maka Allah SWT tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (maksudnya berpuasa)

HADIS RIWAYAT BUKHARI

Dan dalam riwayat Imam an-Nasai juga daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda :

” Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga”.

16. PENUNTUT YANG RUGI

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Sesiapa yang belajar ilmu pengetahuan dari jenis ilmu yang sepatutnya dipelajari hanya untuk mencapai keredhaan Allah SWT (iaitu ilmu agama),tetapi ia mempelajari ilmu tersebut tidak lain tujuannya kecuali hanya untuk mencapai sesuatu tujuan keduniaan, maka orang yang sedemikian tadi tidak akan mencium bau wangi Syurga”.

HADIS RIWAYAT ABU DAUD