1. PERKAHWINAN MITHALI

MENCARI PERKAHWINAN MITHALI

 

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

            Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan. Kecenderungan berpasangan ini telah terbukti di sebalik imbauan sejarah penciptaan Hawa. Ketika nabi Adam tinggal di syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan. Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam sebagaimana firman Allah yang bermaksud “Dialah yang menciptakan kamu daripada diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isteri agar kamu merasa senang kepadanya.”

Menurut Islam, perkahwinan bukan atas tuntutan nafsu, tetapi atas tuntutan agama. Perkahwinan bukan semata-mata untuk memuaskan shahawat tetapi untuk memenuhi kehendak misi kejadian manusia iaitu untuk beribadah kepada Allah. Kerna itulah, setiap muslim perlu merancang dan berusaha agar perkahwinan mereka tergolong dalam perkahwinan muthali.

Perkahwinan mithali adalah model perkahwinan cemerlang menurut acuan Islam bersandarkan ikatan kasih murni angota keluarga menuju redha Allah. Perkahwinan mithaliah bermula dengan matlamat yang jelas lagi tersuluh. Syariat Islam menitikberatkan perkahwinan ditegakkan sebagai satu ibadah dan mampu mendekatkan diri dengan Allah. Perkahwinan dibuat atas keinginan untuk memenuhi tuntutan syariat dan Sunnah RAsulullah SAW. Dalam Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tabrani dan Al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda “Barangsiapa yang mampu untuk berkahwin tetapi tidak berkahwin maka bukanlah dia dari golonganku”.

Dengan pendekatan ini, perkahwinan mithali dapat membendung masyarakat daripada penyakit-penyakit yang menular disebabkan hubungan seks yang liar dan bebas. Perhubungan seks yang haram ini menimbulkan pelbagai kompilasi dalam masyarakat seperti lahirnya anak luar nikah, hubungan sejenis, penyakit-penyakit kelamin seperti VD dan AIDS serta menghapuskan keturunan.

Perkahwinan mithali juga perlu berpaksikan Al-Quran dan Sunnah sebagai tonggak keluarga. Prinsip ini berasaskan hakikat bahawa manusia tidak boleh melewati batas-batas kefitrahannya sebaliknya perlu mengukuhkan kedudukannya sebagai hamba Allah dan khalifah dalam sebuah keluarga khasnya dan komuniti yang lebih besar amnya.

Cinta dan kasih sayang adalah penghias utama dalam sesebuah perkahwinan mithali. Jaminan kebahagiaan dalam sebuah keluarga sebenarnya berputik daripada cinta yang mendalam di antara suami isteri berpaksikan Islam. Cinta yang murni ini seterusnya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah yang boleh mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka apabila telah tiada di dunia nanti. Justeru hubungan kasih sayang di antara ibu bapa dan anak-anak perlu dijaga dan dipupuk agar setiap baitul muslim atau keluarga Islam dihiasi dengan kesyahduan cinta yang segar dan kasih yang mengasyikkan. Kasih sayang juga perlu sentiasa dicari dan dibina bukannya ditunggu atau dibiarkan kerna firtah manusia sentiasa dahagakan kasih sayang. Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ar-Rum:30 “Fitrah Tuhan yang telah diciptakan manusia ke atasnya, tiada pertukaran lagi bagi ciptaan tuhan itu. Itulah agama yang lurus, akan tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui.”

Pendidikan adalah tema penting dalam sesebuah perkahwinan mithali. Kecemerlangan dan kehebatan anak-anak yang menjadi tunjang dan penyeri sebuah keluarga bermula daripada pendidikan yang diberikan oleh ibubapa. Haluan yang dipilih perlulah ditapis daripada elemen-elemen yang tidak sihat yang menjadi punca keruntuhan sebuah keluarga. Perlu diingatkan bahawa anak-anak adalah aset yang mewarisi kepimpinan negara pada suatu hari nanti.

Pentarbiyahan dan pendidikan yang diterapkan perlu berteraskan ketauhidan kepada Allah, kecintaan kepada Rasul seterusnya menjunjung Al-Quran sebagai kalam Allah yang tidak ada keraguan baginya. Ibu dan bapa yang prihatin akan sentiasa membentengi anaknya daripada kebejatan moral dan akhlak yang tenat pada mutakhir ini seperti vandalisme, hedonisme dan materialisme yang menatijahkan keruntuhan iman dan akhlak anak-anak mereka.

Begitu juga, pendidikan anak-anak bukan hanya terpikul di atas bahu ibu atau bapa sahaja, malah kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab membentuk keluarganya ke arah keluarga mithali yang hebat dan cemerlang. Lelaki atau bapa merupakan ketua bagi setiap keluarga. Berdasarkan firman Allah SWT dalam surah An-Nisa ayat 34 bermaksud “Kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita. Oleh kerana itu Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan). Selaku pemimpin, pentadbir, penguasa dan pelindung rumah tangga suami wajib memastikan hal ehwal rumah tangga berjalan lancar. Isteri pula perlu mengembelingkan segala potensi kelembutan, ketabahan dan kepekaannya untuk mendidik anak-anak dengan cara yang terbaik.

Pendidikan anak akan menentukan keindahan dan kejayaan perkahwinan mithali untuk jangka masa yang panjang. Kita melihat fenomena hari ini di mana anak-anak berselerak dan terbiar disebabkan perkahwinan ibu bapa yang tidak mithali. Ibu bapa melepaskan tangan dalam perjuangan mendidik anak-anak. Amat malang sekali sekiranya kita berbuih mulut bercakap tentang perjuangan Islam sedangkan anak-anak seperti itik yang terlepas dari kandang, terbiar dan membawa diri dalam dunia sendiri. Sebelum berkahwin sepatutnya pasangan lelaki dan perempuan mendalami dan memfaqihkan diri tentang ilmu-ilmu selok belok rumahtangga. Paling penting kedua-dua pasangan perlu sembahyang dan taat kepada perintah Allah.

Perkahwinan mithali bermula dari ibu dan bapa yang mithali. Kita pasti berasa malu sekiranya pasangan suami isteri tidak mampu menjadi contoh kepada anak-anak dek kerana kejahilan tentang Islam yang disengajakan. Kita tidak mahu ibu dan ayah hanya terkelu lidahnya apabila diminta anaknya mengajar tentang solat, doa-doa harian dan bacaan Al-Quran yang betul.

Contoh terunggul perkahwinan mithali tentunya datang dari junjungan mulia RAsulullah SAW. Baginda Rasulullah selaku suri teladan sepanjang zaman telah meletakkan Khadijah binti Khuwailid sebagai wanita pertama yang bertakhta di hati baginda dan berjaya menakluki hati Rasulullah dengan cinta yang tidak pernah kunjung padam. Keindahan perkahwinan Baginda terungkap dalam pergaulannya dengan Khadijah dan isteri-isteri yang lain. Kehadiran putera dan puteri serta cucu Baginda telah menyerikan lagi kehidupan keluarga Rasulullah. Mengimpikan sebuah perkahwinan mithali, hanya tinggal mimpi jika kita tidak menyelak kembali sejarah hidup baginda sekeluarga yang amat indah itu.

Tegasnya perkahwinan mithali yang aman dan bahagia adalah impian pasangan suami isteri. Namun bukan semua rumahtangga mampu melakar dan mengekalkan kebahgiaan. Terdapat rumah tangga yang tergadah dengan kekusutan yang tiada jalan penyelesaian malah penceraian menjadi kemuncak pemilihan kerana kemurkaan terhadap hambanya. Janganlah gelanggang perkahwinan hanya satu platform atau pentas untuk bersandiwara atau bercengkerama tanpa dihiasi dengan keilmuan dan amalan yang berterusan Perkahwinan bukan hanya satu testing ground tetapi ia adalah realiti yang perlu ditempuhi dengan kearifan, kesabaran dan kejituan iman.

2. MEMILIH IBU UNTUK ANAK

 

Memilih Ibu Untuk Si Anak

 

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

 Mendidik anak bukan bermula selepas anak itu lahir, bahkan lebih awal lagi. Perancangan dalam mendidik anak mesti bermula seawal mencari jodoh. Sebelum seseorang jejaka membuat keputusan tentang pasangan hidupnya, dia perlu ingat bahawa pasangan itu adalah bakal ibu kepada anaknya. Wanita itu bukan hanya untuk dirinya sebagai seorang isteri, bahkan juga untuk anak-anaknya sebagai seorang ibu. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab setiap lelaki agar memilih ibu yang tepat untuk anak-anaknya.

Memilih ibu membawa maksud mencari jodoh isteri yang beriman, bertakwa dan mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu solehah. Untuk memenuhi tuntutan ini pemilihan isteri yang tepat perlu sejajar dengan penetapan yang dianjurkan oleh Islam. Ini amat penting bagi mencapai target ibu mithali yang menjadi hadiah kehadiran buat anak-anak yang akan dilahirkan ke dunia.

Pada suatu hari Khalifah Umar bin Al-Khattab r.a didatangi seorang lelaki yang mengadu bahawa anaknya sentiasa menderhaka kepadanya. Maka anak itu dipanggil oleh Umar, seraya diingatkan agar jangan menderhakai ayahnya serta dianjurkan agar ia mentaatinya dan menjaga hak-haknya. Tiba-tiba si anak pun bertanya kepada Umar katanya: Wahai Amirul Mukminin apakah anak tiada mempunyai hak-hak atas ayahnya? Jawab Umar: Bahkan ada! Berkata si anak “Apa dia, wahai Amirul Mukminin? Berkata Umar: Memilih ibu yang baik, memberikan nama yang baik serta mengajarnya membaca Al-Quran. Berkata si anak:Wahai Amirul Mukminin sesungguhnya bapa saya tiada membuat satu pun dari ketiga-tiga perkara itu. Ibu saya berbangsa Afrika dahulunya isteri seorang majusi. Saya pula diberi nama Khunfusak (bermaksud ‘lipas’) dan juga tidak pernah mengajar saya satu huruf pun dari Al-Quran. Lalu Umar berkata kepada ayahnya: ‘Jika demikian, kamu telah derhaka kepada anakmu sebelum dia derhaka kepada mu.’

Teguran Umar itu bertepatan dengan hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah saw telah bersabda “Seseorang wanita dinikahi kerana empat sebab: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah engkau mengutamakan yang beragama, itulah pilihan yang terbaik.” Baginda saw menegaskan betapa pentingnya wanita yang mempunyai asas agama yang mantap dan amalan-amalan yang kuat yang mampu membentuk dirinya sebagai srikandi mulia dalam sesebuah institusi keluarga. Agama diiktifar sebagai kriteria tertinggi berbanding rupa paras, kekayaan dan darjat. Agama inilah yang dapat menjamin kemampuan si ibu untuk mendidik anak.

Pemilihan ibu yang tepat untuk si anak ini tentunya timbul atas kesedaran untuk menjadikan perkahwinan sebagai saham akhirat. Ini kerana pelayaran sebuah perkahwinan bukanlah seperti melepaskan batuk di tangga atau semudah menyuapkan makanan ke mulut tanpa berfikir himpitan mahupun kekangan yang akan ditempuhi. Perkahwinan yang dianjurkan Islam perlulah berkemudi hingga ke pelabuhan dan hasilnya dapat dinikmati di akhirat kelak.

Perkahwinan beginilah yang mampu membuahkan anak-anak yang soleh dan solehah. Lihat sahaja perkahwinan yang Rasulullah dengan isterinya yang tercinta Ummul Mikminin Saidatina Khadijah. Kebahgiaan yang dibina atas jihad kepada Islam ini mendamaikan dua hati yang diketemukan walaupun bertingkah jurang dari segi umurnya. Hasilnya zuriat yang lahir dididik dengan sempurna, menjadi tokoh ummah yang dikenang sepanjang zaman.

Ibu adalah manusia yang paling dekat dengan si anak. Ibu yang beriman dan bertaqwa akan melahirkan waris-waris yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Contohilah Khunsa’, srikandi Islam yang berjaya dan mentarbiyah anaknya seramai tiga orang. Ketika anak pertamanya mati syahid beliau masih tersenyum kerana masih ada anak yang kedua syahid yang kedua yang diharapkan akan gugur sebagai syuhada. Kejayaan Khunsa’ menanam semanagt jihad pada jiwa anak-anaknya merupakan hasil daripada jiwa besar seseorang wanita yang akrab dan intim dengan ilmu-ilmu Islam dan amalannya.

Tidak salah mencari pasangan yang menawan, kaya dan berdarjat. Lagi lengkap pakej kesempurnaan, lagi baik. Asalkan krieteria utama iaitu beragama tidak dicicirkan. Seorang anak tidak boleh dididik dengan wang ringgit atau kekayaan si ibu. Si ibu yang cantik bukan jaminan bahawa dia mampu mendidik anak dengan baik. Begitu juga darjat dan keturunan bukanlah penyebab yang dapat membentuk personaliti soleh dan solehah anak. Tetapi yang pasti, agama si ibu adalah satu jaminan ke arah kesempurnaan didikan anak. Ibu yang berakhlak, berilmu, taqwa, kuat beribadah secara adatnya mampu membimbing anak ke jalan bahagia. Sekurang-kurangnya percikan akhlak solehah si ibu mampu mendorong si anak secara lisanul hal. Atau setidak-tidaknya doa si ibu yang luhur peribadi ini mampu menggamit hidayah, rahmat dan keampunan Allah buat si anak.

Malang sekali masyarakat hari ini tidak mengambilkira soal pemilihan ibu untuk si anak. Mereka melihat perkahwinan ini dari sudut kepuasan nafsu semata. Si gadis yang comel, seksi dan bergaya itulah yang diutamakan. Jika si dia kaya dan berdarjat lagi mahu. Soal akhlak, iman dan alam diketepikan. Semasa memilih pasangan tidak terlintas soal anak. Bila anak sudah lahir, anak menjadi mangsa kejahilan dan kebobrokan akhlak ibu. Mereka lupa tanggungjawab wanita sebagai isteri dan ibu yang berperanan untuk memelihara dan mendidik anak-anak menjaga kehormatan diri dan menjamin keperluan rumahtangga yang mencukpi.

Bukan lelaki sahaja perlu mencari ibu yang betul untuk si anak, malah para wanita juga perlu memilih bapa yang tepat untuk anaknya. Wanita yang solehah perlu merancang memilih bapa soleh untuk anak-anak mereka. Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmidzi “Apabila datang kepada kamu peminang (lelaki) yang engkau puas hati dengan agamanya dan kelakuannya, makakahwinilah dia”. Betapa malangnya wanita mukminah yang jatuh ke tangan ketua keluarga yang “thaleh” dan curang akhlaknya serta memandang enteng prinsip-prinsip Islam dan ibadah-ibadah. Apalah gunanya anak-anak yang hidup dalam keluarga yang terajunya tidak mengindahkan hukum dan seruan Allah.

Tegasnya, demi untuk zuriat yang bakal lahir, setiap pemuda dan pemudi wajib merancang dengan baik dalam mencari bakal ibu dan bapa kepada anak-anak. Jika gagal, tidak mustahil anak-anak nanti menjadi rosak dan akhirnya menjadi derhaka kepada ibu dan ayah. Jangan jadi seperti yang dikatakan oleh Sayyidina Umar: ‘Kamu telah menderhaka kepada anakmu, sebelum anakmu menderhaka kepada mu…’

3. NALURI KASIH SAYANG

Mendidik anak dengan naluri kasih sayang

 

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah ruah. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang ia sukar dan meletihkan. Kalau tidak kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah semai di hati si ibu dan si ayah, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik anak.

Naluri kasih sayang tentunya menjadi bekal pendorong dalam mendidik anak. Bayangkan jika manusia, terutamanya ibu dan ayah tidak ada rasa cinta pada anak-anak. Mereka akan melihat anak-anak seperti mereka melihat kayu dan batu. Bahkan mereka mungkin akan menganggap si anak sebagai beban yang menyusahkan. Tentunya berat untuk mereka mendidik, bahkan menjaga mereka. Bersyukurlah kepada Allah yang mengurniakan rasa sayang kepada anak dan sekelian kanak-kanak. Inilah bekal motivasi semulajadi dalam kita mendidik anak-anak.

Di mana letaknya kasih sayang? Tentunya ia soalan yang sukar untuk ditanggapi. Payah untuk kita mengesan di mana letakkan rasa sayang. Umum mempercayai ia terletak di hati. Hati di sini bukannya hati fizikal. Bukan juga jantung. Hakikatnya ia adalah satu perasaan halus yang ada di sanubari manusia. Rasa semulajadi yang menyuntik bayu damai dan bahagia. Inilah nikmat Allah yang indah. Allah jadikannya bukan sia-sia. Tujuannya, agar rasa kasih sayang itu digarap sebagai pendorong ibu bapa dalam mendidik dan membesarkan anak.

Kasih sayang mengubah persepsi seorang ibu dan bapa terhadap anak. Daripada satu beban yang menyulitkan, menjadi satu cahaya mata yang membahagiakan. Umpamanya, seorang bapa yang mempunyai ramai anak, kadang-kadang rasa terbeban dengan tanggungjawab yang semakin bertambah dan perbelanjaan yang besar. Ibu pula kadang-kadang terlintas betapa sakitnya mengandung dan melahirkan anak-anak seorang demi seorang. Betapa letihnya menjaga dan melayan kerenah di anak. Tetapi setelah mendengar tangisan pertama anak yang lahir maka susutlah beban yang terasa. Setelah diamati wajah barisan anak-anak yang sedang nyenak, maka hilanglah keletihannya. Apabila menyaksikan anak-anak bermain riang di taman, maka luputlah kesakitan lampau. Apa lagi jika si anak menjadi seorang yang soleh dan berjaya. Semua senario ini adalah nikmat kasih sayang semulajadi kurniaan Allah kepada kita.

Dalam konteks pendidikan, naluri kasih sayang ini dapat berperanan dalam tiga keadaan iaitu:

Pertama, Allah menjadikan naluri kasih sayang ini agar manusia menjadikan usaha mendidik anak itu satu yang menyeronokkan. Sambil girang menimang anak si bapa boleh menyelitkan acah-acahnya dengan unsur tarbiyah. Sambil leka mendodoinya, si ibu boleh mengalunkan lagu-lagu yang membangkitkan jiwa, iman dan semangat juang. Sambil seronok bergurau senda, bertempuk tampar, si ibu dan ayah boleh melatih mereka erti kerjasama dan mementing diri, erti timbang rasa dan keegoan, erti ketaatan dan keengkaran, erti sopan dan biadap, serta erti dosa dan pahala. Sambil bahagia bersiar-siar dan berkelah, anak-anak boleh diajar soal-soal ketuhanan, tatacara ibadah, keluhuran akhlak dan teknik bermasyarakat. Ringkasnya, segenap aktiviti yang menyeronokkan itu boleh berubah wajahnya menjadi medan tarbiyyah insaniyah.

Kedua, naluri kasih sayang mencipta ketabahan dan kegigihan mendidik buat ibu dan bapa. Kadang-kadang ibu dan bapa terasa letih mendidik anak. Nasihat demi nasihat. Pesanan demi pesanan. Terugan demi teguran. Tapi anak tetap tidak endahkan. Di sinilah perlunya ibu bapa mengubah naluri kasih sayang tadi kepada kesabaran dan kegigihan yang tidak kunjung henti. Pandanglah air muka anak-anak. Belai mereka tika berkomunikasi. Luahkan rasa sayang dan harapan. Teruskan usaha tarbiyah itu secara berterusan dengan penuh kesabaran.

Ketiga, fitrah kasih sayang dalam jiwa manusia juga mendorong pengorbanan luar biasa si ibu dan bapa terhadap anak-anak. Pengorbanan yang lahir dari kasih yang ini dapat membina momentum semangat dalam mendidik anak. Bagi si ibu dan bapa, biarlah masa, kudrat empat kerat, wang mencurah-curah, bahkan nyawa dikorbankan, asalkan anak-anak menjadi manusia yang berjaya. Bahkan sejuta keperitan dan penderitaan mampu diharungi dengan tabah semata-mata untuk membesarkan dan mendidik anak. Allah s.w.t. tentunya tidak akan membiarkan hambanya begitu sahaja. Allah menjamin rahmatnya kepada ibu dan bapa yang mengasihi dan merahmati anak-anaknya.

Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a. katanya: Seorang wanita telah datang kepada Sayyidatina Aisyah r.a. Maka Aisyah memberikan kepadanya tiga biji kurma. Kemudian, wanita itu memberikan dua biji kurma kepada dua orang anaknya. Sebiji lagi dipegang untuk dirinya. Setelah kedua-dua anak itu selesai makan kurma masing-masing, mereka pun meminta kurma yang masih ada di tangan ibunya. Lalu si ibu membahagikan kurma itu kepada dua, lantas memberikan kepada setiap seorang anaknya sebelah kurma. Apabila datang Rasulullah s.a.w. maka Aisyah menceritakan hal itu kepada Baginda. Lalu Baginda pun bersabda kepada Aisyah: “Kenapa pula adinda hairan dengan apa yang berlaku itu? Sebenarnya Allah telah merahmati si ibu itu sebagaimana dia merahmati anak-anaknya.”

Walau bagaimana pun, kasih sayang kepada Allah tidak dapat mengatasi kasih sayang kepada anak-anak. Dalam kasih ada ujian. Kadang-kadang ibu bapa diuji dengan dua persimpangan. Antara perintah Allah dan rasa sayang pada anak. Tentunya yang patut dipilah ialah perintah dan redha Allah taala. Pada zahirnya, memilih perintah Allah bermakna ‘mengorbankan’ anak. Tetapi hakikatnya, itulah kemanisan dan keindahan dalam perasaan kasih kepada si anak. Sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim terpahat kukuh sebagai bukti bahawa kadang-kadang naluri kasih sayang itu terpaksa dilupakan demi perintah Allah.

Mungkin kisah Syaikh Hasan Al-Banna, seorang tokoh gerakan Islam abad ini boleh dijadikan contoh. Beliau adalah pemimpin dakwah yang mengorbankan seluruh tenaga, masa dan kudratnya untuk perjuangan Islam. Beliau sentiasa menjadikan sambutan Hari-hari Raya atau hari kebesaran sebagai peluang untuk mendekati golongan muda. Pada suatu Hari Raya, anaknya Saiful Islam telah ditimpa sakit yang berat sehingga hamper-hampir mati. Isterinya berkata: Kalau boleh, kanda bersama-samalah keluarga pada hari raya ini. Tambahan pula anak kita sedang sakit” Beliau menjawab: ’Sekiranya Allah bermurah untuk menyembuhkan anakku daripada penyakit, maka bagiNya segala pujian dan kesyukuran. Namun, jika Allah mentakdirkan dia meninggalkan kita, maka datuknya telah tahu mana jalan untuk ke kubur. Lalu dia membaca firman Allah dari ayat 24 Surah Al-Taubah yang bermaksud:

“Katakanlah, jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarha kamu, harta kekayaan yang kamu perolehi, barang perniagaan yang kamu bimbang kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sangat sukainya lebih kamu cintai daripada Allah dan RAsulnya serta jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah memberikan perintahnya sedang Allah tiada memberi petunjuk kepada orang-orang yang jahat”

Tegasnya, naluri kasih sayang itu adalah satu rahmat Allah yang amat berharga. Setitis nikmat kasih sayang ini, memberikan kita selaut manfaat dan kebaikan khususnya dalam usaha mendidik anak. Namun dalam keindahan asyik maksyuk kasih sayang kepada anak tersirat ujian kepada ibu dan bapa. Ujian yang perlu dilepasi bagi membuktikan bahawa kasih kepada Allah adalah mengatasi kasih sayang yang lain. Bahkan hakikatnya, kasih kepada anak itu berakar umbi daripada kasih, sayang serta rahmah Allah Azzawajalla.

4. MEMUPUK NALURI KASIH SAYANG

Membajai naluri kasih sayang

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Seperti yang telah dihuraikan dalam keluaran yang lalu, naluri kasih sayang adalah bekalan penting dalam mendidik anak-anak. Kasih sayang itu tidak lahir secara tiba-tiba. Ia perlu dibenih dan dibajai. Ibarat pohon yang subur. Ia bermula dengan benih yang baik. Dijaga, disiram dan dibajai pada kadar yang sesuai. Bagitulah kasih sayang yang memerlukan usaha dan ikhtiar dari manusia sendiri, di samping lontaran nikmat kasih semulajadi yang dikurniakan oleh Allah.

Ada yang menyangka bahawa kasih sayang itu bersifat statik. Jika sudah ada maka terjamin selama-lamanya ada, dan terus kekal. Lantas mereka mengabaikan usaha untuk memupuk dan menyuburkan kasih sayang. Hubungan kekeluargaan menjadi kaku, beku, kering dan membosankan. Mereka fikir, kasih sayang itu seperti batu bukit, yang tidak berganjak, tidak bergerak dan kukuh tanpa diusik. Padahal, kasih sayang itu bagai batu permata, yang perlu digali, dikeluarkan, dicanai dan sentiasa digilap. Agar ia terus bergemerlapan mewarnai keindahan nikmat kehidupan.

Soalnya, bagaimana cara untuk menyuburkan kasih sayang ini. Rasulullah s.a.w. bukan sahaja menganjurkan umatnya menyebarkan kasih sayang bahkan menunjukkan contoh praktikal bagaimana dihayati. Baginda menyebut dalam riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi daripada Amru bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya bahawa: ‘Bukan dari golongan kami sesiapa yang tidak merahmati orang yang kecil dari kalangan kita dan tidak mengetahui hak orang-orang yang besar dari kalangan kita’

Bahkan Baginda menegur para sahabat yang tidak bersifat belas ihsan terhadap kanak-kanak. Menurut riwayat al-Bukhari daripada Aisyah r.a., pernah satu ketika, seorang Arab Badawi datang menemui Nabi s.a.w lantas bertanya kepada Baginda: Adakah kamu mencium anak-anak kamu? Kami tidak mencium mereka” Maka Nabi s.a.w. menjawab:”Apa boleh buat, kerana Allah telah mencabut sifat rahmat dari hati kamu!”

Al-Bukhari meriwayatkan juga daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah telah mencium cucunya Al-Hasan bin Ali, dan pada masa itu Al-Aqra’ bin Habis sedang duduk bersama-samanya. MAka Al-Aqra’ berkata: ‘Sesungguhnya saya mempunyai sepuluh orang anak, dan saya tidak pernah mencium seorang pun dari kalangan mereka.” Rasulullah memandang ke arahnya, lantas bersabda: ”Sesiapa yang tidak mengasihani orang lain, maka dia tidak akan dikasihani.”

Apa yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. mesti diikuti oleh semua ibu dan bapa. Secara ringkasnya perkara-perkara berikut boleh dilaksanakan bagi membajai rasa kasih sayang terhadap anak-anak:

  • Menghayati rasa kasih itu di dalam hati agar ia terpasak kukuh, dengan meluruskan niat bahawa kasih itu adalah kerana Allah.
  • Berdoa agar Allah mengeratkan kasih sayang dengan membayangkan wajah anak-anak semasa berdoa.
  • Membelai anak-anak secara fizikal seperti memeluk, mencium, menggosok-gosok, menyapu minyak atau apa-apa belaian yang sesuai.
  • Membelai perasaan mereka dengan komikasi intim seperti mengucapkan rasa sayang, rindu, penghargaan dan sebagainya.
  • Bermain dan bergurau dengan mereka
  • Beriadah atau melancong bersama-sama

Memang benar kasih sayang ibu dan bapa terhadapnya itu adalah fitrah. Tetapi di dalam kalbu manusia bukan sahaja ada naluri kasih, bahkan terdapat juga nafsu yang boleh mendorong kearah kebobrokan. Fitrah yang murni ini, jika tidak diusahakan agar terus mekar dan bersinar, boleh dimalapkan dengan nafsu ammarah yang mengajak kepada kehancuran dan kemusnahan. Tidak hairanlah kenapa ada manusia yang sanggup membelasah atau mendera anak sendiri, bahkan ada merogol dan membunuh anak kandung tanpa belas ihsan.

Tegasnya, jika ibu bapa gagal membajai dan meningkatkan tahap kasih sayang, ia membuka ruang kepada nafsu untuk menguasai diri. Manusia yang dikawal nafsu boleh menjadi lebih ganas dan lebih jahat daripada haiwan. Haiwan yang ganas seperti singa pun tahu menyayangi anak-anak mereka. Mereka membelai, menjilat si anak di samping memberikan makanan dan susu. Bila si anak meningkat remaja, anak singa itu diajar pula cara-cara untuk berburu. Rusa yang hendak dimakan itu tidak dibunuh terus, tetapi dicederakan sahaja supaya anak-anaknya boleh belajar bagaimana menengejar rusa. Semua ini berlaku kerana naluri kasih yang Allah campakkan dalam hati binatang itu.

Allah sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran manusia. Ada binatang yang kasih kepada anaknya sehingga sanggup berkorban mempertaruhkan nyawa sendiri. Penguin adalah satu contoh binatang yang bersedia mengharung kepayahan demi mengeram dan membesarkan anak. Setelah penguin betina bertelur, ia perlu keluar mencari makanan sebagai persediaan bila telur itu menetas. Penguin jantan berperanan untuk mengeramkan telur itu selama empat bulan dalam musim ribut. Penguin jantan membuat pengorbanan untuk mengeram telur itu selama empat bulan tanpa berganjak sehingga ia kehilangan separuh berat badan kerana tidak dapat keluar mencari makanan, serta bertahan dalam ribut yang kuat.

Selepas tamat tempoh itu, penguin betina datang dan mengambil alih tugas menyambit kelahiran anak, seterusnya menjaga dan mendidik anak dalam beberapa bulan tanpa mempunyai banyak peluang untuk makan. Nampaknya, kedua-dua ibu dan bapa penguin menunjukkan gambaran naluri kasih sayang terhadap anak-anak mereka. Allah menjadikan mereka berkerjasama semata-mata untuk membesarkan anak-anak.

Apa yang menghairankan, terdapat manusia yang dikurniakan aqal fikiran tidak bersifat belas kasihan kepada anak-anak mereka. Akibat terhakisnya naluri kasih sayang inilah, maka ada segelintir ibu bapa yang sanggup mendera dan menyakiti anak-anak yang lemah dan tidak berdaya itu. Bila nafsu ammarah menguasai diri, mereka hilang pertimbangan, luput kewarasan, lantas mereka memukul anak-anak dengan objek keras, mencucuh badan anak dengan rokok, menendang si kecil itu sekuat-kuatnya, menampar pipi yang comel itu dengan semahu-mahunya, disusuli dengan kata-kata yang menghina, mengherdik, dan meluputkan nilai kemanusiaan.

Tidak kurang juga manusia yang sanggup membunuh bayi yang baru lahir. Si kecil yang masih merah, tidak mempunyai apa-apa dosa menangis-nagis manja minta didodoi dan disusui. Si kecil yang lemah, tidak berdaya itu menyondol-nyondol tangan ibunya minta disantuni. Namun tangan si ibu yang tiada peri kemanusiaan sanggup, membungkus bayinya sendiri yang masih bernyawa untuk dicampakkan. Jika si kecil itu merengek-rengek, mereka sanggup menyumbat gumpalan kain ke dalam mulut bayi yang malang itu. Supaya bayi itu diam. Lalu dibuang bayi itu ke dalam longkang, sungai, tong sampah, ke dalam hutan atau dimana disukai. Bahkan ada yang tergamak menyumbat bayi sendiri dalam lubang tandas, lantas ditariknya pam air supaya bayi itu hanyut dalam sesalur dan bersatu dengan najis-najis di kolam kumbahan. Alangkah hodohnya manusia yang hilang kemanusiaan ini.

Si ibu-ibu pembuang anak, juga si bapa-bapa pendera ini tidak sedar bahawa azab yang dahsyat menanti mereka di akhirat nanti. Melainkan jika mereka bertaubat. Mereka lupa bahawa anak-anak itu bukan hak mutlak mereka. Walau pun lahir dari zuriat sendiri, tetapi anak itu adalah makhluk Allah yang ada kehormatan, dan ada hak. Membunuh mereka atau mencederakan mereka adalah noda yang besar di sisi Allah, serta jenayah yang amat berat di sisi ummah.

Tegasnya, naluri kasih sayang itu satu benih yang perlu dijaga. Manusia sebagai khalifah, diberi pilihan. Mereka boleh menyuburkan dan merimbunkannya. Mereka juga boleh melayukan bahkan mematikan kasih sayang itu. Apa yang penting ialah kesedaran ummah tentang betapa pentingnya ibu bapa digembelingkan supaya mengasihi anak-anak berlandaskan ajaran Islam dan meneladani contoh unggul Rasulullah Sallallahi ‘alaihi wasallam.

5. NAMA ANAK

Persediaan Awal: Memilih Nama Anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Pasangan ibu bapa perlu membuat persediaan awal sebelum menyambut kelahiran anak. Persediaan yang penting bukan sahaja dari sudut kewangan dan kesihatan, bahkan juga dari sudut kerohanian dan pendidikan. Keinsafan ibu dan bapa tentang besarnya tanggungjawab sebagai pendidik dan ketua perlu ditanam agar anak yang lahir nanti menerima layanan dan asuhan yang sepatutnya. Antara persediaan awal termasuklah mendedahkan kepada janin dengan alunan dan murni di samping bersedia memilih nama yang sesuai untuk anak itu.

Didikan dalam kandungan

Seseorang anak sudah perlu dididik ketika dia masih dalam kandungan ibunya. Walau pun anak itu belum mampu berkata-kata atau melihat, namun dia dipercayai sudah boleh mendengar, merasai, dan menerima gelombang perasaan dari ibunya atau orang-orang yang berhampiran. Oleh yang demikian, ibu dan bapa digalakkan banyak menenangkan perasaan dengan membaca al-Quran, berzikir dan bertafakur. Ayat-ayat suci yang dibacakan itu dapat mendamaikan hati ibu seterusnya membantu perkembangan jiwa murni anak. Suara bacaan al-Quran juga mampu mendatangkan barakah dan rahmah dalam pembentukan anak.

Bahkan ada juga yang berpendapat pengaruh pengajaran yang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang dialunkan itu mampu menyelinap masuk ke dalam sanubari janin, lantas membentuh potensi peribadi soleh sebagaimana terkandung dalam pengajaran ayat itu. Sebab itulah, terdapat gesaan agar, anak dalam kandungan tadi diperdengarkan bacaan Surah Luqman yang mengandungi pengajaran-pengajaran kea rah menjadi anak soleh, di samping surah-surah lain seperti Surah Al-Fatihah, Surah Al-Insyirah, Surah Al-Alaq, Surah Maryam, dan Surah Yusuf.

Si ibu juga dianjurkan agar bertaubat dan membersihkan jiwa serta mengelakkan dari terjebak dalam maksiat dan lagha sepanjang mengandung. Perasaan ibu perlulah damai. Jika stress, bayi boleh menjadi lemah. Wujudkan suasana girang, gembira dan syukur. Elakkan kemuraman, pertengkaran dan kalimah-kalimah yang kotor. Oleh itu peranan bapa selaku lelaki paling hamper amatlah penting. Bahkan bapa disarankan juga perlu bergilir-gilir membaca al-Quran dan berzikir bagi menceriakan halwa telinga anak yang di dalam kandungan.

Memilih Nama Anak

Kebiasaannya, sebelum seseorang anak lahir ke dunia, ibu dan bapa sudah berkira-kira untuk mencari nama yang sesuai untuk anak yang tersayang. Mencari nama yang baik bukan untuk mendapat pujian. Atau untuk melambangkan status sosial dan seumpamanya. Tetapi ia adalah satu ibadah yang dituntut oleh agama.

Abu Dawud telah meriwayatkan dari Abu Darda’ r.a. katanya, Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu pada Hari Kiamat, maka perelokkanlah nama-nama kamu.”

Memperelokkan nama bermaksud memilih nama yang selari dengan tuntutan Islam. Memilih nama perlu ada tujuan. Bukan sekadar untuk memudahkan panggil atau untuk menggabungkan nama ibu dan bapa serta datuk-datuk dan nenek-nenek, bahkan ia berkaitan dengan soal pembentukan peribadi anak itu. Bukankah panggilan itu mengandungi doa. Setiap orang yang memangilnya, dikira membuat doa untuknya.

Jika seorang anak itu namanya ‘Mujahid’ yang bermaksud seorang pejuang atau orang yang berjihad, setiap orang akan memanggilnya dengan gelaran pejuang. Secara tidak langsung dia didoakan untuk menjadi pejuang pada jalan Allah swt. Sebaliknya jika seorang itu dinamakan dengan nama ‘Hazan’ yang bermaksud Berdukacita, setiap orang akan memanggilnya sebagai seorang yang sedang sedih dan berdukacita. Secara tidak langsung pangilan demi panggilan itu boleh memberikan kesan kepadanya.

Nama Yang Tidak Baik

Malangnya hari ini, terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengambil berat soal nama. Ada yang memilih nama yang kelihatan indah tetapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa erti, atau lebih malang lagi ia membawa erti yang negatif. Mereka suka nama-nama yang nampak moden seperti Danish, Natasya, Zana, Susan, Hyfa, Dayanty atau seumpamanya. Lebih menyedihkan lagi, jika nama-nama itu ditiru atau diambil nama-nama orang kafir.

Ada juga yang menggabungjalin nama ibu dan bapa. Mereka lakukan tanpa mengambil kira maksud gabungan perkataan itu . Contohnya, ibu yang bernama Safrina dan bapa bernama Ihsan, anaknya diberi nama Safih Insan, yang bermakna ‘Manusia yang Bodoh’. Kadang-kadang nama yang digabungkan itu menjadi panjang tanpa sebarang erti seperti Nor Sajamifulah Niruszam atau seumpamanya.

Terdapat dikalangan ibu bapa yang cuba memberikan nama yang baik tetapi mereka tersilap langkah, contohnya meletakkan perkataan Abdul atau lebih tepatnya ‘Abd yang membawa maksud Hamba dengan perkataan lain selain nama-nama Allah seperti Abdul Muhammad, dan Abdul Musa. Ada juga yang silap dengan hanya meletakkan perkataan Abdul untuk anaknya. Jika mahu ringkas mereka sebenarnya boleh menggunakan nama Abduh yang bermaksud HambaNya.

Kadang-kadang terdapat ibu bapa yang mahu menggunakan kreativiti dengan menamakan anaknya sempena sesuatu peristiwa atau tempat sehingga menjadi janggal seperti Mohd Felda, Nor Malaysia, Saiful Johori, Mohd Toyota, Siti Sukom dan seumpamanya. Mereka sebenarnya menjadikan anak-anak mereka mangsa ejekan sepanjang hayat.

Jika bapa tersilap memilih nama, maka sewajarnya dia berusaha agar nama itu ditukar kepada nama yang lain. RAsulullah s.a.w. pernah bertindak menukar nama seseorang dengan nama yang lebih baik. Al-Termizi dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. bahawa Sayyidina Umar bin Al-Khattab r.a. mempunyai seorang anak perempuan namanya ‘Aashiah (Penderhaka), maka Rasulullah s.a.w. menukarkan namanya menjadi Jamilah (Yang Cantik).

Sebaik-baiknya para bapa merujuk kepada para ilmuan atau sekurang-kurangnya membelek buku-buku panduan sebelum memilih nama yang sesuai untuk anak. Ingatlah bahawa nama itu adalah identiti terpenting bagi seseorang manusia. Kesan pemberian nama itu bukan terhenti setakat di dunia sahaja bahkan melarat sehingga ke akhirat. Oleh itu, menjadi kemestian kepada para bapa untuk memilih nama yang baik-baik.

Nama Yang Baik

Rasullullah s.a.w. menganjurkan agar anak-anak dinamakan dengan nama-nama yang mempunyai maksud baik atau dinisbahkan kepada orang yang baik. Bapa-bapa boleh memilih nama-nama Rasul seperti Hud, Nuh, Ilyasak dan lain-lain; atau nama para Sahabat seperti Mu’az, Talhah, Zubair, Handzalah dan lain-lain; atau nama para ‘ulama’ seperti As Syafie, Al Bukhari, As Subki, Al Andalusi, Al Tabari, Al Nakhai’i, Al Zamakhsyari, Ibnu Qayyim, Ibn Taimiyyah, Al ‘Izz, dan lain-lain. Mudah-mudahan anak itu, dapat menghayati kehebatan tokoh-tokoh silam lantas menjadikannya sebagai ikutan.

Antara nama yang afdhal ialah nama yang dinisbahkan kepada nama Allah, tetapi dimulai dengan kalimah ‘Abd. Nama-nama Abdullah, Abdul Quddus, Abdul Jabbar, Abdul Qahhar, Abdul Fattah, Abdul Mu’izz dan lain-lain adalah contoh bagi kategori ini. Di samping itu para bapa digalakkan memilih nama-nama yang mempunyai nama indah dan seboleh-bolehnya tepat dengan nahu Arab. Contohnya nama Saif bermakna pedang, tetapi nama Saiful tidak mempunyai apa-apa makna kecuali jika disandarkan kepada perkataan lain seperti Saiful Islam yang bermaksud Pedang Islam. Sebaik-baiknya juga nama yang dipilih itu menepati kesesuaian jantinanya.

Kesimpulannya, ibu bapa yang akan menyambut bayi perlu membuat persediaan awal sebelum tiba masa kelahiran. Persediaan seperti, membanyakkan bacaan al-Quran, berzikir dan bertafakur serta mencari nama yang sesuai untuk anak perlu diutamakan. Sebagai pendidik, ibu dan bapa tidak boleh mengambil lewa soal-soal ini. Ingatlah, apa yang disemai hari ini, itulah yang akan dituai esok hari.

6. PEDOMAN AGAMA DALAM MEYAMBUT KELAHIRAN

Pedoman Agama dalam Menyambut Kelahiran 

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

Tangisan pertama si anak yang baru meluar bertemu alam dunia, memberi makna besar kepada ibu. Seorang ibu, juga bapa tentunya mengukir senyum gembira tatkala melihat anak yang ditunggu-tunggu lahir ke dunia. Namun di sebalik kegirangan itu terselit tanggungjawab yang mula terpikul oleh bapa dan ibu. Tanggungjawab yang bermula sejak saat kelahirannya itu, perlulah dipikul berbekalkan pedoman wahyu.

Islam agama yang maha hebat. Ia menerangkan dengan terperinci tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyambut kelahiran anak Langkah-langkah ini tentunya terlukis melalui gerak laku Baginda Rasulullah SAW sekalu pendidik terulung sepanjang zaman.

Dalam perbincangan yang lepas, kita telah menyentuh soal memilih nama anak yang baik. Begitu juga cara mengelakkan kesilapan dalam memilih nama. Tentunya menamakan anak itu antara perkara awal yang dilakukan. Namun ada tindakan lain yang perlu dilakukan segera, sebaik sahaja anak muncul di alam dunia. Dalam siri ini kita melihat beberapa langkah penting dalam tempoh segera selepas kelahiran.

Syukur dan memberitakan kelahiran

JIka ditanya kepada seorang bapa, atau ibu, apakah antara peristiwa yang manis dalam hidupnya, tentu antara jawapannya ialah ketika dia menyambut kelahiran anak. Kegembiraan menyambut kelahiran anak adalah antara kemuncak kebahagiaan dalam hidup berumahtangga. Perasaan girang, syahdu dan tenang akan membelai hati apabila mendapat berita kelahiran, apa lagi selepas memandang dan memeluk anak buat kali pertama.

Kegembiraan ini tentunya perlu disandarkan kepada syukur yang melimpah kepada Allah. Syukur atas nikmat dan rekezi anak kurniaaanNya. Syukur di atas keselamatan nyawa dan kesihatan anak dan ibunya. Syukur atas kehilangan rasa runsing, dan syukur atas segalanya. Ibu dan bapa perlu ingat bahawa Allah menjamin akan menambahkan nikmat kepada hamba-hambanya yang bersyukur.

Selepas itu, bapa janganlah lupa memberitakan khabar gembira itu kepada keluarga, dan rakan-rakan. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali untuk berbanga-bangga. Tapi, atas semangat agama yang menganjurkan agar kita memberitakan nikmat kepada orang lain. Memberitakan nikmat adalah sebahagian dari bersyukur. Secara tidak langsung, mereka yang menerima berita dapat mendoakan buat kita dan turut melafazkan syukur kepada Allah.

Ucapan tahniah dan menggembirakan

Bagi saudara mara, sahabat handai, jaga jiran-jiran yang mendapat berita kelahiran, janganlah lupa untuk menyatakan kegembiraan dan ucapkan tahniah, serta memanjatkan doa buat keluarga yang menyambut kelahiran itu. Lafaz yang datang dari hati yang tulus akan membuahkan ikatan ukhuwwah yang mantap sesama muslim. Ia mampu mengeratkan hubungan keluarga, memulihkan kerenggangan, dan menghilangkan rasa curiga yang berbaki dalam hati.

Ucapan tahniah sunat disegerakan. Ucapan tahniah pada waktu kemuncak kegembiraan memberikan impak yang segar kepada mereka. Jika sempat dan sesuai, ziarahlah mereka di hospital atau di rumah. Bawalah ole-ole sebagai simbol ingatan dan kegembiraan. Jika tidak, telefonlah, atau sekurang-kurangnya, hantarlah SMS bagi menyatakan rasa hati. Janganlah bertangguh, kerana ia bukan sahaja bermanfaat bahkan dituntut oleh Islam.

Al-Quran sendiri merakamkan detik-detik ucapan tahniah dan menggembirakan bagi mereka yang menyambut kelahiran. Dalam Surah Hud (ayat 71) Allah menceritakan bagaimana Jibril menggembirakan Nabi Ibrahim dan Sarah dengan khabar kelahiran Ishak. Begitu juga Surah Maryam (ayat 7) dan Surah Ali Imran (ayat 39) yang menyebut bahawa para Allah dan Malaikat menggembirakan Nabi Zakaria dengan kelahiran Yahya.

Bahkan kisah Abu Lahab yang gembira atas kelahiran Baginda SAW menjadi bukti bahawa menyatakan kegembiraan atas kelahiran anak sesuatu yang mulia. Kerana gembira, Abu LAhab memerdekakan Tsuwaibah, hambanya yang menyampaikan berita kelahiran Baginda Rasulullah SAW. Imam Al-Bukhari meriwayatkan bahawa, Allah membalas kebaikan itu selepas kematiannya dengan memberikannya minum dari celah air Baginda Rasulullah saw.

Azan dan iqamah ke telinga

Dalam tempoh yang segera yang mungkin, anak itu perlu diazan dan diiqamatkan. Adalah sunat untuk azan di teliga kanannya, dan iqamat di telinga kirinya. Seeloknya, si bapa sendiri yang melaksanakan tugas yang ringkas, tapi penuh makna ini. Azanlah dan iqamatlah dengan penuh khusyuk, pasrah dan mengharap. Pastikan suaranya jelas, sebutannya tepat dan lebih baik lagi bersama dengan menghayatan maknanya. Sambil azan dan iqamah, bolehlah hati bapa tadi mendambakan harap agar Allah jadikan telinga, mata, lidah dan seluruh anggota anak itu dekat dengan Allah, dan jauh dari syaitan.

Rasulullah pernah bersabda “ Siapa yang baru mendapat seorang anak, lalu diazankannya ditelinga kanan serta diiqamatkan pula ditelinga kiri, maka anak itu tidak akan diganggu oleh syaitan” (Riwayat al-Baihaqi)

Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya Tuhfatul Maudud, menyebut bahawa amalan ini mempunyai hikmat yang besar. Antaranya, ia bertujuan untuk memastikan kalimah pertama yang masuk dalam deria pendengaran anak adalah kalimah-kalimah suci. Kalimah kebesaran Allah, syahadah, serta seruan kepada solat dan kejayaan digemakan ke telinga bayi agar hikmah dan pengertiannya menyerap hingga ke lubuk kalbu si anak. Lantas anak itu menjelmakannya dalam bentuk keyakinan, dan amalan sepanjang hayatnya.

Selain itu, kalimah ini juga berperanan sebagai menghalau iblis dan syaitan. Syaitan sentiasa merancang dan mencari peluang untuk menyesatkan anak Adam. Namun, azan dan iqamah amat ditakuti mereka. Maka tindakan melaungkan azan dan iqamah itu sebagai gendang perang dan amaran keras ke atas syaitan supaya dia tidak mendekati anak itu.

Tahnik

TAHNIK maknanya mengunyah kurma lantas memindahkannya ke lidah anak yang baru dilahirkan. Caranya ialah seperti berikut:

  • kunyah kurma, atau sesuatu yang manis seperti madu
  • letakkan kurma yang telah dikunyak di hujung jari
  • masukkan perlahan-lahan hujung jari itu ke dalam mulut anak yang baru dilahirkan
  • gerakkan jari itu ke kanan dan ke kiri dengan lemah lembut sehingga meliputi keseluruhan mulut anak kecil dengan kurma yang dikunyah tadi.

Dalam Sahih al-Bukhari, terdapat riwayat dari Abu Musa r.a. yang mengatakan: “ Aku pernah mendapat anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah s.a.w. maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnikkan dengan kurma, lalu didoakannya agar dicucuri berkat, kemudian dia pun menyerahkan kepada ku.”

Penulis Ustaz Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa antara hikmah tahnik adalah supaya otot-otot mulut menjadi kuat, dan membolehkan anak itu menghisap susu badan dengan baik. Selain itu, perbuatan tahnik ini afdhal dilakukan oleh orang-orang soleh dan bertaqwa bagi mengambil berkatnya. Agar, anak itu nanti turut menjadi soleh dan bertaqwa.

Cukur

Amalan sunat seterusnya ialah mencukur kepala si anak. Amalan ini sunat dibuat pada hari ketujuh, mengikut langkah-langkah berikut:

  • cukur keseluruhan rambut yang ada di kepada anak
  • kumpul kesemua rambut itu dan timbangkan dengan perak.
  • Sedekahkan perak yang sama berat dengan rambut itu kepada fakir miskin, atau, boleh juga sedekahkan wang yang sama nilai dengan harga perak berkenaan.

Antara Hadis yang menjadi dalil oleh pada fuqaha adalah hadis riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ daripada Jaafar bin Muhammad, daripada ayahnya, katanya: “Siti Fatimah r.a. telah menimbang rambut-rambut Al-Hasan dan Al-Husain, Zainab dan Umi Kaltsum, dan telah menyedekahkan dengan setiap berat rambut itu perak”

Ustaz Abdullah Nasih Ulwan mengingatkan bahawa yang disunatkan di sini ialah mencukur, bukannya sekadar menggunting. Mencukur yang dikehendaki ialah, mencukur keseluruhan kepala anak, bukannya sebahagian sahaja. Amalan sesetengah masyarakat yang menggunting sedikit rambut atau mencukur sebahagian rambut, tidak menepati amalan sunnah. Bahkan terdapat larangan oleh Baginda Rasulullah SAW terhadap amalan begini.

Dalam sebuah Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar r.a bahawasanya dia berkata:” Nabi s.a.w. telah melarang dari mencukur setengah kepala anak kecil dan meninggalkan setengah, iaitu qazak.”

Bagi menjamin amalan kita termasuk dalam kategori sunnah dan dikira ibadah, maka sewajarnyalah kita berusaha menepati apa yang ditunjukkan oleh RAsulullah SAW dan para sahabat. Setiap suruhan dan larangan ini tentu ada hikmah sama ada yang mampu difahami akal, atau tidak.

Amalan-amalan seperti menyatakan syukur, memberitakan kelahiran, mengucapkan tahniah, menyatakan kegembiraan, azan dan iqama di telinga, bertahnik, serta bercukur adalah amalan sunnah yang perlu dihidupkan dalam institusi keluarga Islam. Seorang bapa mempunyai tanggungjawab bagi memastikan amalan ini terlaksana agar anak yang dibesarkan itu memulakan langkah dengan pedoman agama. Tentunya setiap bapa perlu banyak mendalami ilmu dan kemahiran Islam agar tanggungjawab itu dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

7. DEKAT ANAK KEPADA ALLAH MELALUI AKIDAH

DEMI CINTA

Dekatkan anak dengan Allah melalui ‘Aqiqah

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

Aqiqah itu bukan adat, tetapi ibadat. Ibadat yang jelas dinyatakan dalam dalil-dalil syarie. Maka, setiap ibu dan bapa perlu menghayatinya sesuai dengan kedudukannya sebagai ibadat. Darah binatang yang ditumpahkan bukan semata-mata untuk dijadikan santapan tetapi, namun yang lebih penting adalah sebagai tebusan kepada Allah SWT. Yang utama bukannya kelazatan daging kambing atau lembu yang disembelih, tetapi nilai taqarrub si bayi kepada Allah hasil aqiqah itu. Kehebatan aqiqah bukannya pada keenakan hidangan jamuan, namun terletak pada keiklasan si bapa dan ibu yang mengelolakannya.

Aqiqah, dari segi bahasa maknanya ‘putus’. Menurut Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, aqiqah adalah ‘menyembelih kambing untuk anak yang baru lahir pada hari ketujuh dari hari kelahirannya’.

Ada ulama’ seperti Hasan al Basri, Al-Laith bin Saad menganggap aqiqah itu wajib. Namun begitu, jumhur ulama termasuk Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendirian bahawa hukum aqiqah adalah sunat yang mustahab, iaitu sunat yang amat dituntut. Hukum ini berasaskan dalil-dalil yang nyata serta hikmahnya yang amat besar.

Apakah hikmah aqiqah?

Walau pun aqiqah kelihatan seperti ibadah berbentuk kemasyarakatan, namun ia terselit hikmah yang sangat bermakna meliputi soal ketuhanan, pendidikan, kekeluargaan dan keadilan. Secara ringkasnya aqiqah mempunyai hikmah seperti berikut:

  • Mendekatkan diri si anak dengan Allah SWT iaitu dengan menumpahkan darah demi kerana cinta kepadaNya di saat-saat pertama kelahirannya.
  • Sebagai tebusan si anak dari bebanan dan bahaya sebagai mana tebusan NAbi ISmail a.s. dan tebusan Abdullah, bapa Nabi SAW.
  • Melepaskan belenggu anak untuk mensyafaatkan kedua ibu bapanya.
  • Menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan kemunculan anak penyejuk mata, yang juga menambahkan bilangan umat Nabi Muhammad SAW
  • Mengukuh dan mengeratkan tali ukhuwah dan silaturrahim antara anggota keluarga dan jiran tetangga dengan adanya majlis jamuan.
  • Sebagai simbol ingatan kepada prinsip tolong menolong dalam anggota masyarakat dengan melibatkan semua anggota tetangga dan keluarga tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Apakah dalil-dalil aqiqah?

Al-Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya, sabda Rasulullah SAW, maksudnya: ‘Bersama anak itu, aqiqah. Maka alirkanlah darah untuknya dan hindarkanlah bahaya daripadanya.’

Ashabus Sunan meriwayatkan daripada Samurah katanya: Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: ‘Setiap anak bergantung kepada aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh, diberikan nama, dan dicukurkan kepala.’

Yahya bin Said menyebut daripada Amrah, daripada Aisyah r.a.: Sesungguhnya RAsulullah SAW telah mengaqiqahkan untuk Al-Hasan dan Al-Husain pada hari ketujuh’.

Bila aqiqah patut dilaksanakan?

Berdasarkan apa yang disuruh bahkan dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW, aqiqah amat digalakkan dibuat pada hari ketujuh kelahiran. Walau bagaimana pun, aqiqah adalah sah dilakukan pada bila-bila masa selepas kelahiran anak, sebaik-baiknya tidak terlalu dilewat-lewatkan.

Apabila ditanya, Aisyah r.a berkata: Aqiqah itu dilakukan pada hari ketujuh, dan keempat belas, dan dua puluh satu

Imam Malik berkata: ‘Adalah jelas bahawa ketetapan aqiqah pada hari ketujuh hanyalah galakan sahaja. Jika tidak boleh lakukan pada hari itu, dan dilakukan pada hari keempat, kelapan, atau kesepuluh atau sesudahnya pun sah juga aqiqah itu.’

Tegasnya, dalam soal masa ini Allah memberikan kelonggaran kepada umat Islam dengan membolehkan aqqiqah dilaksanakan bila-bila masa kelepas kelahiran. Kaedah ini bertepatan dengan hikmah syariat Islam yang sentiasa memudahkan penganutnya, bukan menyusahkan.

Adakah aqiqah lelaki sama dengan perempuan?

Tiada pertikaian bahawa, aqiqah itu adalah sunat untuk anak lelaki dan perempuan. Walau bagaimana pun timbul persoalan dari segi jumlah kambing yang disembelih untuk aqiqah itu anak lelaki dan perempuan.

Kebanyakan sahabat dan ulama’ cenderung mengatakan bahawa aqiqah untuk anak lelaki adalah dua ekor, berbeza dengan wanita yang hanya seekor. Pegangan ini berasaskan kepada beberapa hadith termasuklah satu sabda Rasulullah SAW yang menjawab pertanyaan Ummi Karz Al-Ka’biyah dengan katanya, bermaksud: ‘Untuk lelaki dua ekor kambing dan untuk perempuan seekor.’

Namun begitu, Imam Malik berpendapat bahawa aqiqah untuk anak lelaki adalah hanya seekor, seperti anak perempuan. Beliau bersandarkan kepada beberapa hadis lain seperti hadis yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW melakukan aqiqah untuk Al-Hasan dan Al-Husin dengan seekor kibasy.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan berpendapat kedua-dua pendapat ini diguna pakai dengan mengandaikan bahawa aqiqah dengan dua ekor kambing sesuai bagi golongan yang lebih berada dan sebaliknya bagi mereka yang sederhana memadailah dengan aqiqah dengan seekor kambing bagi seorang anak lelaki.

Di sini mungkin timbul pertikaian, kenapa wujud perbezaan antara lelaki dan wanita? Kenapa aqiqah lelaki dilebihkan dengan dua ekor kambing sedangkan wanita sekadar seekor sahaja? Penulis menjelaskan bahawa, segala apa yang ditentukan oleh Allah pasti ada hikmah yang tersembunyi yang kadang-kadang tidak mampu digarap oleh minda manusia yang terbatas. Maka para mukmin perlu menerimanya dengan pasrah. Dari segi logiknya, kelebihan yang dikenakan bagi anak lelaki ini bagi menunjukkan lebihnya kuasa dan tanggungjawab mereka berbanding wanita. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam Surah An Nisa’ (34) yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu lebih berkuasa daripada kaum wanita dengan apa yang dilebihkan Tuhan sebahagian mereka ke atas sebahagian yang lain, dan dengan apa yang dibelanjakan mereka dari harta benda mereka”

Bolehkah mematahkan tulang binatang aqiqah?

Antara soalan yang sering ditanya ialah berkaitan memotong, mencincang atau mematahkan tulang kambing yang dijadikan aqiqah. Dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud daripada Ja’afar bin Muhammad, daripada ayahnya, bahawasanya Nabi SAW berkata pada majlis aqiqah yang dilakukan oleh Fatimah kepada anak-anaknya Al-Hasan dan Al-Husain: ‘Kirimkanlah kepada mak bidannya satu peha, dan yang lain makanlah dan berikanlah kepada orang lain, tetapi jangan patah-patahkan satu tulang pun daripadanya.’

Riwayat lain dari Ibnu Juraij daripada ‘Atha’, bersabda BAginda SAW: ‘Dipotong dari pangkal anggotanya, dan jangan dipatah-patahkan tulang-tulangnya’.

Berdasarkan hadis ini, amat sangat digalakkan pelaksana aqiqah tidak mematahkan, memotong atau apa lagi mencincang tulang kambing aqiqah sama ada sewaktu mengagih, memasak atau memakannya. Pengasingan bahagian-bahagian kambing itu boleh dilakukan dengan memisahkan bahagian pada sendi-sendi ketika diagihkan dan mencubit daging tanpa mematahkannya ketika makan.

Dr. Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa galakan ini berasaskan beberapa hikmat iaitu:

  • Menunjukkan keistimewaan makanan aqiqah berbanding kenduri biasa. Agar tukang masak, tukang agih bahkan sekalian tetamu menghayati hikmat disebalik aqiqah itu sendiri..
  • Menggembirakan mereka yang menerima pemberian makanan aqiqah ini dengan pemberian pada jumlah yang besar, tanpa dipotong-potong kecil.
  • Mengambil berkat dan mengharapkan rahmat Allah agar anggota anak itu terus sihat dan kuat serta tiada kecacatan, sebagai simbolik daripada tulang yang tidak dipatah-patahkan itu. Walau bagaimana pun segalanya terserah kepada qudrat Allah SWT.

Selain itu, binatang yang hendak dijadikan aqiqah itu perlulah mencapai umur tertentu, dan tiada kecacatan ketara sebagaimana kelayakan binatang korban. Tetapi tidak seperti korban, aqiqah lembu atau untuk tidak boleh dilakukan secara syarikat tujuh bahagian. Jika mahu beraqiqah dengan binatang besar seperti lembu dan unta, ia boleh dilakukan secara tunggal iaitu seekor binatang untuk seorang anak.

Apabila haiwan aqiqah itu telah disembelih, pihak ibu bapa bolehlah bersedekah dengannya, menghadiahkannya atau memakannya. Dibolehkan juga daging itu digunakan untuk jamuan kesyukuran. Perlu diingat bahawa bahagian untuk fakir miskin, saudara mara dan jiran tetangga perlu juga diperuntukkan. Jika sesuai, amatlah wajar jika doktor, bidan, staf klinik atau hospital yang terlibat menyambut si anak turut diberikan bahagian atau dijemput menghadiri kenduri. Mudah-mudahan aqiqah dapat menjadi penghubung antara masyarakat menuju kea rah keredhaan Allah SWT.

Tegasnya, aqiqah adalah satu ibadah unik dalam rangka menyambut kelahiran seorang anak muslim. Aqiqah yang dilakukan dengan ikhlas dan penuh kesedaran dapat mendekatkan si anak dengan Allah SWT. Darah merah yang mengalir dari leher binatang itu menjadi bukti keazaman sepasang ayah dan ibu untuk melihat anaknya menjadi seorang mukmin yang bertaqwa dan berkorban untuk agamanya yang tercinta.

8. PERANAN KHATAN DALAM PENDIDIKAN ANAK

Peranan Khatan dalam Pendidikan Anak-anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

‘Tok Mudim, buat ape tu?’ Itulah dialog dalam iklan sebuah stesen televisyen tempatan. Peranan tok mudim dalam tradisi masyarakat Melayu memang tidak boleh dinafikan. Walau pun sudah ada doktor dan kemudahan perubatan serba canggih, istilah tok mudim tetap dikenali dan kadang-kadang menjadi bahan jenaka mencuit hati. Kalau doktor terlibat dalam bermacam bentuk khidmat kesihatan, tok mudim hanya menawarkan satu khidmat sahaja, iaitu berkhatan atau bersunat.

Berkhatan adalah identiti muslim. Jika mayat pemuda Islam dan bukan Islam bercampur dan bergelimpangan, identiti khatanlah yang dapat membezakannya. Yang berkhatan ditanam di pusara muslimin sementara yang tidak berkhatan di serahkan ke kuburan bukan Islam. Khatan atau khitan dalam bahasa Arab bermaksud memotong ‘qulfah’ iaitu kulit yang menutup kepala zakar.

Hukum Khatan

Ada di kalangan ulama’ iaitu termasuk Imam Abu Hanifah, Hasan Al-Basri dan sebahagian ulamak mazhab Hambali mengatakan hukumnya sunat sahaja. Namun, kebanyakan ulama termasuk Amir al-Sya’bi, Rabi’ah, al-Auza’i, Yahya bin Said al-Ansari, Imam Malik, Imam Syafi’i dan Imam Ahmad berpegang bahawa hukum berkhatan adalah wajib. Menurut Imam Malik, orang lelaki yang belum berkhatan tidak boleh menjadi imam sembahyang dan tidak layak menjadi saksi.

Hujah para ulama ini berasaskan beberapa dalil iaitu antaranya hadis Imam Ahmad dari ‘Utsaim bin Kulaib, bahawa seorang sahabat datang kepada Nabi SAW dan berkata, ‘Saya telah memeluk Islam’. Baginda menjawab: ‘Bersihkan dirimu dari rambut kekufuran dan berkhatanlah’.

Harb meriwayatkan daripada Al-Zuhri, katanya, Rasulullah saw telah bersabda; ‘Barangsiapa yang memeluk Islam hendaklah berkhatan walau pun dia telah tua’.

Si Kulup

Malah Baginda Rasulullah SAW menyebut sacara khusus tentang kedudukan orang lelaki yang tidak berkhatan atau dalam istilah Baginda SAW ‘al-aqlaf’ yang boleh diterjemahkan dengan lidah Melayu sebagai si kulup. Rasulullah SAW menyebut si kulup tidak boleh dibiarkan begitu sahaja tanpa bersunat (riwayat al-Baihaqi). Waqi’ pula meriwayatkan dari Ibnu Abbas katanya: ‘Si kulup tidak diterima solatnya dan tidak boleh dimakan sembelihannya’.

Para ulama menyentuh secara jelas tentang masalah yang timbul bagi si kulup. Kewujudan lapisan kulit dikeliling kemaluan boleh menjejaskan kesucian diri. Bila si kulup kencing, air kencing mungkin melekat dan bertakung di kawasan berkenaan. Membersihnya adalah sukar, hujah para ulama’. Sedangkan solat itu hanya sah jika dia benar-benar suci dan bersih. Ustaz Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa inilah sebabnya para ulama salaf dan khalaf melarang si kulup menjadi imam. Adapun, solat mereka sendiri boleh diterima sebagai status seorang yang tidak suci kerana uzur, sebagaimana solat orang mengidap penyakit tidak mampu mengawal kencing.

Tarbiyah dalam hukum khatan

Pada khatan itu ada tarbiyah. Muslimin sejak dari kecil diajar untuk menjadi bersih dan menjaga kesucian. Sejarah khatan bermula sejak Nabi Ibrahim. Baginda yang berkhatan pada umur lapan puluh tahun, adalah orang yang paling awal berkhatan. Para anbiya’ dan keturunan Baginda selepas itu meneruskan tradisi berkhatan. Al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Ayyub, katanya Rasulullah SAW bersabda: Empat perkara dari sunnah para Rasul iaitu: khatan, berwangi-wangian, bersiwak, dan nikah.

Sunnah Nabi Ibrahim berterusan hingga keturunannya termasuklah dari bangsa Arab. Oleh itu kebanyakan masyarakat Arab berkhatan sejak kecil. Apabila Islam datang, mereka memeluk Islam yang sememangnya mewajibkan mereka bersunat. Oleh itu kita tidak berjumpa kisah sahabat berkhatan beramai-ramai apabila memeluk Islam dalam Sirah Rasulullah SAW. Selepas dari itu khatan bukan sahaja menjadi adat bangsa Arab, bahkan menjadi sebahagian syariat yang perlu dipatuhi.

Khatan juga mengajar erti kepatuhan Yang Maha Kuasa. Walau pun khatan itu mungkin sedikit menyakitkan bagi anak-anak, namun disitu letaknya simbol ketaatan. Mesejnya mudah. Taat kepada Allah walaupun terpaksa sakit. Walau pun terpaksa ‘mengorbankan’ dan ‘berpisah’ dengan secebis kulit pada badan sendiri.

Aspek paling ketara ialah kesucian dan kebersihan. Allah mensyariatkah khatan bagi mendidik hambaNya agar menjaga kebersihan. Rangkuman hukum kewajipan solat, hukum bersuci, hukum istinja’ dan hukum khatan ini menjadikan kaum muslim sepatutnya umat yang paling pembersih, paling wangi, paling sihat dan paling segar. Inilah pembeda besar antara seorang muslim dan bukan muslim. Inilah juga syiar yang menunjukkan kehebatan Islam.

Khatan yang menyihatkan

Kebersihan membawa kepada kesihatan. Beberapa kajian telah dibuat bagi menunjukkan kelebihan berkhatan. Dr. Sobri Al-Qubbani dalam bukunya bertajuk ‘Kehidupan dan Seksologi” menyebut bahawa khatan mendatangkan manfaat-manfaat berikut dari sudut kesihatan:

  • Pembuangan kulit berkenaan membebaskan seseorang daripada risiko penyakit kulit yang berpunca dari peluh, daki, kumpulan lemak serta kuman yang terkumpul di situ sekaligus menimbulkan bau yang busuk dan terdedah kepada jangkitan.
  • Dapat mengelakkan risiko termasuk atau tersendat kepala zakar ketika berlunjur.
  • Mengurangkan risiko kanser prostat
  • Anak-anak yang berkhatan awal kurang risiko sindrom terkencing malam.

Khatan ini menjadi wajib apabila anak tersebut hampir aqil baligh, agar bila tiba umur mukallaf, dia dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna dan diterima Allah. Namun, lebih afdal, jika khatan itu dilakukan sewaktu anak masih kecil sama ada pada hari ke tujuh, empat belas, dua puluh satu atau seumpamanya.

Kini terdapat banyak klinik dan pusat rawatan yang menyediakan khidmat berkhatan bagi bayi sekitar umur berkenaan dengan menggunakan pelbagai kaedah yang canggih. Walau pun khatan waktu bayi belum menjadi budaya popular di Malaysia, diharap suatu hari nanti ramai yang memilih cara ini sesuai dengan amalan baginda Rasulullah SAW. Dalam hadis riwayat al-Baihaqi, daripada Jabir r.a, bahawa Rasulullah SAW telah mengaqiqahkan untuk Al-Hasan dan Al-Husain, serta mengkhatankannya pada hari ketujuh.

Khatan anak perempuan

Pensyariatan khatan untuk lelaki adalah jelas. Namun, hukum khatan bagi wanita adalah satu isu yang berbeza dan menimbulkan berbagai-bagai pandangan. Menurut Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, kebanyakan ulama’ mengatakan hukumnya adalah sunat, dan tidak wajib. Terdapat satu riwayat yang menyebut bahawa Imam Ahmad menganggap berkhatan itu wajib bagi wanita sebagaimana lelaki.

Mutakhir ini terdapat pula pendapat ulama yang mengatakan bahawa hukumnya sekadar harus memandangkan tiada nas yang jelas tentang pensyariatannya. Bergantung kepada bapa atau ibu, sama ada mahu mengkhatankannya atau tidak. Ada juga yang berpendapat bahawa khatan bagi wanita itu dicegah kerana ia mencederakan dan tidak mendatangkan manfaat. Jika digabungkan pendapat-pendapat ini, maka terpulanglah kepada pihak penjaga sama ada mahu mengkhatankan anak perempuan atau tidak. Oleh kerana khatan dapat mengurangkan daya ransangan nafsu si gadis, maka pihak yang berkenaan perlulah bersederhana untuk mengimbangi antara kawalan dan keperluan. Yang pasti, khatan bagi wanita mempunyai kaedah dan tujuan yang berbeza berbanding lelaki.

Tegasnya, khatas adalah satu fitrah yang murni serta syiar yang perlu direalisasi. Hari ini bukan sahaja masyarakat Islam, bahkan terdapat kalangan pengamal perubatan dan pakar kesihatan bukan Islam yang turut menyokong dan menyaran agar khatan dilakukan. Ia bukanlah untuk menyakitkan, jauh sekali untuk mencederakan, tetapi ia ibarat memotong suiz kehidupan agar seorang manusia dapat berfungsi dengan sempurna sebagai mana fitrah kejadiannya yang ditentukan oleh Yang Maha Menjadikan.

9. PENYEBAB ROSAKNYA PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Penyebab Rosaknya Pendidikan Anak-anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Sebelum menghuraikan tentang tanggungjawab, kaedah dan bentuk-bentuk pendidikan anak-anak, Dr Abdullah Nasih Ulwan terlebih dahulu menjelaskan dengan terperinci faktor-faktor yang menyebabkan berlaku kerosakan pendidikan anak-anak. Seorang ibu atau bapa yang berhasrat mendidik anak, harus terlebih dahulu mengetahui punca yang mengagalkan pendidikan anak-anak. Moga, maklumat ini menjadi ‘alarm bell’ kepada mereka supaya tidak terjerumus dalam penyebab-penyebab tadi.

Faktor-faktor kerosakan pendidikan anak-anak adalah seperti berikut

  1. Ibu bapa terlalu sibuk, atau sengaja menyibukkan diri dengan urusan seharian sehingga mengkesampingkan usaha mendidik anak
  2. Kaedah dan cara didikan yang tidak betul– sama ada dilakukan secara sedar atau tidak sedar – menyebabkan anak-anak lemah dan rosak
  3. Pergaduhan berpanjangan suami isteri, juga terkadang mengheret ibu bapa dan mertua menyediakan landskap hodoh kepada persekitaran pendidikan anak-anak.
  4. Perceraian suami isteri menjadikan si anak terkontang-kanting, keliru dan mencari lubang menyelesaian yang membobrokkan.
  5. Aktiviti yang lagha, apa lagi yang merosakkan, menyebabkan anak-anak menjadi asyik dengan dunia palsu dan menghancurkan.
  6. Silap memilih kawan, atau geng yang akhirnya mendorong anak-anak terjunam ke lembah keruntuhan budi
  7. Bahan-bahan media seperti internet, CD, VCD, imej-imej dalam telefon bimbit, majalah, TV, dan lain-lain yang punya pengaruh maha hebat mendorong anak-anak untuk terus rosak.
  8. Kemiskinan dan pengangguran ibu dan bapa, serta kesempitan hidup melampau boleh juga mendorong anak-anak punah akhlak terutama apabila gejala keruntuhan itu ditemani dengan lambaian materialistik yang menggoda.
  9. Anak-anak yatim yang dahagakan perlindungan dan kasih sayang juga boleh menjadi mangsa keruntuhan akhlak jika kebajikan dan pendidikan mereka tidak ditangani dengan betul.

Ibu bapa yang amat sibuk

Dalam siri pada bulan ini, kita akan membicarakan faktor pertama, iaitu kesibukan ibu bapa hingga gagal mendidik anak. Menurut Abdullah Nasih, antara faktor terbesar yang menyebabkan anak-anak terpesong haluannya ialah kerana ibu bapa tidak melakukan kerja pendidikan. Mereka fikir bahawa tugas mereka selesai dengan memberikan makanan dan pakaian yang cukup. Selebihnya mereka serahkan kepada sekolah, atau Pasti.

Malang sungguh tanggapan begini. Binatang seperti harimau pun tahu tanggungjawabnya mendidik. Harimau tidak membiarkan anak-anaknya membesar tanpa dia mendidik dan melatih mereka terlebih dahulu. Harimau mendidik anak tentang bagaimana memburu binatang. Apabila si ibu memburu, dia sengaja tidak terus membunuh buruannya untuk dijadikan santapan. Sebaliknya, dia hanya mencederakan buruan itu. Maka binatang buruan itu terus cuba melepaskan diri sambil lari terhencot-hencot kerana kakinya sudah cedera. Pada waktu inilah, si anak-anak harimau tadi berlatih mengejar dan menangkap buruan. Binatang buruan yang cedera itu menjadi alat pendidikan secara praktikal. Si ibu pula hanya memerhatikan bagaimana anak-anaknya berlatih. Selepas beberapa siri latihan, dan anak-anak harimau tadi sudah cekap, barulah mereka dibiarkan berdikari mencari rezekinya sendiri.

Jika harimau pun tahu tanggungjawab mereka, bagaimana pula ada ibu bapa sanggup mengabaikan pendidikan anak-anak. Harimau mahu anaknya mampu menangkap buruan, maka dia rela menghabiskan masanya melatih anak itu. Yang peliknya, manusia pula mahu anaknya cemerlang, berjaya dan soleh, namun tidak berusaha ke arah itu. Mereka langsung tidak perasan bahawa diri mereka adalah sebenarnya seorang ‘pendidik’.

Mendidik bukan menternak!

Ibu bapa perlu ingat bahawa mereka berperanan untuk mendidik anak, bukan sekadar ‘menternak’ anak-anak. Allah menjadikan anak-anak itu sebagai amanah yang amat berharga. Jangan sia-siakan mereka. Mereka bukannya makhluk yang boleh membesar hanya dengan makan dan pakai yang cukup. Mereka punya jiwa dan hati, juga punya nafsu dan perasaan. Kantung kalbu mereka tidak boleh dibiarkan kosong. Jika ibu dan bapa tidak berusaha untuk mengisi kantung kalbu itu dengan iman dan ihsan, nescaya virus-virus perosak akan menyelinap masuk dan merosakkan pekerti anak-anak. Jiwa mereka punya potensi untuk menjadi manusia sebaik malaikat. Namun, nafsu mereka juga ada potensi menjadikan mereka sejahat syaitan.

Maka ‘sibuk’ itu bukan alasannya. Kita memang dilahirkan di dunia ini untuk menjadi orang sibuk. Orang yang tidak sibuk ialah orang yang cuai, lalai dan mundur. Maka semua kita perlulah sibuk. Maknanya, orang-orang yang pernah berjaya melahirkan anak-anak yang hebat juga dulunya sibuk, seperti kita. Soalnya kita sibuk dengan apa? Bukankah ‘mendidik anak’ itu salah satu tugas kita dalam senarai fungsi-fungsi kita sebagai seorang ‘bapa’ dan ‘ibu’?

Orang sibuk dan bijak akan menyenaraikan fungsinya. Fungsi kita bukan sekadar ‘pengarah syarikat’, ‘pegawai kewangan’, ‘jurutera kanan’, ‘pakar perbidanan’, ‘setiausaha persatuan’ atau seumpamanya. Fungsi kita juga perlu senaraikan fungsi-fungsi kita sebagai ‘anak kepada ibu bapa’, ‘suami’, ‘isteri’, ‘bapa’, dan ‘ibu’. Selepas fungsi disenaraikan, kita perlu pula mencatatkan tugas-tugas kita bagi setiap fungsi itu. Maka tugas ‘mendidik anak’ itu satu tugas besar, dan sangat penting – walau pun biasanya tidak ‘urgent’ – yang perlukan ruangan masa yang panjang.

Masa berkualiti

Orang sibuk tahu menggunakan masanya dengan cekap, optimum dan berkesan. Sebaiknya peruntukkan masa secara konsisten untuk anak-anak. Walau pun masa di rumah mungkin terbatas, namun gunakanlah secara berkualiti. Masa berkualiti ialah masa yang digunakan secara optimum dan mencapai tujuannya.

Kadang-kadang kita mengadu bahawa kita tidak cukup masa. Namun jika kita semak, berapa banyak masa yang kita gunakan untuk anak-anak secara optimum. Di sini beberapa cara yang boleh digunakan untuk menjadikan masa kita berkualiti:

  • Apabila pulang dari kerja, hadkan dari melakukan aktiviti yang bersifat sendirian seperti menonton televisyen atau membaca surat khabar, terutama jika masa di rumah adalah sekejap. Sebaliknya gunakan masa itu untuk bersama-sama dengan anak. Perlu diingat, menonton TV ‘bersama-sama’ anak, hakikatnya tidak dikira bersama anak, dan biasanya tidak membawa impak pendidikan.
  • Lakukan aktiviti seperti bermain-main, bersiar-siar, bersukan, bersama-sama anak mengikut kesesuaian umur mereka.
  • Jika anda mempunyai urusan atau program sampingan di luar, seboleh-bolehnya (jika sesuai) ajak anak bersama-sama, serta gembirakan dan raikan dia, agar dia tidak serik untuk mengikut anda lagi pada masa akan datang.
  • Bila bersama-sama dalam kenderaan, gunakan masa itu untuk berbual-bual, bertanya tentang kawan-kawan, membuat teka teki atau bercerita. Usah biarkan kita dan anak berdiam diri melayan perasaan masing-masing.
  • Sentiasa fikirkan aktiviti yang serampang dua mata, iaitu satu aktiviti yang boleh mencapai dua matlamat. Contohnya, kita mahu menyihatkan badan dengan bersenam, maka kita ajak anak kita untuk meriadah bersama-sama. Atau, sebagai guru, kita mempunyai tugasan untuk menanda kertas jawapan, maka kita boleh bekerjasama dengannya untuk mengira dan mengisi markah. Berikan ganjaran jika sesuai.
  • Jika anda solat di rumah, pastikan anda solat berjamaah bersama-sama pasangan dan anak-anak. Lakukanlah wirid dan tazkirah pendek selepas solat. Bertadarus dengan anak-anak juga memperikan impak yang optimum.

 

Kenapa sibuk?

Tegasnya, kesibukan yang dialami itu bukanlah alasan untuk kita abaikan anak-anak. Jika kesibukan itu kerana kerja-kerja ukhrawi seperti berdakwah, melakukan aktiviti Islami dan seumpamanya, maka kita perlu ingat bahawa mendidik anak itu juga kerja ukhrawi. Keutamaannya tidak boleh dinafikan. Mana mungkin kita sibuk mengajak orang mendekati agama, jika keluarga kita sendiri dibiarkan tanpa pedoman. Bukankah menyampaikan kebenaran kepada yang hampir itu amat penting, di samping menyampaikannya kepada khalayak yang jauh.

Jika kesibukan itu kerana urusan mengumpul kekayaan, membina kerjaya dan mengembangkan empayar bisnes, maka ingatlah semua itu tidak akan ke mana. Bila kita meninggalkan dunia, harta akan menjadi milik orang, kerjaya akan luput dan nama hanya menjadi kenangan. Jika kita mendidik anak, anak-anak bisa terus-menerus melaburkan pahalanya kepada kita selepas kita pergi. Doa-doa mereka bisa mengubah nasib kita kelak nanti. Dan dengan kita mendidik anak sehingga dia menjadi soleh, kita dapat mengelakkan diri kita dari dibalun oleh Munkar Nakir dan dibakar di akhirat nanti. Ingatlah pesan Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka; yang kayu bakarnya ialah manusia dan batu-batu; penjaganya ialah Malaikat yang kasar, bengis, serta mereka tidak pernah mengengkari apa yang Allah suruh, dan mereka laksanakan apa jua yang Allah arahkan”

(Surah al-Tahrim:6)

Baginda Rasulullah pula bersabda:

“Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kamu pimpin. Seorang suami bertanggungjawab atas isterinya, maka dia akan dipertanggungjawabkan atas perkara itu. Seorang iateri bertanggungjawab atas urusan rumah suaminya, maka dia akan dipertanggungjawabkan atas perkara itu”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tegasnya, kedua-dua ibu dan bapa bertanggungjawab atas usaha pendidikan ini. Bapa sebagai pemimpin keluarga adalah pihak utama yang perlu berperanan. Ibu pula perlu menggunakan segala potensi keibuannya untuk mendidik anak menjadi soleh dan solehah. Jangan sampai anak itu menjadi terabai dan ‘yatim sebelum yatim’, akibat ibu bapa mereka ‘mati sebelum mati’, sebagaimana diungkap dalam syair Arab, yang diolah seperti berikut:

Bukanlah yatim itu

Si anak yang ibu ayahnya telah pergi…

Hidup perit tidak terperi

Dan ditinggalkannya dalam sepi

 

Sebetulnya yatim itu…

Si anak yang punya ibu, namun tiada peduli

Dan punya ayah, namun sibuk tak henti-henti

 

Sekian… 

10. KAEDAH MENDIDIK YANG PINCANG MEROSAKKAN SI ANAK

Silap Didik Merosakkan Anak-anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Kejayaan dalam mendidik anak tidak akan kesampaian jika kita tidak memahami faktor kegagalannya. Dalam siri yang lepas, kita telah dipaparkan dengan faktor-faktor yang boleh merosakkan pendidikan anak sebagaimana yang dihuraikan oleh Dr. Abdullah Nasih Ulwan. Kita juga telah didedahkan dengan faktor kesibukan ibu bapa yang menyebabkan anak-anak terbiar tanpa diasuh dengan sempurna.

Kali ini kita melihat pula faktor seterusnya iaitu kesilapan dalam mendidik anak. Kadang-kadang ibu bapa tidak sibuk dan mempunyai banyak masa bersama-sama anak, namun pendekatan mendidik yang tempang pula digunakan. Akibatnya, anak-anak menjadi salah didik dan rosak masa depannya.

Pentingnya ilmu

Sesungguhnya hasrat, keikhlasan serta kesungguhan untuk mendidik sahaja tidak cukup. Ibu bapa perlu juga menguasai ilmu, teknik dan kaedah mendidik. Seorang pemilik kereta contohnya, perlu mempunyai ilmu asas tentang kereta. Dia perlu memahami cara menggunakannya dengan betul, penyelenggaraannya, bahagian-bahagaian asas kereta dan sebagainya. Pembeli kereta baru akan dibekalkan satu buku manual untuk dibaca sebagai maklumat asas seseorang pemilik kereta.

Seorang yang meminati ikan hiasan pula, perlu mengetahui tentang sifat-sifat ikan, makanan yang sesuai, jenis air, kaedah mengelakkan bakteria, dan maklumat-maklumat lain bagi menjamin ikannya sihat dan membesar. Kadang-kadang peminat ikan hiasan sanggup membeli ikan yang berharga beribu-ribu ringgit. Semakin mahal ikan itu, semakin terdorong dia untuk memahami ikan berkenaan. Jika dia jahil dan tersilap langkah, ikannya mungkin akan mati dan dia rugi beribu-ribu ringgit.

Tentunya nilai anak terlalu jauh mahal untuk dibandingkan dengan sebuah kereta atau seekor ikan hiasan. Namun berapa ramai yang memiliki dan membaca ‘manual’ mendidik anak. Sepatutnya, apabila seorang ibu dan bapa itu dijangkakan mendapat anak, mereka harus segera mendapatkan maklumat dan ilmu berkaitan pendidikan anak. Ilmu boleh diperoleh melalui buku, majalah atau seminar. Ilmu ini perlu sentiasa ditambah dan diperkayakan.

Jika seorang ibu bapa tiada ilmu dan silap mendidik, dia bukan kehilangan harta, tetapi dia akan kehilangan nilai kehidupan yang tidak boleh dinilai harganya. Jika kereta rosak, pemilik boleh menghantarnya ke bengkel untuk dibaiki dengan segera. Namun jika yang rosak itu adalah akhlak anak-anak, belum tentu ia boleh dibaiki dan dipulihkan. Jika yang mati itu ikan peliharaan, pemiliknya boleh menggantikannya dengan ikan lain yang lebih cantik. Namun jika yang ‘mati’ itu adalah jiwa dan iman anak-anak, maka amatlah sukar untuk menghidupkannnya kembali. Maka, ibu bapa tidak boleh memandang enteng kepentingan menuntut ilmu untuk mengetahui cara mendidik anak dengan betul.

Perlu kemahiran

Selain dari ilmu, ibu bapa juga perlu memiliki kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan pendidikan anak. Mendidik anak adalah satu seni yang diperoleh melalui pengamatan, pengalaman dan latihan. Untuk belajar melalui pengalaman, seseroang itu perlu mengalami ‘percubaan dan kegagalan’. Bagi meminimakan kegagalan, ibu bapa perlu juga mempelajari, dan memahami kemahiran keibubapaan, serta berusaha mengadaptasi kemahiran berkenaan dalam kehidupan berkeluarga.

Terdapat beberapa jenis kemahiran keibubapaan yang penting dan perlu difahami bagi meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak. Antaranya kemahiran komunikasi iaitu melibatkan teknik bagaimana untuk berbicara dan berhubung dengan anak secara berkesan. Kemahiran ini kelihatan enteng, namun jika berjaya dikuasai, kita dapat melahirkan anak-anak yang bukan sahaja beradab sopan bahkan mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan mampu berjaya sebagai anak yang cemerlang.

Ibu bapa juga perlu menguasai kemahiran-kemahiran lain termasuklah kemahiran mengurus masa, kemahiran kepimpinan, kemahiran kaunseling dan seumpamanya. Ibu bapa yang baik juga dapat menguasai kemahiran mendengar dan memahami bahasa badan, reaksi serta mimik muka anak-anak. Mereka juga perlu mahir dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah anak-anak. Tidak dinafikan bahawa kemahiran-kemahiran ini akan diperoleh melalui pengalaman, namun inisiatif untuk mempelajarinya akan menjadikan ibu bapa itu lebih cepat matang dan berkesan dalam mendidik anak-anak. Dengan izin Allah, ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh ibu dan bapa dapat mengelakkan atau mengurangkan berlakunya kesilapan dalam mendidik anak-anak.

Bentuk-bentuk kesilapan

Sebenarnya terdapat banyak bentuk kesilapan dalam mendidik anak-anak. Kesilapan terbesar ialah kegagalan ibu dan bapa menjadikan agama sebagai teras dalam pendidikan anak-anak. Agama membawa kepada keseimbangan antara fizikal dan spiritual. Antara pembangunan akhlak dan kecemerlangan akademik. Antara dunia dan akhirat. Tanpa agama, anak-anak ibarat ditinggalkan di lorong yang gelap tanpa pedoman untuk diikuti.

Sering kali berlaku, ibu bapa yang bersungguh-sungguh memarahi anak yang mendapat nombor yang corot dalam peperiksaan, tetapi hanya buat selamba abapila mengatahui anaknya meninggalkan solat dengan sengaja. Tak kurang juga ibu bapa yang sangat mengambil berat soal makan-minum anak-anak tetapi, mengabaikan terus ‘makanan’ rohani anak-anak yang sentiasa ‘lapar’ dan ‘dahagakan’ petunjuk agama.

Ada juga ibu bapa yang membiarkan anak-anak bergaul bebas lelaki perempuan dengan alasan ia adalah ‘kebiasaan budak-budak zaman sekarang’, tanpa peka dengan batasan syariat yang menuntut kawalan pergaulan antara jantina berbeza. Ringkasnya, pengabaian agama merupakan kesilapan terbesar dalam pendidikan anak-anak.

Selain itu, kesilapan juga berlaku apabila ibu bapa mendidik anak tanpa perasaan belas ihsan. Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa terdapat anak-anak yang diperlaku dengan perlakuan yang keras sehingga menyebabkan anak-anak tertekan, kecewa, punah harapan dan ada yang membunuh diri. Tidak dinafikan terdapat ibu bapa yang ‘mendidik’ anak berbekalkan luapan emosi marah tidak terkawal sehingga ada yang memaki hamun, menghina, memukul dan membelasah anak sendiri. Bahkan kes-kes penderaan anak masih kerap didengari sehingga hari ini.

Kekerasan melampau keastas anak-anak ini membuahkan kekacauan jiwa anak-anak. Hal ini juga ada kaitannya dengan faktor anak-anak enggan berada di rumah. Bagi mereka ‘Rumahku Nerakaku’. Mereka lebih bahagia dan damai bila berada dengan rakan-rakan, yang kadang-kadang membawa mereka ke kancah kemusnahan kekal.

Bagi si ibu dan bapa, perlu diingat bahawa mereka mempunyai tanggung jawab untuk berbuat baik kepada anak-anak kerana anak adalah amanah dari Allah. Allah berfirman:

“Sesungguhnya Allah menyuruh menjalankan keadilan, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat.” (Surah an-Nahl:90)

SAbda RAsulullah SAW:

“Sekiranya Allah inginkan kebaikan bagi sesebuah keluarga, maka diberikan sifat belas kasihan kepada mereka. Dan andainya sifat belas kasihan itu suatu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai sebaik-baik ciptaan dari Allah. Dan sekiranya kekerasan itu adalah satu ciptaan (yang boleh dilihat), nescaya semua manusia akan memandangnya sebagai seburuk-buruk ciptaan dari Allah.” (Riwayat Ahmad dan al_Baihaqi)

Selain itu, kesilapan juga berlaku ababila ibu bapa terlalu memanjakan anak-anak. Ada ibu bapa yang berat untuk menghukum dan menegur anak-anak semata-mata takutkan anak itu merajuk. Kuasa merajuk anak itu diberikan sedemikian rupa sehingga anak itu berjaya memanupulasikannya sebagai senjata untuk mengugut ibu bapa.

Tidak salah untuk memanjakan anak. Memang anak-anak perlukan kemanjaan dan kasih sayang. Namun, tindakan yang salah ialah terlalu memanjakan anak dengan tidak menetapkan disiplin dan sempadan ke atas anak-anak. Akhirnya anak itu menjadi terlalu bebas, dan gagal dididik dangan teratur dan berprinsip.

Ringkasnya, antara faktor yang merosakkan pendidikan anak ialah berpunca dari ibu bapa sendiri yang gagal mendidik dengan cara yang betul. Realiti hisup masa kini yang semakin kompleks dan mencabar menuntut ibu bapa agar lebih tekun mendalami ilmu dan kemahiran keibubapaan dan mengadaptasinya dalam kehidupan berkeluarga. Landasan agama merupakan asas yang paling baik untuk menjadi bekalan dan rujukan dalam mendidik anak-anak menuju ketinggian sahsiah.

11. AKIBAT KRISIS RUMAHTANGGA DAN PERCERAIAN

Akibat krisis rumah tangga dan perceraian

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Persekitaran yang damai, harmoni dan bahagia memberikan pengaruh besar kepada pendidikan anak-anak. Jika ibu bapa hidup dengan limpah kasih sayang, dan dihiasi kuntuman senyum mesra dan gelak ketawa, nescaya si anak akan terbiasa dengan bayu keharmonian dan kedamaian. Kasih bapa pada ibu dan kasih ibu pada bapa menjadi model penting kepada anak untuk menjadikan nilai kasih sayang sebagai pendorong dalam pembinaan jati diri positif.

Sebaliknya jika suami isteri bercakaran dan rumah tangga berantakan, si anak akan termanggu-manggu kebingunan, sedih, kecewa, bosan dan memberontak. Rasa sayang pada ibu akan menjadi semakin luntur dan layu. Rasa hormat pada ayah pula menjadi hilang. Rumah bagaikan medan perang yang bukannya mencederakan fizikal tetapi melukakan hati dan perasaan. Akhirnya pendidikan anak ini makin terabai dan terganggu.

Polemik rumah tangga

Kata pepatah: sedangkan lidah lagi tergigit, ini kan pula suami isteri. Memang benar bahawa perbezaan pendapat dan kadang-kadang pergaduhan boleh berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Allah jadikan setiap manusia berbeza dari sudut kecenderungan, minat, perwatakan, kemampuan, perangai, cara berfikir dan fizikal. Selain faktor-faktor seperti genetik, perbezaan ini banyak dipengaruhi oleh pendedahan kepada persekitaran yang berbeza berdasarkan latar belakang keluarga, sub-budaya dan budaya. Jadi, tidak hairan lah jika suami isteri akan mengalami beberapa cabaran dalam proses penyesuaian.

Pergaduhan suami isteri bukan sahaja kerana perbezaan latar belakang. Bahkan dalam kes suami dan isteri yang datang dari latar belakang yang sama pun kadang-kadang berlaku juga perselisihan. Seribu satu kelemahan dan kekurangan yang ada pada manusia menyebabkan berlakunya perbezaan dalam keluarga. Kadang-kadang ia berpunca dari suami, dan kadang-kadang ia berpunca dari isteri. Namun dalam banyak keadaan ia adalah akibat kelemahan dan kesilapan kedua-dua suami dan isteri.

Namun, mencari siapa yang bersalah bukan soal yang pokok. Apa yang penting ialah bagaimana kita berdepan dan mengurus ‘lidah yang tergigit’ ini. Jika lidah yang digigit, penyelesaiannya bukan dengan mencabut gigi, atau memotong lidah. Demikian juga dalam situasi hubungan suami isteri. Kedua-dua pihak perlu berlapang dada, bertimbang rasa, sabar, dan tenang dalam menghadapi konflik rumah tangga. Tambahkan ilmu, dapatkan bimbingan, dan rujuk lah masalah yang timbul kepada mereka yang berpengalaman dan punya hikmah. Munajatlah kepada Allah agar, Dia membuka jalan ketenangan dan keharmonian dalam berumah tangga. Fikirkan soal jangka panjang sebelum sesuatu keputusan drastik di ambil, agar anak-anak tidak menjadi mangsa pertembungan suami isteri.

Anak menjadi mangsa

Anak ibarat seekor pelanduk yang terhimpit akibat dua ekor gajah bertempur. Yang ‘berperang’ ialah ibu dan bapa, namun korban perang adalah anak-anak. Kerap kali kita dengar kisah anak-anak yang dahagakan ketenangan dan kasih sayang akibat konflik rumah tangga. Tidak sedikit anak-anak hari ini yang kantung jiwanya kosong, terbiar dan tanpa kasih akibat ibu dan bapa kerap berselisih faham. Mereka bukannya tidak berayah, atau beribu. Kedua-duanya masih ada. Namun kewujudan mereka tidak membawa sinar kebahagiaan, bahkan menawarkan dunia huru hara dan pertengkaran.

Watak-watak garang, marah, bengis, dan degil yang ditonjolkan oleh ibu dan bapa akan tercetak pada kotak fikiran anak-anak. Adegan-adegan pertengkaran, merajuk, tengking-menengking, pukul-memukul, marah-marah, serta berleter-leter yang dipaparkan oleh ibu dan bapa akan menjadi ikutan tanpa sedar oleh anak-anak. Bahkan elemen-elemnen negatif seperti mengumpat, memburuk-burukkan, menipu dan sebagainya akan terus mewarnai segenap penjuru rumah yang punya krisis rumah tangga. Anak-anak pula, bukan sekadar menjadi penonton setia, bahkan apa yang dilihat, didengar dan didedahkan itu akan menyelinap dalam akal serta sanubari mereka.

Bahana cerai

Kesan buruk konflik rumah tangga akan memuncak jika berlaku perceraian. Islam membenarkan perceraian. Dalam keadaan tertentu, perceraian terpaksa dipilih selepas penyelesaian lain menemui jalan buntu. Namun, perceraian tetap pilihan terakhir. Ia adalah yang terakhir kerana ia banyak mendatangkan kesan buruk. Buruk kepada suami dan juga isteri. Tetapi pihak yang menerima kesan yang paling besar ialah anak-anak.

Bayang kan anak kecil yang baru mengenal dunia namun punya ketempangan dalam menempa kasih sayang. Anak yang seperti yatim, walau pun hakikatnya bukan yatim. Hilang tempat mencurah kan kasih. Jika anak itu adalah remaja, jiwa mudanya akan mudah memberontak akibat kepincangan di rumah. Cerita-cerita tentang kasih sayang ibu bapa yang didengar dari kawan-kawan akan meyebabkan dirinya diselubungi perasaan rendah diri dan mudah kecewa.

Biasanya anak-anak akan tinggal dengan salah seorang ibu atau bapa mereka. Jika mereka memilih bapa, mereka akan ketandusan belaian kasih seorang wanita. Jika mereka tinggal dengan bapa, mereka hlang tenpat bersandar dan bergantung harap. Bagi anak lelaki, bapa adalah model terdekat mereka. Bagi anak perempuan, ibu adalah contoh terhampir. Tanpa mereka anak-anak akan terkapai-kapai dalam membentuk identiti positif.

Kadang-kadang anak-anak dari pasangan bercerai ini lebih malang dari anak-anak yatim. Mereka bukan sahaja terpaksa tinggal dengan penjaga tunggal, bahkan mereka diselubungi oleh konflik rumah tangga yang kadang-kadang berlarutan dan berpanjangan. Ada di kalangan mereka yang menjadi mangsa tarik tali dalam perebutan hadhanah. Mereka jadi keliru dan bingung. Bingung kerana kedua-dua orang tua mereka – yang sedarah sedaging dengan mereka – asyik berkonflik dan bertarung di medan pengadilan untuk mendapatkan hak itu dan ini.

Malah, lebih malang lagi, jika penjaga tunggal anak-anak mangsa perceraian ini, terlalu sibuk dan tidak memberikan tumpuan kepada mereka. Penjaga mereka beriya-iya mahu mendapatkan hak jagaan, bukan kerana cakna dan sayang, tapi kerana mahu menang bertarung dengan bekas pasangan. Selepas, hak diperoleh anak-anak dibiarkan menagih kasih dan didikan.

Tegasnya, konflik rumah tangga dan perceraian adalah taufan ganas dalam sesebuah rumah tangga. Menjadi tanggungjawab semua pihak agar mengekalkan kaharmonian rumah tangga dan mengelakkan sejauh-jauhnya kemungkinan perceraian. Demi kerana masa depan anak, suami isteri sewajarnya bersabar dan bertenang dalam mengekalkan ikatan perkahwinan, walau pun badai yang melanda itu terlalu besar dan ganas.

12. BAGAIMANA ANAK ANDA MENGGUNAKAN MASA LAPANG

Bagaimana anak anda menggunakan masa lapang?

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

Antara faktor kegagalan dalam pendidikan anak-anak ialah kegagalan ibu bapa menangani soal penggunaan masa lapang anak-anak dengan baik. Kadang-kadang ibu bapa menyangka bahawa anak-anak sibuk seperti mereka. Dari pagi hingga ke petang berkejar ke sana-sini mencari rezeki. Kadang-kadang sibuk pula dengan urusan keluarga dan aktiviti kemasyarakatan. Sedangkan anak terbiar menghabiskan masa dengan sia-sia dan melalaikan.

Ada juga ibu bapa yang cuba menyediakan aktiviti berguna kepada anak-anak, agar mereka manggunakan masa dengan bijak. Namun ramai juga yang lupa bahawa anak-anak ini mempunyai darah muda, kudrat remaja yang sentiasa mahukan aktiviti yang sesuai dengan fitrah mereka.

Anak-anak suka bermain

Waktu anak-anak ini masih kecil, mereka cenderung kepada aktiviti-aktiviti bermain dan berseronok. Ada macam-macam permainan yang mereka suka. Baik permainan dalaman atau in-door, apa lagi yang bersifat luaran out-door.

Bagi ibu bapa yang masa kecilnya tinggal di kampung, perkara ini mungkin dianggap bukan satu masalah. Sewaktu mereka kecil dulu, ibu bapa mereka tidak perlu merancang dan mengatur penggunaan masa lapang.

Di kampung macam-macam permainan boleh dimainkan. Anak-anak akan menggunakan masa lapang dengan berbagai bentuk permainan dengan menggunakan segala sumber yang banyak tersedia dan ruang yang luas.

Namun kini, suasana agak berubah. Anak-anak sukar untuk bergerak bebas bermain di luar. Selain faktor ruang kawasan yang sempit, soal keselamatan juga menjadi hambatan yang kritikal. Anak-anak yang banyak terperap di rumah ini cepat bosan dan memberontak jiwanya. Maka di sini perlunya ibu bapa memikirkan soal perancangan dalam menggunakan masa lapang bagi anak-anak yang masih kecil.

Memahami remaja

Jiwa remaja juga perlu diselami oleh ibu dan bapa. Secara umumnya remaja tidak suka rasa dikongkong. Nafsu ego yang bersarang dalam jiwa akan membuak-buak menuntut kebebasan dari kawalan orang lain. Namun, ini tidak bermakna remaja tidak boleh didisiplinkan. Jika kena gayanya, mereka boleh menjadi ‘tentera-tentera’ yang setia menjalankan tanggungkjawab dan memenuhi hasrat ibu dan bapa mereka.

Remaja juga mahukan kepuasan fizikal. Zaman remaja adalah zaman cergas. Inilah masa keemasan untuk bersukan, dan berekreasi. Anggota badan dan perasaan remaja akan merasa puas jika digunakan dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan keseronokan. Aktiviti fizikal ini bukan sahaja menyihatkan badan dan minda, bahkan juga membangkitkan emosi kegirangan dan mengendurkan rasa memberontak.

Selain suka mencuba, emosi remaja suka diasak dengan cabaran yang getir dan aktiviti yang lasak. Mendepani cabaran yang getir ibarat terbang ke langit tinggi. Melepasi cabaran getir itu bermakna melepasi satu kepuasan tidak terhingga. Jika emosi ini tidak tersalur pada jalan betul, para remaja mungkin akan menjadi mat rempit dan mat gian.

Peluang, bukannya ancaman

Realiti psikologi kanak-kanak dan remaja ini bukan satu ancaman atau kelemahan. Ia sebenarnya satu peluang peluang untuk membentuk remaja gemilang. Soalnya bagaimana kita menggunakan masa lapang para anak-anak kecil dan remaja itu. Bagaimana kita menggunakan potensi anak-anak untuk mencapai kehebatan dalam hidup. Masa yang ditempuhi di alam kanak-kanak dan remaja amat berharga. Waktu inilah kepintaran, watak, sikap dan akhlak cepat berkembang. Aktiviti yang dilalui pada tempoh ini akan banyak memberikan kesan jangka panjang kepada hayat mereka seterusnya.

Oleh yang demikian, ibu bapa tidak boleh lari daari merancang dan menyusun aktiviti masa lapang. Pada dasarnya bagi anak-anak ini, waktu terluang oleh digunakan untuk aktiviti berikut:

  • Belajar atau mengulangkaji pelajaran secara aktif, berjadual dan bijak.
  • Membanyakkan ibadah seperti solat-solat sunat pada waktu siang dan malam.
  • Mengunjungi masjid atau surau untuk solat berjamaah serta menghadiri majlis-majlis ilmu
  • Mengikuti kem atau kursus kemahiran dan motivasi bagi meningkatkan semangat dan membaiki diri.
  • Melakukan aktiviti bersama-sama dengan keluarga termasuk ibu bapa seperti mengecat rumah, membersihkan halaman dan lain-lain.
  • Bermain dengan keluarga atau rakan-rakan. Pilihlah permainan yang boleh merangsang minda serta dapat mengeratkan hubungan sesama pemain.
  • Bersiar-siar bersama-sama seperti keluar membeli barang, menziarahi saudara-mara dan rakan dan menghadiri program-program kemasyarakatan
  • Bersukan dengan keluarga atau kawan-kawan
  • Melancong

Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa kepuasan fizikal seseorang remaja boleh dipenuhi dengan ibadat solat kerana tiga faktor:

  • solat merupakan riadah semulajadi. Orang yang menunaikan solat perlu menggerakkan anggota utama secara tersusun dan terselaras. Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kecerdasan anggota badan, melancarkan pengaliran darah serta mengurangkan ketegangan otot-otot.
  • Solat menuntut taharah, iaitu kebersihan bersifat fitrah. Orang yang ingin solat mesti bersuci dan berwudhu’. Wudhu’ dapat membersihkan anggota fizikal seperti hidung, mulut, muka, telinga, kepala, tangan dan kaki.
  • Seseorang yang pergi menunaikan solat berjamaan di masjid atau surau akan berjalan lima kali sehari, pergi dan pulang. Secara tidak langsung ia dapat menyihatkan anggota badan.

Oleh yang demikian, para bapa terutamanya amat digalakkan mengajak anak-anak untuk bersama-sama mengunjungi masjid dan surau bagi menunaikan solat secara berjamaah. Ini adalah satu bentuk kaedah menggunakan masa lapang yang telah pun diajar oleh Rasulullah SAW. Baginda ada bersabda (riwayat Al-Hakim dan Abu Dawud):

“Suruhlah anak-anak kamu bersolat pada usia tujuh tahun, dan pukullah mereka untuk bersolat pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka pada tempat tidur”

Malangnya hari ini berapa ramai, ibu bapa yang leka kerana tidak pernah mengajak anaknya bersolat walau pun mereka sudah bersekolah. Mereka kadang-kadang berasa bahawa anak mereka masih ‘terlalu kecil’ untuk disuruh bersolat. Lupakah mereka bahawa apa yang disebut oleh Baginda itu datang dari wahyu Allah yang mengetahui kemampuan dan psikologi manusia. Ada yang beralasan bahawa mereka sudah menyuruh, tetapi tidak diendahkan oleh anak-anak. Soalnya bukanlah masalah keengganan anak-anak untuk mematuhi suruhan, tetapi masalah ibu bapa yang tidak bersungguh-sungguh menggunakan segala strategi terbaik bagi menjayakan usaha membiasakan anak-anak dengan solat.

Selain dari solat, Islam juga menggalakkan sukan, rekreasi dan pelancongan. Terdapat hadis-hadis yang menggalakkan sukan berkuda, memanah dan berenang. Ibu bapa boleh juga mengatur aktiviti sukan seperti permainan bowling keluarga, futsal dan badminton. Bagi anak-anak kecil, latihlah mereka menggunakan basikal dan berenang. Jika ada ruang bolehlah berkelah di kawasan jeram, sungai atau pantai. Bila tiba waktu cuti, jangan lupa untuk melancong sesama sekeluraga kerana ia adalah satu ibadah dalam usaha untuk mendidik anak di samping menghayati kebesaran Allah SWT.

Selain itu, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memantau penggunaan masa anak-anak. Perlu diketahui ke mana mereka pergi, dan apa aktiviti yang dilakukan. Pastikan aktiviti mereka bukan sahaja baik bahkan juga mempunyai menfaat untuk pembinaan peribadi mereka. Anak-anak termasuk remaja sebenarnya boleh didisiplinkan jika ia dilakukan dengan berhemah tapi tegas, lembut tapi konsisten.

Ringkasnya menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjadikan agama sebagai teras dalam menggunakan masa terluang anak-anak. Anak-anak perlu disibukkan dengan aktiviti berguna agar syaitan tidak dapat ‘menyibukkan’ mereka dengan maksiat dan kelalaian. Panduan Islam amat mantap dalam menunjukkan laluan terbaik bagi memanfaatkan masa anak-anak yang amat berharga itu.

13. KAWAN BANYAK MEMPENGARUHI ANAK-ANAK

Kawan banyak mempengaruhi anak-anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

 

 

 

Pengaruh kawan

Antara faktor kegagalan dalam pendidikan anak-anak ialah kelekaan ibu bapa dalam memantau anak-anak berkawan dan memilih kawan. Pengaruh kawan amat kuat dalam menentukan perwatakan anak-anak. Kawan ibarat cermin. Perangai kawan menjadi perangai sendiri. Kesukaan kawan menjadi kesukaan sendiri. Jika baik kawannya, maka baiklah seorang itu. Jika kawannya jahat, maka dia pun akan mudah menjadi jahat.

Hakikat ini bukan rekaan, tetapi adalah suatu yang terbit dari lidah Rasulullah SAW sendiri yang bersabda: “Manusia itu sentiasa menurut kelakuan temannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang dia berkawan dengannya.” (riwayat Tarmizi)

Dalam Hadis lain, Baginda Rasulullah SAW membuat perumpamaan yang cukup menarik. Sabda Baginda:

“Perumpamaan kawan yang baik dan kawan yang jahat ialah ibarat pembawa wangi-wangian dan tukang besi. Maka, bagi pembawa wangi-wangian, dia mungkin akan memberikan sedikit wangi-wangian kepada mu, atau, mungkin kamu membeli daripadanya, atau sekurang-kurangnya kamu dapat mencium bau yang harum dari wangi-wangiannya. Mana kala bagi tukang besi pula, dia mungkin akan membakar bajumu atau kamu mungkin akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi sabda Baginda SAW yang tepat dan padat: “Awaslah kamu berkawan dengan teman yang jahat, nanti kamu jadi jahat” (riwayat Ibnu Asakir)

Tegasnya, kawan itu sangat berpengaruh. Setiap orang perlu prihatin dengan kesan pengaruh kawan. Sebenarnya, Islam tidak pernah melarang kita berkawan, bahkan Islam adalah agama yang menggalakkan kita berkawan. Menjadi kera sumbang bukan anjuran Islam. Fitrah manusia pula memang perlukan teman dan kawan. Kawan bukan sahaja dapat melegakan jiwa dan perasaan, bahkan menjadikan kita matang dan lebih bertanggungjawab. Namun dalam kita berkawan kita perlu hati-hati dalam memilih kawan.

Kawan yang baik ialah kawan yang dapat sama-sama membimbing kita ke arah adab-adab yang mulia dan mendekati agama. Kawan sebenar ialah kawan yang menegur bila kita terpesong dan sedia ditegur bila dia melakukan silap. Tegasnya kawan yang baik ialah kawan yang membawa kita ke syurga.

Kawan ke neraka

Kawan yang jahat pula adalah kawan yang mengheret ke neraka. Berdasarkan beberapa kajian, antara faktor terbesar penagihan dadah di kalangan belia di Malaysia adalah kerana dorongan kawan. Begitu lah juga dengan gejala mat rempit dan mat gian. Semuanya gara-gara kawan.

 

Kawan yang jahat ini mengheret kawannya ke neraka tanpa disedari. Kadang-kadang mereka saling heret-mengheret. Masing-masing menjadi pendorong ke arah kejahatan antara satu sama lain. Jika nampak kawannya takut untuk melakukan benda-benda jahat dan lagha itu, dia akan memainkan peranan dengan mencabar dan mengherdik. Orang muda pantang dicabar. Maka lubang maksiat dan jenayah yang memusnahkan itu pun diterjuninya.

Kawan yang jahat ini tidak bermula dengan dadah, rogol dan rompak. Ia tidak bermula dengan zaman remaja. Ia bermula sejak tadika dan sekolah rendah. Di situ sudah ada kawan-kawan yang ‘jahat’. Jahat dalam erti mengajak kepada perkara-perkara yang lagha, maksiat kecil-kecilan, kedegilan, dan sikap memberontak.

Kanak-kanak adalah insan yang suci. Namun dalam diri dan kalbu mereka kadang-kadang terpalit sikap dan sifat negatif hasil salah didikan dan pencemaran budaya. Kanak-kanak yang membawa akhlak buruk begini boleh mempengaruhi kanak-kanak lain untuk melakukan perbuatan negatif.

Maka ibu bapa perlu hati-hati melihat kawan anak-anaknya sejak dari kecil lagi. Sejak dari Tadika atau Pasti, ibu bapa perlu memandu anaknya cara memilih kawan. Apa lagi bila remaja. Dorongan dan panduan berterusan perlu diberikan kepada anak-anak. Ingatan demi ingatan perlu diberi agar anak memilih kawan-kawan yang solih dan muslih.

Siapa kawan anak anda?

Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa bertanya siapakah kawan anaknya. Mereka perlu tahu namanya, di mana dia tinggal, siapa ibubapa, dan bagaimana perangainya. Ibu bapa perlu bijak mengorek maklumat. Mintalah anak-anak bercerita tentang kawannya. Sekali-sekala tanyalah khabar kawannya.

Lebih baik lagi, aturkan masa tertentu agar kawan-kawannya dapat datang ke rumah. Minta anak menjemput kawan-kawan mereka makan. Dengan cara ini, ibu bapa dapat mengenali kawan-kawan tadi dengan lebih dekat. Nasihatilah anak-anak anda bersekali dengan kawan-kawannya. Dengan cara ini, anak-anak akan rasa dihargai dan kawan-kawannya juga akan lebih menghargai anak anda dan anda sendiri sebagai ibu bapa.

Mencari kawan untuk anak

Selain itu ibu bapa juga boleh berikhtiar untuk mengaturkan anak-anak mencari kawan yang baik. Agar kawan itu datang dari keluarga yang baik dan berhemah, atau yang sama-sama meminati aktiviti yang murni dan sihat. Berikut antara beberapa cara yang boleh dilakukan:

  • Rapatkan anak-anak dengan saudara mara atau sepupu-sepupunya yang mempunyai akhlak yang baik dengan membayakkan ziarah-menziarahi. Kadang-kadang anak-anak boleh ditinggalkan bermalam rumah saudara agar dia dapat berkawan dengan lebih rapat lagi. Cara ini dapat menjadikannya memilih kawan yang baik disamping boleh mengeratkan ikatan silaturrahim.
  • Perkenalkan dan rapatkan anak anda dengan anak kawan-kawan anda yang diketahui mempunyai akhlak yang baik. Aturkan program ziarah yang melibatkan aktiviti santai, agar mereka boleh bergaul dengan mesra. Jika ada program-program yang melibatkan keluarga seperi Hari Keluarga dan rehlah, ajaklah mereka agar mendekati antara satu sama lain. Galakkan mereka membuat ikatan susulan agar perkenalan itu berpanjangan.
  • Libatkan anak-anak dengan usrah, kelab dan persatuan keremajaan yang menganjurkan program-program yang Islamik dan menarik. Galakkan mereka terlibat secara aktif agar mereka bukan sahaja memperolehi kawan-kawan yang baik bahkan dapat memberi sumbangan kepada ummah serta boleh mengasah bakat kepimpinannya.
  • Galakkan anak anda menghadiri majlis-majlis ilmu dan menunaikan solat di masjid dan surau. Di sini mereka akan bertemu dengan kawan-kawan yang baik dan berakhlak.

 

Ibu bapa ku kawan karib ku…

Jika anak anda mempunyai masalah, siapakah orang pertama yang dia akan jumpa? Adakah anak anda selesa menceritakan masalahnya kepada anda? Atau, dia lebih selesa menceritakan kepada kawan-kawannya? Siapakah pula orang pertama yang dia akan ceritakan perasaan gembiranya? Andakah selaku ibu bapa atau kawan-kawannya? Persoalan ini perlu sentiasa ditanya bagi mengukur tahap penerimaan anak-anak terhadap ibu bapa.

Bagi anak-anak, ‘kawan’ ertinya orang yang rapat dalam hidupnya. Orang yang boleh memahami apa yang dirasainya. Menjiwai kegemaran dan kebenciannya. Bermain dengan permainan yang sama. Bercakap dengan bahasa yang sama. Boleh diajak bersembang panjang dan boleh keluar bersiar-siar bersama-sama.

Tidak dinafikan rakan atau kawan sebaya mempunyai pengaruh besar dalam diri anak-anak. Fitrah manusia terdorong untuk mendekati mereka yang seusia untuk sama-sama bermain dan berbicara. Lantas, pengaruh rakan sebaya ini amat besar dalam menentukan perangai, pemikiran dan minat anak-anak.

Namun, hakikat ini tidak pula menafikan kemampuan ibu bapa untuk menjadi ‘kawan’ karib kepada anak-anak. Bapa contohnya boleh menjadi kawan karib anak lelakinya. Ibu pula menjadi kawan karib anak perempuannya. Menjadi kawan kepada anak tidak bermakna status bapa tergadai. Bahkan kedudukannnya sebagai bapa akan lebih mantap. Menjadi kawan kepada anak, tidak akan menghilangkan penghormatan seorang anak kepada ayah atau ibunya, bahkan jika kena caranya, penghormatan itu akan berganda-ganda.

Namun begitu, menjadi kawan karib kepada anak bukanlah suatu yang mudah. Sebagai ‘kawan’, ibu bapa perlu memberikan kepercayaan kepada anak, dan secara tidak langsung anak itu pula akan memberikan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada ibu bapanya.

Sebagai ‘kawan’ juga ibu bapa perlu mewujudkan keserasian antara satu sama lain. Di sini, ibu bapa perlu menjiwai minat dan kecenderungan remaja. Sebaik-baiknya ibu bapa terlibat sedikit sebanyak dengan aktiviti keremajaan yang digemari anak-anak. Pengetahuan tentang perkembangan semasa yang diikuti para kanak-kanak dan remaja juga perlu diketahui. Bahasa slanga ala remaja juga perlu diselit dalam perbualan agar mereka rasa selesa dan yakin dengan ibu bapa.

Ibu bapa perlu memahami bahawa mendekati anak-anak menggunakan pendekatan remaja dan kanak-kanak merupakan salah satu uslub dakwah yang berkesan. Rasulullah SAW sendiri berbicara dengan manusia berdasarkan tahap pemikiran dan umur mereka.

Memimpin kawan

Ibu bapa yang menjadi pendakwah kepada anaknya perlu juga menggalakkan anaknya menjadi pendakwah kepada kawan-kawannya. Selain dari berkawan dengan anak-anak ibu bapa juga perlu sentiada mendorong anak-anak untuk menjadi ejen perubah. Anak-anak perlu digalakkan untuk menjadi orang yang mempu mempengaruhi kawan, bukannya mudah terpengaruh dengan kawan, terutamanya jika kawan itu mengajak kepada kebobrokan.

Tegasnya, anak yang cemerlang bukan sahaja memilih kawan yang baik, bahkan mampu membawa kawan-kawannya menjadi lebih baik dan hebat. Betapa besar pahala ibu bapa mampu melahirkan anak-anak yang dapat membimbing rakan sebaya ke arah kebaikan. Anak-anak seperti ibni bukan sahaja menyejukkan mata ibu bahkan juga dapat menjadi pemimpin ummah suatu hari nanti.

14. MEDIA BOBROK BOLEH MEROSAKKAN ANAK-ANAK

Media Bobrok Boleh Merosakkan Anak-anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Hari ini ramai remaja dan anak-anak menjadi rosak akibat media yang menghancurkan. Manusia yang jahat menjadikan media sebagai alat untuk mengaut untung dengan mengorbankan masa depan umat manusia. Anak-anak yang asalnya suci bersih, menjadi punah jiwanya dan kotor akalnya akibat penangan media bobrok ini.

Media-media ini membawa seribu macam mesej songsang dan merosakkan. Paling banyak ialah bahan-bahan yang berunsur lucah, dengan aksi seks dan memperdagangkan tubuh manusia. Syahwat remaja yang sememangnya mekar itu diumpan dengan paparan berunsur seks tanpa batasan agama yang memandunya. Tidak kurang media yang ‘menjual’ elemen-elemen ganas sehingga menerapkan minda samseng dan memberontak pada hati anak-anak muda. Para remaja juga dihidangkan sepuas-puasnya dengan segala jenis hiburan yang melimpah ruah dalam segenap bentuk media. Bahan yang kebanyakannya bersumber dari budaya Barat yang merosakkan itu semakin banyak menyelinap masuk dan seolah-olah mula berakar umbi dalam sosio budaya remaja muslim di sebelah sini.

Langit terbuka, maksiat melata

Hari ini kita hidup zaman teknologi maklumat. Media datang dalam berbagai bentuk dan dengan berbagai rupa. Baik dalam bentuk bertulis, gambar, imej bergerak, dan bercetak. Bahkan di zaman digital yang semakin meluncur laju ini, ada juga media berbentuk tiga dimensi dan interaktif seperti game komputer dan seumpamanya. Akibat tumpulnya kesedaran agama, kebanyakan filem-filem hari ini sekadar memenuhi nafsu remaja bagi menaikkan jualan tiket. Amat susah untuk bertemu dengan filem yang mendidik. Demikian juga drama dan rancangan-rancangan televisyen. Bahkan, tak cukup dengan itu filem, dan teledrama dari Barat termasuk Amerika Latin pula diimport untuk menjaja cara hidup mereka yang busuk dan hanyir itu.

Selain dari itu, media internet menawarkan sesuatu yang lebih dahsyat. Sesuatu yang tiada batas, tiada sempadan. Apa yang dihajati remaja boleh dicapai dengan mudah. Pada skrin komputar yang tidak bersalah itu, semua gambar boleh terpapar. Wanita bogel, aksi ranjang, seks songsang atau apa sahaja, boleh diperolehi. Baik dalam bentuk gambar, video, cerita-cerita merangsang atau permainan komputar. Begitu juga aksi ganas, dan tidak berperikemanusiaan. Segala-galanya tersedia dengan banyak, dan melambak-lambak serta mudah dicapai.

Hari ini media perosak bukan sahaja berada di meja komputer atau di rak-rak kedai majalah, bahkan menjalar masuk dengan berleluasa dalam poket anak-anak. Tidak sedikit remaja yang memiliki telefon bimbit. Dalam alat komunikasi itu kadang-kadang tersimpan bahan-bahan lucah dan merosakkan iman. Bahan-bahan begini kadang-kadang dirakam sendiri atau diperoleh dengan cara mudah dari kawan-kawan menggunakan teknologi yang semakin hari semakin canggih. Bahkan, menjadi satu trend pula, ada anak-anak muda yang terlibat dengan agedan lucah ini tanpa segan silu menyebarkan aksi kepada rakan-rakan dan menyiarkannya di internet. Tindakan begini bukan sahaja menjatuhkan harga diri manusia bahkan menambahkan lagi bahan-bahan perosak dalam dunia siber.

Realitinya, media termasuk media cetak, filem mahu pun internet tidak bersalah. Manusia yang jahat dan perosak yang menyalahgunakan media ini untuk memuaskan hawa nafsu disamping mengaut keuntungan dari kepunahan moral manusia termasuk anak-anak. Kecanggihan teknologi yang berkembang laju ini menuntut ibu bapa meningkatkan paras kepekaan dan kewaspadaan dalam mendidik anak-anak. Hari ini bukan seperti dulu. Segala-galanya mudah dicapai. Yang baik dan yang jahat, sama-sama terhampar dan terdedah kepada sesiapa sahaja. Memanglah sukar untuk mengawal dan memantau, namun paling tidak ibu bapa perlu berikhtiar dengan cara berbaik bagi menghadapi cabaran getir ini.

Kesan berganda media perosak

Ibu bapa perlu sedar bahawa media cetak dan elektronik ini mampu memberi kesan berganda, berbanding nasihat lisan yang kita berikan saban hari. Bahkan media yang penuh tarikan ini jauh lebih digemari dan memberi impak kuat berbanding leteran si ibu yang menyakitkan telinga. Imej-imej yang terpapar lengkap dengan warna-warni akan tercetak dalam minda anak-anak dan mampu mempengaruhi pembentukan jiwa. Imej bergerak dalam internet, televisyen atau filem—secara sedar atau tidak—akan mencorakkan watak dan perangai anak-anak. Apatah lagi, game komputer, yang melibatkan psiko-motor anak-anak semasa mengendalikannya akan memberikan kesan panjang kepada minda dan kelakuan mereka. Jika permainan itu memerlukan mereka berwatak ganas dan sadis, maka watak itu mungkin terbawa-bawa dalam kehidupan seharian.

Media perosak ini sangat mudah melunturkan iman dan menghakis ketekunan ibadah. Maksiat-maksiat dalam bentuk zina mata ini menyebabkan kemanisan ibadah hilang dan mendorong mereka melakukan kemungkaran yang lain pula. Kegilaan kepada hiburan melampau dan ketagihan kepada keseronokan tanpa batas akan melontarkan remaja dan anak-anak ke gaung keruntuhan akhlak. Alangkah sayangnya! Anak-anak yang asalnya putih bersih, dicemari dengan media yang merosakkan ini.

Bagi anak-anak yang sedang menuntut ilmu, tentunya media yang melalaikan ini akan menghilangkan fokus mereka kepada belajar. Masa belajar semakin sempit gara-gara banyak masa dibazirkan dengan menonton TV, filem, mengadap internet atau bermain game. Lebih parah lagi jika mereka sudah pandai berjinak-jinak dengan cinta monyet akibat terpengaruh dengan media. Penyakit angau orang bercinta di bangku sekolah bukan sahaja boleh meruntuhkan iman dan akhlak bahkan boleh menggelapkan masa depan mereka.

Bahkan lebih jauh lagi, pengaruh media jahat ini bisa merosakkan remaja dan kanak-kanak sehingga melakukan maksiat dan jenayah. Gejala maksiat hari ini seperti khalwat, dan zina banyak didorong oleh peranan media yang membudayakan maksiat seperti itu. Hari ini rancangan televisyen, termasuk terbitan tempatan memaparkan pergualan bebas, lelaki wanita bukan muhrim tinggal serumah, anak luar nikah, dan perempuan simpanan sebagai fenomena biasa dan semacam tidak berdosa. Akibatnya anak-anak terikut-ikut dengan budaya ini, terutamanya jika tiada pedoman dari ibu dan bapa.

Paparan ganas pula mampu mendorong anak-anak membuat jenayah. Gejala rogol, samun, rompak, culik dan bunuh sedikit sebanyak didorong oleh pengaruh media perosak. Hakikat sepatutnya menyedarkan pemerintah, pengamal media, penyedia bahan, pengendali media, guru dan ibu bapa perlu menggandakan keprihatinan bagi mengatasi kemelut ini.

Tugas ibubapa makin berat

Gelombang media perosak yang makin mengganas ini menuntut keprihatinan maksimum ibu bapa. Insafilah, anak-anak kita pada fitrahnya inginkan kesucian jiwa dan hembusan taqwa. Mesej-mesej dari bahan media perosak hakikatnya amat jauh dari keputihan fitrah anak-anak. Maka usah kita sogokkan mereka dengan bahan-bahan pemusnah ini. Jika kita ingin membeli majalah, pilih lah majalah yang membina. Jangan ada majalah pendorong pergaulan bebas, majalah hiburan, majalah berunsur misteri dan tahyul, apa tah lagi majalah berunsur seks dalam rumah kita. Sejak dari tadika, mereka perlu didedahkan dengan majalah Islami.

Begitu juga dengan media elektronik. Usah berikan kepada anak-anak bahan-bahan CD atau DVD, mahu pun rancangan TV yang berunsur seks, ganas dan melalaikan. Usah biarkan mereka menonton adegan intim orang bercinta. Hari ini siri kartun kanak-kanak pun ada adegan French kiss, apa lagi dalam rancangan TV dan filem lain. Maka, peranan ibu bapa amat penting untuk mengawal dan sentiasa amengingatkan anak-anak dengan adegan yang boleh merosakkan iman ini.

Tapisan, pemantauan dan panduan ibu bapa amat penting dalam mengendalikan media untuk anak-anak. Bagi media yang sukar disekat, ibu bapa perlu bertindak sebagai penapis bahan-bahan yang tersiar. Tentukan kepada anak-anak bahan yang boleh ditonton dan yang tidak boleh ditonton. Begitu juga dengan internet. Perlu ada tapisan bagi membuka laman web. Gunakan teknologi semasa untuk menapisnya. Walaupun tapisan seratus peratus unsur perosak adalah hampir mustahil, namun sekurang-kurangnya biarlah ia terkawal.

Pemantauan berlu dibuat secara berkala bagi memerhatikan kecenderungan dan tingkahlaku anak-anak. Perlu diingat dengan kelebihan sebahagian anak-anak dalam soal perkembangan teknologi mungkin mereka bijak menyembunyikan perangai tidak senonoh mereka menggunakan bahan yang merosakkan. Maka, ibu bapa bukan sahaja perlu prihatin, bahkan perlu mengikuti perkembangan teknologi bagi memintas salahlaku yang mungkin dilakukan oleh anak-anak.

Perlu diingat juga bahawa ibu bapa perlu lah seimbang dalam memantau penggunaan media oleh anak-anak. Apa yang penting ialah kefahaman dan keyakinan anak-anak tentang bahaya bahan-bahan media yang merosakkan. Sebaik-baiknya biarlah anak-anak itu diserap dengan iman yang mendalam sehingga mampu mempunyai benteng diri bagi mengelakkan pengaruh media perosak ini. Selain itu, ibu bapa juga perlu menyediakan bahan-bahan alternative bagi memenuhi tuntutan jiwa kanak-kanak dan remaja, agar jiwa muda dan segar mereka tidak terkulai layu akibat sekatan yang melampau dan tidak munasabah.

15. KESEMPITAN HIDUP BOLEH MENJEJASKAN PENDIDIKAN ANAK-ANAK

Kesempitan Hidup dan Pendidikan Anak-anak

 

Antara faktor kepincangan dalam pendidikan anak-anak adalah kerana berlakunya kesempitan hidup yang melampau. Sebenarnya kesempitan hidup tidak semestinya menyebabkan ibu bapa tidak dapat mendidik anak dengan baik. Banyak anak-anak dari golongan fakir yang berjaya dan soleh. Ibu bapa mereka berjaya mendidik dengan baik walaupun mempunyai kemampuan material yang terbatas. Namun tidak dinafikan, hakikat kesempitan hidup dan pengangguran sedikit sebanyak boleh menjejaskan kestabilan keluarga dan pendidikan anak-anak.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam buku Pendidikan Anak-anak Dalam Islam, kemiskinan yang menyelubungi keluarga boleh menyebabkan anak-anak rasa terhimpit dan lantas terlibat dengan gejala-gejala negatif. Ada di kalangan anak-anak remaja mendapati rumahnya tidak selesa untuk didiami, terlalu sempit dan sesak, makanan yang terhad dan kurang menyelerakan; maka dia mencari jalan keluar untuk mendapatkan kemewahan itu. Pada saat begini, dia mudah terjebak dengan gejala-gejala bruk yang boleh merosakkan masa depannya. Bahkan lebih jauh lagi, dia mungkin akan terbabit dengan jenayah.

Selain itu, pengangguran dikalangan bapa juga memberi kasan besar kepada anak-anak. Bapa yang tidak bekerja tidak mempu menyara anak-anak lantas menyebabkan keluarga menjadi porak peranda dan pincang. Bahkan dalam kes-kes tertentu, bapa-bapa yang menganggur ini mudah pula terjebak dengan kerja yang sia-sia dan jenayah. Menurut Dr. Abdullah Nasih, keadaan ini tentunya mendorong anak-anak untuk mengikuti jejak langkah si bapa. Atau, mungkin juga di anak itu terpaksa berusaha mengambil tempat bapanya untuk mencari nafkah. Jika ini berlaku, anak-anak tadi tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan yang mencukupi untuk menjadi seorang yang berjaya.

Islam amat mengambil berat soal pengukuhan social umatnya. Syariat Islam bukan sahaja menyeru manusia bekerja kuat, bahkan mempunyai elemen-elemen sokongan untuk membasmi kemiskinan. Islam meletakkan asas yang kukuh agar kekayaan diagihkan dengan adil dan golongan yang fakir atau miskin sentiasa terbela. Islam yang mengutamakan kesaksamaan, menyariatkan zakat serta menggalakkan sedekah agar mereka yang berada terdorong untuk menghulurkan bantuan kepada yang susah.

Islam amat menggalakkan umatnya agar melindungi dan membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti golongan miskin, anak-anak yatim, janda serta orang-orang yang terlalu tua atau sakit dan tidak mampu menyara hidup. Ganjaran yang amat besar dan berganda-ganda dijanjikan kepada mereka yang sudi menghulurkan bantuan iklhas kepada mereka. Jika umat Islam menghayati galakan Islam yang hebat ini, nescaya sitiap pihak yang kurang bernasib baik pasti terbela.

Di samping itu Islam juga meletakkan tanggungjawab kepada [pemerintah untuk memastikan golongan yang tidak punya kemampuan kewangan yang baik ini dibantu. Bantuan itu sama ada dalam bentuk menyediakan peluang pekerjaan, bantuan pendidikan anak-anak atau bantuan sara hidup. Menurut Dr. Abdullah para pemerintah mempunyai kwajipan untuk menyediakan pekerjaan kepada rakyatnya.

Dalam satu peristiwa pada zaman Rasulullah SAW, Anas RA meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki dari kalangan Ansar datang kepada Rasulullah SAW, lalu baginda bertanya: Tidakkah ada sesuatu di rumah mu?. Lalu dia menjawab: Ada, pakaian yang kasar, setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, dan bekas yang kami minum air dengannya. Berkata Nabi SAW: Bawakan keduanya kepada ku!. Orang itu pun mengambil kedua-dua barang itu kepada Baginda. Maka Rasulullah mengambil barang itu dengan tangannya, lalu ditunjukkan untuk dijual, dengan berkata: Siapa mahu membeli dua barang ini? Seorang menjawab: saya mahu membelinya dengan dua dirham. Maka Nabi pun menjualkannya dengan dua dirham, lalu memberikan wang jualan itu kepada orang Ansar tadi. Rasulullah SAW berpesan: Beli makanan satu dirham dan segera kembali dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawanya ke mari. Ornag Ansar itu membeli kapak dan membawanya kepada Rasulullah SAW. Baginda memasang kayu pada kapak itu lantas menyatakan: Ambil kapak ini, dan pergi cari kayu, kemudian jual, dan jangan datang lagi selepas lima belas hari. Arang Ansar itu patuh kepada arahan Nabi. Selepas lima belas hari dia pun datang dengan sepuluh dirham yang sebahagiannya dia dapat membeli pakaian dan sebahagiannya untuk makanan. Lalu sabda Nabi SAW: Cara begini adalah lebih utama bagi mu daripada meninta-minta, sebab meminta-minta itu meninggalkan tanda di muka mu di akhirat nanti.

Kewajipan untuk membantu mereka yang susah dan tidak mempunyai pekerjaan membuktikan Islam amat mengambil berat soal keharmonian keluarga. Institusi keluarga hanya akan berfungsi dengan baik jika keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat perlindungan dapat disediakan dengan baik. Menurut riwayat Muslim, daripada Abu Said Khudri, sesungguhnya Baginda Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Barang siapa yang mempunyai kelebihan harta, hendaklah diberikannya kepada sesiapa yang tidak ada harta. Dan barangsiapa yang mempunyai kelebihan makanan, hendaklah ia memberikannya kepada siapa yang tidak ada makanan.

Dalam hadis yang lain, menurut riwayat Al-Tabarani dan Al-Bazzar, Baginda SAW bersabda:

Maksudnya: Tidak beriman kepada ku siapa yang tidur kenyang sedangkan jirannya di sebelah lapar, dan dia tahu yang demikian itu.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa, Islam mempunyai mekaniska tersendiri untuk membantares kemiskinan. Tangyungjawab bukan sahaja diletakkan kepada diri bapa dan ibu untuk berusaha mencari rezeki, bahkan juga kepada anggota masyarakat untuk saling Bantu membantu antara satu sama lain. Pemerintah juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan rakyat hidup dalam keselesaan serta mampu memenuhi keperluan-keperluan asas.

Tegasnya, Islam amat mengambil berat soal kestabilan dalam ekonomi keluarga. Sebuah keluarga yang kukuh ekonominya akan mampu melahirkan anak-anak yang seimbang dan terdidik. Tambahan pula realiti hari ini yang menuntut semua pihak untuk mempunyai kekuatan material disamping keperluan asas lain dari sudut kerohanian, ilmu dan kasih sayang. Walaupun harta bukan jaminan kepada kejayaan pendidikan anak-anak, namun ia sekurang-kurangnya dapat mengelakkan kemelaratan dan kesempitan yang mengkin menjerumus anak-anak ke lembah kerosakan akhlak.

16. USAH ABAIKAN TANGGUNGJAWAB MENDIDIK ANAK

Amanah didik anak: Sudahkah anda tunaikannya?

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Mendidik anak bukan sekadar proses spontan yang berlaku secara semula jadi, namun ia adalah satu amanah yang amat didorong oleh syarak. Tak dinafikan bahawa manusia secara semula jadinya mahukan anak mereka menjadi orang ‘baik’. Walau jahat sekali pun seorang bapa ibu, hati kecilnya tetap mahukan si anak menjadi orang yang berguna dan taat.

Naluri semula jadi manusia akan menggerakkan dirinya untuk mengasuh dan mendisiplinkan anak-anak. Hanya manusia yang hilang nilai kemanusiaan dan diserap nafsu serakah kebinatangan sahaja yang mahu melihat anaknya rosak dan jahat. Namun keadaan ini amat jarang berlaku. Kebanyakan manusia termasuk yang kurang beragama, bahkan yang terlibat dengan jenayah sekalipun biasanya berhasrat untuk memperolehi anak yang berjaya dan menjadi penyejuk hati.

Dalam Islam, keinginan untuk mendidik, dan mendisiplin anak-anak bukan sekadar terbit dari kemahuan naluri, bahakan ia terpancar dari pedoman agama dan berpaksikan perintah Allah dan Rasulnya. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Dan hendaklah engkau menyuruh ahli keluarga mu mengerjakan solat, dan bersabarlah terhadap perintah itu” (Thaha:132)

Solat yang dinyatakan dalam ayat diatas menjadi simbol kepada tema pendidikan anak yang dikehendaki oleh agama. Solat menjadi tapak kukuh kepada pembangunan kecemerlangan individu. Dalam solat terkandung ketaatan, disiplin, kesabaran, kawalan pelakuan, penyucian jiwa, ketajaman tumpuan akal serta kepatuhan kepada Allah dan RasulNya SAW. Jika bapa berjaya melatih anaknya solat dengan tekun, bersegera, khusuk dan sempurna, maka secara kasarnya, bapa itu sudah berjaya mendidik anaknya menjejak kea rah kecemerlangan.

Selain dari suruhan agar ibu bapa mendidik anak, terdapat juga ancaman keras ke atas mereka yang gagal mendidik anak. Secara tegas dan jelas, Allah meminta agar ibu bapa mendidik anak dengan sempurna, kerana kegagalan mendidik mereka bermakna menghantar mereka ke neraka. Firman Allah:

Maksudnya:“Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka…” (Al-Tahrim:6)

Ayat di atas meletakkan tanggungjawab mendidik anak sebagai tanggungjawab yang paling hampir bagi setiap individu. Maksudnya, sebelum seseorang itu sibuk dengan urusan mengajar dan mendidik orang lain, dia terlebih dahulu perlu memastikan bahawa anggota kelurganya terdidik dan selamat dari ancaman api neraka. Jika orang dibawah amananhnya rosak, bukan di anak sahaja yang akan tercampak ke neraka, bahkan si bapa atau ibu yang cuai dan gagal mendidik juga mungkin turut sama terhumban ke sana. Sabda Nabi SAW riwayat al-Bukhari dan Muslim:

Maksudnya: “Seorang lelaki itu bertanggungjawab terhadap isterinya, dan dia akan dipersoal tentang tanggungjawabnya. Dan seorang wanita itu bertanggungjawab terhadap rumah suaminya, dan dia akan dipersoal tentang tanggungjawabnya.”

Maknanya, seorang ibu dan bapa tidak boleh hanya pandai memberi makan minum serta pakaian kepada anak-anak, bahkan mereka seharusnya lebih tahu untuk memberikan santapan jiwa yang boleh menjamin kebahagiaan di akhirat kelak.

Hari ini ramai ibu dan bapa yang mampu memberikan segala macam kemahuan anak-anak seperti makan yang enak, hiburan yang menyeronokkan, percutian yang mewah, serta kemudahan seperti telefon bimbit dan pakaian yang cantik-cantik. Namun berapa ramai yang berupaya menghidangkan anak-anak dengan santapan jiwa dan asuhan agama agar rohaninya berasa puas dan tenang dengan panduan Ilahi.

Ramai juga ibu bapa yang dapat menyediakan rumah sebagai tempat perlindungan yang tersergam mewah, selesa dan lapang, namun gagal untuk melindungi anaknya dari jilatan api neraka yang mengganas. Tidak kurang juga ibu bapa yang dapat menggajikan pembantu-pembantu yang dapat memenuhi segala macam keperluan si anak duniawi, namun amat sedikit ibu bapa yang menyediakan guru yang dapat membimbing anak-anak bagi memenuhi tuntutan ukhrawi.

Demi mengejar keputusan peperiksaan yang cemerlang dalam kegilaan persaingan dunia akademik persekolahan, ramai ibu dan bapa yang sanggup berbelanja besar menghantar anak-anak menghadiri tusyen. Tidak cukup dengan tusyen petang dan malam, dihantar pula ke tusyen hujung minggu. Malah ditambah pula dengan segala macam bengkel strategi peperiksaan dan menjawab soalan. Namun agak sukar mencari ibu bapa yang cakna untuk menghantar anaknya kepada guru yang mampu memperbetulkan solat, membaiki bacaan al-Quran serta mendidik adab yang Islami. Sedangkan program pendidikan Islam yang memupuk akhlak serta mendekatkan anak-anak dengan Islam amat penting untuk masa depan anak-anak itu. Rasulullah SAW dalam riwayat Tarmizi bersabda:

Maksudnya: “Tiada pemberian daripada seorang ayah yang lebih baik daripada adab yang mulia”

Dalam sabda lain melalui riwayat Al-Tabarani, Baginda SAW menyebut, maksudnya: “Lengkapkan anak-anak mu dengan tiga perkara: Cintakan Nabi kamu, cintakan ahli keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”

Dr Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa, golongan terdahulu dalam sejarah Islam telah menunjukkan contoh kesungguhan mendidik anak-anak melalui guru-guru yang soleh dan baik. Beliau membawa contoh dari kitab Muqaddimah Ibn Khaldun yang menyebut: Bahawasanya Harun Al-Rasyid, apabila menyerahkan puteranya Al-Amin kepada pendidiknya, telah berkata: “Wahai Ahmar! Sesungguhnya Amirul Mukminin telah menyerahkan kepada mu buah hatinya, maka letakkan tangan mu ke atasnya dengan lemah lembut, dan ketaatan mu kepadanya wajib, letakkan dirimu kepadanya, seperti engkau meletakkan diri mu kepada Amirul Mukminin. Ajarkan dia membaca al-Quran, dan kenalkanlah dia dengan sejarah, pupuklah dia dengan syair-syair, penuhkanlah dadanya dengan Hadis-hadis Nabi, tunjukkilah dia cara-cara bertutur, dan jarangkanlah dia dari ketawa melainkan pada waktu yang sesuai, dan jangan sampai berlalu satu saat pun melainkan engkau asakkanlah dia dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa menysahkannya, kelak akan mati pula otakknya, dan jangan terlalu beringan-ringan untuk memberikannya masa lapang, kelak dia akan merasa sedap dan sentiasa ingin berlapang-lapang, dan luruskan dia sekadar yang termampu dengan mendekatkan diri kepadanya, dan dengan lemah lembut, tetapi jika dia menolak sikap ini, maka hendaklah engkau mengambil sikap tegas dan keras.”

Demikianlah pesanan panjang Khalifah Harun AL-Rasyid kepada guru anaknya. Apa yang penting, kita dapat menceduk pengalaman silam ini untuk menjadi kayu ukur kepada keperluan pendidikan anak pada hari ini. Dr Abdullah Nasih menggariskan tujuh bentuk amanah pendidikan anak-anak iaitu seperti berikut:

  1. amanah pendidikan Iman
  2. amanah pendidikan akhlak
  3. amanah pendidikan fizikal
  4. amanah pendidikan mental
  5. amanah pendidikan emosi
  6. amanah pendidikan kemasyarakatan
  7. amanah pendidikan seks

 

Kesemua amanah pendidikan di atas ini dibincangkan dalam bukunya ‘Tarbiyah al-Awlad’ secara terperinci. Insyaallah artikel akan datang akan menyentuk aspek-aspek pendidikan ini satu per satu.

17. SUBURKAN IMAN ANAK-ANAK SEJAK KECIL

Suburkan Iman Anak-anak Sejak dari Kecil

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Perkara pertama dan utama dalam pendidikan anak-anak muslim adalah pendidikan iman. Iman adalah teras pembangunan insan setiap manusia. Iman adalah senjata dan santapan rohani yang disediakan oleh Yang Maha Mencipta untuk menyinari jiwa makhlukNya yang bernama manusia. Iman adalah modal terbesar yang menentukan jatuh bangunnya seorang insan, bahkan menentukan masa depan sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Iman jugalah yang menjadi satu-satunya pokok persoalan dalam menetapkan nasib berkekalan buat setiap sekujur tubuh manusia di akhirat nanti. Jika murni jiwanya dengan iman, maka dia layak menghuni syurga buat selama-lamanya. Jika kosong hatinya dari nur iman, maka dia akan terperosok dalam lubang neraka sampai bila-bila.

Wajah putih bersih anak-anak kecil menggambarkan betapa luhurnya naluri keinsanan yang ada padanya. Sebagaimana sabda Junjungan SAW, setiap bayi yang lahir itu suci seumpama kain putih. Tiada sebarang cacat dan calit. Maka, para ibu bapa, penjaga dan pendidiknyalah yang akan menentukan warna kain yang putih itu. Putih bersih itu adalah ibarat kepada fitrah yang berpaksikan kemurnian iman.

Sejak dari awal lagi, manusia bermula dengan beriman sebagai sebahagian dari fitrahnya. Fitrah yang terbina melalui janji datuk sekalian manusia iaitu Adam a.s yang menzahirkan imannya di hadapan Allah. Juga fitrah yang bertapak dari janji keimanan setiap roh manusia sewaktu mereka masih di alam roh lagi. Maka, para ibu dan bapa selaku pendidik tidak perlu mencari apa-apa warna lain, atau membiarkan sesiapa mewarnakan anak-anaknya dengan warna yang lain. Biarlah iman terus melebar dan subur sebagai perisai dan pencuci dalam jiwa anak-anak bagi memastikan warna putih bersih itu sentiasa terjaga dari sebarang kotoran.

Oleh itu, pendidikan keimanan bermaksud memupuk jiwa dan perlakuan anak-anak agar meyakini dengan seteguhnya dasar-dasar aqidah, seterusnya menjelmakan keyakinan itu dalam bentuk ibadah dan akhlak yang luhur. Asas-asas keimanan meliputi keyakinan kepada Allah, Rasul, Malaikat, Akhirat, Kitab dan qadar qadar. Pendidikan keimanan ini memerlukan pendedahan bijaksana dan ingatan berterusan lebih-lebih lagi kerana ia melibatkan soal-soal ghaib. Soal ghaib bermaksud, perkara yang tidak dapat atau belum dapat dilihat, didengari atau dirasai oleh pancaindera manusia. Bagi memahamkan anak-anak dengan perkara ghaib ini, para ibu bapa tentunya perlu terlebih dahulu mempunyai keyakinan dan kefahaman yang jitu.

Mempupuk keimanan yang mantap ini harus bermula sejak dari kanak-kanak itu masih kecil. Ada di kalangan ibu bapa yang membiarkan anak-anak tidak memahami tauhid, dan mengharapkan agar perkara itu dipelajari bila mereka menjejak kaki ke sekolah kelak. Ada yang memandang rendah kepada anak-anak dengan menyangka bahawa mereka terlalu muda untuk memahami soal aqidah ini. Tidak kurang juga yang tidak membuka mulut kepada anak-anak dalam soal akidah ini lantaran sikap tidak ambil pusing. Selain itu terdapat pula ibu bapa yang tidak menceritakan soal aqidah kerana mereka tidak mempunyai kebijaksanaan untuk menjelaskan persoalan ini menggunakan bahasa anak-anak dan pendekatan yang serasi dengan tahap daya fikir mereka.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, dalam hal pendidikan iman anak-anak, Rasulullah SAW menunjukkan lima garis besar yang sewajarnya menjadi pedoman setiap ibu bapa.

Pertama, jadikan perkataan syahadah iaitu La ilaha illa Allah sebagai kalimah awal yang didengari dan disebut oleh anak-anak. Seruan ini terbukti dalam gesaan Baginda SAW agar anak-anak di sambut menjelang kelahiran dengan kalimah-kalimah azan, yang turut mengandungi ucapan syahadah.

Selain dari azan, para ibu bapa juga harus berikhtiar agar anak-anak mampu menyebut perkataan ‘Allah’. Di samping anak-anak diajar perkataan-perkataan ‘susu’, ‘air’, ‘mama’, ‘abah’ atau sebagainya, ajarlah bersama-sama perkataan ‘Allah’. Walau pun sebutannya agak sukar di peringkat awal, namun kebolehan anak itu menyebut perkataan ‘Allah’ akan menjadi satu tapak kukuh dalam usaha tarbiyah keimanan. Bahkan, perkataan ‘Allah’ ini tentunya merupakan zikir mempunyai kelebihan yang boleh membawa kepada ketenangan dan keceriaan kepada anak-anak, atau mungkin seribu macam kehebatan yang kita tidak sedari.

Selepas dibiasakan perkataan ‘Allah’, ibu bapa boleh teruskan mengajar anak-anak agar mampu menyebut kalimah syahadah. Seterusnya apabila anak-anak itu sudah boleh memahami, ibu bapa perlu pula menerangkan maksud kalimah syahadah itu dengan cara yang mudah difahami.

Kedua, Rasulullah SAW meminta agar anak-anak didedahkan dengan sempadan hidup iaitu soal halal dan haram. Anak-anak perlu didedahkan dengan istilah-istilah berikut iaitu: ‘baik’ dan ‘tak baik’; istilah ‘Allah suka’ dan ‘Allah tak suka’; istilah ‘masuk syurga’ dan ‘masuk neraka’; iatilah ‘dosa’ atau ‘pahala’; atau istilah ‘boleh’ dan ‘tak boleh’. Istilah-istilah ini bertujuan untuk memahamkan anak-anak bahawa kehidupan ini mempunyai batas-batas yang ditetapkan oleh Allah, dan setiap apa yang dilakukan mempunyai implikasi dosa pahala.

Sesetengah pihak mungkin berpandangan bahawa teknik ini akan mnyekat ruang fikiran anak-anak, dan membantut pemikiran kritis dan kreatif. Pandangan ini adalah tidak tepat kerana, batas-batas yang ditetapkan kepada anak-anak ini adalah sesuatu yang bersumberkan dari Allah yang mencipta manusia. Batasan itu bukannya sesuatu yang sengaja dicipta oleh ibu bapa dan digunakan secara sewanag-wenangnya. Bahkan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak berfikir secara kreatif dan terbuka dalam perkara-perkara yang tidak dibataskan oleh syara’. Perlu diingat bahawa pembinaan keimanan melalui pengawasan kepada hukum Allah perlu diterapkan sejak anak masih kecil. Sikap liberal yang berlebihan akan menyebabkan anak-anak itu hilang pedoman, dan teraba-raba mencari laluan hidup apabila besar nanti.

Apa yang lebih penting, gesaan supaya anak-anak didedahkan dengan halal dan haram ini datang sendiri dari Baginda SAW yang bersabda sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas, maksudnya:

“Beramallah dengan ketaatan kepada Allah, dan jauhilah maksiat kepada Allah, dan suruhlah anak-anak kamu supaya mematuhi perintah-perintah (Allah), dan menjauhi larangan-larangan (Allah), maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada azab api neraka” (Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir)

Ketiga, bagi mengukuhkan iman kepada Allah, Baginda SAW meminta agar ibu bapa menyuruh anak-anak beribadat sejak dari kecil lagi. Seruan ini terbukti melalui sabdanya sebagaimana riwayat daripada Ibnu Amru bin Al-Ash r.a. bahawa Baginda bersabda, maksudnya:

“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia demi sembahyang pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka di tempat tidur.” (Al Hakim dan Abu Dawud)

Keempat, Rasulullah SAW meminta agar para sahabat dan sekalian umat Islam mendidik anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW serta keluarga Baginda. Kecintaan kepada mereka akan mendorong anak-anak untuk mengatahui lebih lanjut kisah kehidupan Baginda dan keluarganya. Seterusnya, anak-anak akan terbuka hati untuk menjadikan Baginda dan anggota keluarganya sebagai contoh teladan dalam kehidupan.

Kelima, Baginda juga menggalakkan umat Islam untuk mengajar anak masing-masing membaca dan menghayati al-Quran. Kecintaan kepada al-Quran adalah asas kepada ketekunan dalam menuntut ilmu dan mengamalkannya mengikut panduan Islam. Kelaziman bacaan al-Quran juga akan dapat mendekatkan diri anak-anak kepada Allah seterusnya menyuburkan lagi iman anak-anak.

Suruhan-suruhan Baginda SAW berkaitan mencintainya serta pembacaan al-Quran ini terkandung dalam sabda Baginda daripada Ali bin Abi Talib k.w. bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:

“Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, dan mencintai keluarganya, serta membaca al-Quran. Kerana para pembaca al-Quran berada di sisi arasy Allah bersama-sama para anbiya’Nya dan ashfiya’Nya pada hari tida naungan melainkan naungan Allah sahaja.” (Al-Tabarani)

Kesimpulannya, anak-anak memerlukan didikan dan perhatian dari ibu bapa terutamanya dari sudut tarbiyah ruhani. Dalam melaksanakan tuntutan itu, panduan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seharusnya menjadi rujukan utama bagi memastikan usaha tarbiyah itu berjalan dengan berkesan.

18. DIDIK ANAK-ANAK MENGENALI ALLAH

Didik Anak-anak Mengenali Allah

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Setelah anak-anak diperkenalkan dengan sebutan perkataan ‘Allah” dan “Lailaha illa Allah”, para ibu dan bapa perlu menyusuli usaha mendidik dengan memperkukuh iman dan keyakinan anak itu kepada Allah. Anak yang masih baru mengenal dunia itu amat mudah untuk menerima dan mempercayai maklumat yang disampaikan. Oleh kerana maklumat yang tersimpan dalam kotak fikirannya masih sedikit, maka tahap daya kritisnya amat kurang. Apa sahaja yang disebut oleh ibu dan bapa, mudah sahaja ditelan bulat-bulat. Oleh itu, tempoh inilah saat yang paling sesuai untuk memulakan ‘pengajian’ aqidah kepada anak-anak.

Jangan fikir anak-anak anda tidak mampu memahami soal akidah ini. Walau pun aqidah ini perkara abstrak—tidak boleh dilihat dan ditunjukkan melalui pancaindera—namun jika kena cara penceritaannya, anak-anak boleh memahaminya dengan mudah. Usah dedahkan dahulu soal-soal falsafal yang terhimpun dalam kitab-kitab tauhid yang tebal-tebal itu. Cukuplah dengan mengaitkan iman kepada Allah itu dengan benda-benda yang dilalui dan dirasai oleh anak-anak itu seperti makanan, pokok-pokok, anggota badannya, dan seumpamanya.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, sejak anak itu mula mumayyiz, mereka sudah boleh didedahkan dengan kebesaran Allah yang mencipta alam yang menakjubkan. Minta mereka fikirkan betapa hebatnya Allah mencipta manusia, binatang, tumbuhan, bumi dan langit. Jelaskan betapa semuanya ini tidak mampu dibuat oleh manusia yang banyak kelemahan.

Bahkan mengenali Allah ini tidak sukar untuk dilakukan dengan memulakan pada anggota badan sendiri. Misalnya, minta anak itu meletakkan telinga ke atas dada ibu atau ayah untuk merasai degupan jantung. Kemudian minta dia merasai jantungnya sendiri dengan tangan. Jelaskan bahawa jantung itu telah bergerak sejak dari dalam perut hingga mati. Jelaskan juga bahawa manusia tidak mampu untuk menggerakkannya jika tanpa kekuasaan Allah. Jika Allah mahu matikan seseorang, Allah boleh hentikan sahaja jantungnya.

Kemudian, ibu bapa boleh teruskan dengan memahamkan si anak bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jelaskan betapa pengasihnya Allah yang memberikan nikmat makan dan minum, tempat perlindungan, kesihatan dan tubuh badan yang sempurna. Ingatkan dia selalu bahawa setiap rezeki yang diperolehi itu adalah tanda kasih Allah kepada manusia. Galakkan dia mengucapkan rasa syukur sepenuh hati agar semakin dekat dirinya dengan Allah. Jika menonton, terjumpa atau bercerita tentang dengan mereka yang cacat, miskin, atau melarat, janganlah lupa untuk mengingatkan anak agar bersyukur dengan nikmat yang diperolehi. Fahamkan kepada mereka bahawa Allah kadang-kadang menjadikan manusia dan makhluk lain dengan beberapa kekurangan supaya manusia lain dapat bersyukur dengan kesempurnaan serta nikmat yang diberikan.

Setiap kali mengadap makanan, ibu bapa perlu sentiasa menyebut bahawa rezeki itu dari Allah. Jelaskan bahawa, walau pun makanan atau bahannya itu mungkin dibeli, namun hakikatnya ia datang dari Allah melalui pintu-pintu rezeki seperti kepandaian, kebolehan, pekerjaan yang baik dan gaji yang memuaskan. Bandingkan dengan orang lain yang susah dan tidak ada makanan untuk dijadikan santapan. Cara ini insyaallah mampu meningkatkan keyakinan tentang sifat Allah Yang Maha Pemberi dan Maha Penyayang. Selain itu jangan lupa untuk meminta anak-anak agar mendalami rasa sayang dan kasih kepada Allah sebagaimana Allah mengasihi mereka.

Bila berkelapangan, bawa anak-anak beriadah di taman atau kawasan rekreasi. Sambil berseronok bermain, jangan lupa untuk sebutkan tentang kehebatan Allah yang menjadikan alam yang sangat cantik. Sebutkan tentang kerdilnya manusia yang tak mampu untuk membuat makhluk seumpamanya walau pun sebesar semut. Kaitkan juga dengan hakikat bahawa makhluk-makhlik Allah itu termasuk pohon-pohon, batu, air, binatang dan tanah sentiasa berzikir kepada Allah dengan bunyi yang tidak didengari atau dalam bahasa yang difahami manusia.

Kemudian, paparkan pula keyakinan kepada sifat Allah yang Maha Melihat, Maha Mendengar, Maha Meneliti dan Maha Mengetahui apa sahaja yang berlaku di alam ini. Yakinkan si anak bahawa Allah sedang memerhatikan apa yang sedang manusia lakukan. Pendekatan ini amat penting untuk melahirkan sifat ihsan dalam diri anak. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW tentang ihsan iaitu: “Agar kamu menyembah Allah seolah-oleh engkau sedang melihatNya. Andaikata engkau tidak mampu melihatnya, maka yakinlah bahawa Dia tetap melihat engkau”.

Sifat ihsan ini adalah teras dalam mengukuhkan aqidah anak-anak. Imam Al-Ghazali membawa satu kisah Sahel bin Abdullah Al-Tustari dalam kitab Ihya Ulumiddin. Sahel berkata: Ketika aku berusia tiga tahun, aku sudah bangun malam, maka aku perhatikan solat bapa saudaraku, Muhammad bin Siwar. Pada suatu hari, dia berkata kepada ku: Tidakkah engkau berzikir kepada Allah yang menjadikan engkau? Aku menjawab: Bagaimana aku berzikir kepadaNya? Muhammad bin Siwar menjawab: Sebutkan dalam hati mu ketika engkau berbalik-balik di tempat tidur tiga kali, tanpa engkau menggerakkan lidah mu: “Allahu ma’ani, Allah naazirun ilayya, Allah syaahidi” (Allah ada bersama-sama ku, Allah melihat kepadaku, Allah memerhatikanku).

Renungilah bagaimana Rasulullah mentarbiyah seorang anak kecil iaitu Abdullah bin Abbas r.a. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Al-Tarmizi. Abdullah mengatakan bahawa:

“Pada satu hari aku menunggang bersama di belakang Nabi SAW. Lantas, Baginda bersabda: Wahai anak kecil! Aku akan mengajarimu beberapa pedoman: Peliharalah Allah, niscaya Dia akan memelihara mu. Peliharalah Allah nescaya Dia akan berada hampir denganmu. Jika kamu mahu meminta, maka mintalah daripada Allah. Jika kamu mahu mendapatkan pertolongan, dapatkanlah pertolongan daripada Allah. Dan ketahuilah, jika manusia berkumpul untuk memberikan manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan dapat memberikannya melainkan dengan ketetapan dari Allah. Dan jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu melakukannya, melainkan dengan ketetapan oleh Allah ke atas kamu. Pena telah diangkat dan catatan telah kering.”

Demikianlah contoh unggul tarbiyah rabbaniyah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Paparan ini membuktikan bahawa pendidikan untuk memastikan anak-anak mengenal Allah amat penting untuk dimulakan sejak dari kanak-kanak. Dengan kesungguhan ibu bapa menerapkan aqidah yang sahih ini insyaallah dapat menjadikan anak-anak tegus mempertahankan aqidah walau pelbagai gelombang dugaan dan cubaan yang dihadapinya.

19. IBUBAPA PENENTU AKHLAK ANAK-ANAK

Ibubapa Penentu Akhlak Anak-anak

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Tidak ada ibu atau bapa yang mahukan anaknya menjadi jahat. Bila melihat wajah anak kecil yang sedang nyenyak tidur, si ibu dan bapa akan membayangkan bahawa suatu hari nanti anak itu akan menjadi seorang yang berjaya, berhemah dan berakhlak. Lintasan perasaan itu sebenarnya adalah manifestasi harapan menggunung, agar anak itu suatu hari nanti dapat menggembirakan hati ibu bapa dengan menjadi seorang yang punya peribadi yang luhur dan berhemah tinggi. Namun harapan hanya akan tinggal harapan, jika ibu dan bapa tidak merancang dan berusaha untuk membentuk akhlak anak-anak sejak dari kecil lagi.

Akhlak adalah perilaku mulia yang terserlah melalui percakapan, perbuatan, layanan, mimik muka, penghargaan dan seumpamanya. Akhlak secara luasnya meliputi perilaku ketika berurusan dengan sesama manusia, dengan Yang Maha Pencipta, dengan makluk lain seperti haiwan, tumbuhan atau benda, serta akhlak dengan anggota badan sendiri. Secara lebih halus lagi akhlak bukan sahaja melibatkan perlakuan yang boleh dilihat, bahkan juga melibatkan soal hati dan perasaan. Bahkan, biasanya apa yang terbit dari perasaan itulah terserlah dalam tingkah lagu.

Seperti yang telah diperkatakan dalam artikel lepas, pengaruh utama yang menentukan peribadi seseorang anak ialah keimanan atau aqidah. Jika iman anak itu kukuh, nescaya semua urusan lain termasuk soal akhlak dan budi pekerti dapat diolah dengan mudah. Iman yang tertanam di dalam hati akan menerbitkan rasa kepatuhan kepada Allah yang membolehkan hati yang beriman itu mendorong akal dan pancaindera untuk melakukan kebaikan. Iman juga melahirkan perasaan halus yang menentukan kesucian hati dan perasaan.

Perasaan-perasaan positif yang mempengaruhi tingkahlaku seperti sabar, bertanggungjawab, jujur, tabah, redha dengan apa yang ada serta berani sebenarnya lahir dari hati yang teguh yang berakarkan iman. Begitu juga penyakit-penyakit seperti hasad dengki, gopoh, tamak, saling membenci, cepat marah, dan khianat tumbuh pada hati yang kotor dan gersang dari cahaya taqwa. Ibu bapa yang inginkan anak-anaknya berjiwa murni wajib mendidik anak-anak dengan pedoman iman dengan disertakan dengan bekalan ibadah.

Ibnu Hibban telah meriwayatkan daripada Anas r.a daripada Nabi saw, sabdanya: “Hendaklah seseorang itu diaqiqahkan pada hari ketujuh, dan dinamakan serta dijauhkan daripada bahaya. Apabila dia mencapai usia enam tahun hendaklah dia dididik dengan aklak yang mulia. Apabila dia mencapai umur sembilan tahun hendaklah dipisahkan dari tempat tidurnya. Apabila dia mencapai umur tiga belas tahun hendaklah dia dipukul jika meninggalkan solat dan puasa. Apabila dia mencapai umur enam belas tahun hendaklah dia dikahwinkan oleh ayahnya. Kemudian ayahnya wajib membimbingnya seraya berkata: Aku telah mendidikmu dengan akhlak yang baik, aku telah mengajarmu, sudah mengahwinkan mu, dan aku juga berlindung kepada Allah dari sebarang fitnahyang kau lakukan di dunia, dan siksaanmu di akhirat.”

Selain dari iman yang teguh, anak-anak juga memerlukan pesanan berterusan dari ibu bapa untuk membentuk akhlak yang mulia. Kanak-kanak yang masih bersih jiwanya amat mudah menerima pesanan dan nasihat dari ibu bapa. Ibu bapa perlu bijak untuk memilih masa yang sesuai dan tempat yang baik untuk menyampaikan nasihat. Biasanya nasihat berbentuk ingatan awal sebelum sesuatu kesalahan adalah lebih berkesan daripada teguran atas sesuatu kesalahan. Nasihat yang disampaikan pada waktu tenang seperti selepas solat, biasanya lebih bermakna berbanding nasihat ketika dalam kesibukan.

Nasihat yang diberikan akan lebih berkesan jika ia sentiasa diulang-ulang. Minda manusia akan teguh dengan sesuatu maklumat jika sesuatu perkara itu disebut berulang kali. Sifat manusia yang sentiasa lupa juga memerlukan pengulangan dalam nasihat. Oleh yang demikian, ibu bapa tidak perlu jemu untuk sentiasa menasihati anak-anak untuk berakhlak mulia.

Cara memberikan nasihat juga amat penting dalam mendidik budipekerti. Cara yang silap akan menyebabkan si anak rasa bosan, menyampah dan memberontak. Setiap anak memerlukan belaian dan kasih sayang – termasuklah ketika dinasihati. Tataplah mata mereka dan bicaralah dengan jelas dan nyata. Selitkan kalimah-kalimah kasih agar mereka menyedari bahawa nasihat itu dibuat bagi menjadikan mereka insan yang berperibadi mulia, demi kebaikan mereka.

Di samping itu, nasihat juga perlu disusuli dengan latihan dalam berbudi bahasa. Akhlak mulia seperti menghormati orang tua, berhemah ketika berbicara, menikmati makanan dengan sopan, suka menolong dan seumpamanya hanya akan berjaya dipupuk melalui latihan berterusan. Pesanan secara teori sahaja tidak memadai untuk membentuk peribadi yang luhur. Di meja makan misalnya, ibu bapa perlu melatih anak-anak makan dengan adab-adab Islam. Begitu juga bila balik kampung, anak-anak perlu dilatih untuk menghormati nenek dan datuknya, serta pandai bergaul dengan sepupu-sepupunya. Demikianlah peranan berterusan ibu bapa yang bertanggung jawab untuk menjadi ‘jurulatih’ sekaligus ‘penyelia latihan amali’ kepada anak-anak di mana sahaja mereka bersama.

Perkara yang paling penting dalam pendidikan akhlak anak-anak ialah peranan ibu bapa untuk menjadi qudwah hasanah atau contoh yang baik. Tingkahlaku ibu dan bapa akan memberikan pengaruh yang amat besar kepada anak-anak. Tidak guna nasihat berjela-jela, jika ibu bapa sendiri menunjukkan contoh yang hodoh.

Selain keimanan yang teguh, nasihat, latihan dan teladan, pendidikan akhlak juga memerlukan elemen peraturan dan hukuman. Si anak perlukan peraturan yang dikuatkuasakan dengan disiplin yang konsisten dan rasional. Disiplin yang berbentuk rutin akan menjadikan anak-anak lebih berhemah dan berkelakuan baik. Hukuman yang mendidik juga perlu dalam situasi tertentu dalam usaha untuk mendidik aklhak mulia.

Tegasnya, pendidikan akhlak ke atas anak-anak memerlukan segenap aspek perhatian dari ibu dan bapa. Pada waktu kanak-kanak dan remajalah, pendidikan akhlak ini perlu diberikan perhatian serius. Waktu ini mereka mudah ditarbiyah, tetapi mudah juga dirosakkan oleh anasir jahat. Dengan wujudnya cabaran luaran yang amat hebat, ibu bapa sewajarnya melipatgandakan usaha untuk mendidik anak-anak dan memastikan anak-anak berada dalam persekitaran yang sihat untuk pembentukan akhlak yang mulia.

20. AKHLAK ANAK-ANAK PERLU DIASUH

Akhlak Anak-anak Perlu Dibentuk

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Kesan pendidikan akhlak merupakan satu kayu ukur kepada kejayaan ibu bapa mendidik anak-anak. Jika akhlak anaknya baik, maka masyarakat akan menganggap bahawa dia telah berjaya mendidik dan membentuk anaknya. Sebaliknya, jika akhlak si anak itu bobrok, segala kesalahan dan kelemahan akan disasarkan kepada ibu bapa yang dianggap gagal mendidik anak-anak.

Senario ini berlaku kerana pendidikan akhlak memberikan kesan langsung kepada tingkahlaku anak-anak yang boleh disaksikan oleh masyarakat. Penilaian yang dibuat oleh masyarakat ini adalah suatu yang wajar kerana ia secara tidak langsung dapat menyedarkan ibu bapa tentang pentingnya pendidikan akhlak anak-anak.

Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan, ibu bapa selaku pendidik wajib menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak dalam membentuk perilaku dan akhlak mereka. Contoh teladan ini merupakan teknik pendidikan yang paling berkesan, mudah dan cepat dihayati oleh anak-anak.

Sifat anak-anak yang bersih itu menjadikan mereka amat mudah terpengaruh dengan orang lain yang mempamerkan tingkahlaku dihadapan. Apa lagi jika yang mempamerkan tingkah laku itu adalah seseorang yang sangat hampir dan mempunyai ikatan kasih sayang seperti ibu dan ayah.

Di sini dibincangkan beberapa akhlak penting yang perlu diserapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak. Walau pun terdapat banyak elemen akhlak yang perlu didedahkan kepada anak-anak, dalam ruang yang ada ini dibincangkan terlebih dahulu beberapa akhlak yang asas untuk dihayati oleh ibu dan bapa.

Benar

Anak-anak pertamanya perlu dilatih untuk bersifat jujur dan benar. Mereka perlu memahami bahawa berbohong, tidak memberitahu perkara sebenar, menyembunyikan kesalahan adalah kesalahan-kesalahan besar. Mereka perlu diyakinkan bahawa kesalahan berbohong itu lebih besar dari kesalahan kecuaian seperti memecahkan pinggan secara tidak sengaja atau seumpamanya. Mereka juga perlu diyakinkan bahawa orang yang berbohong adalah orang yang jahat dan tidak akan selamat.

Anak-anak juga perlu diyakinkan bahawa Allah mengetahui segala apa yang berlaku, dan dia sama sekali tidak boleh menipu Allah. Anak-anak juga perlu diingatkan tentang azab neraka dan siksaan pedih ke atas mereka yang bohong. Di samping itu, anak-anak yang berani mengaku melakukan kesalahan perlulah dipuji dan dihargai. Contohnya jika mereka mengaku melakukan suatu kesalahan secara tidak sengaja, hargai dahulu sifatnya yang bercakap benar, dan barulah nasihati atas kecuaian itu.

Sifat benar ini perlu dipupuk walau pun dalam sekecil-kecil perkara. Sebarang kompromi kepada sifat bohong akan menyebabkan anak-anak mengambil ringan kepada kejujuran. Malangnya, ibu bapa kadang-kadang secara tidak sengaja mengajar anak-anak menipu. Contohnya, apabila mereka enggan menjawab telefon, disuruhnya anak berbohong mengatakan bahawa mereka sedang berada dalam bilik air, sedangkan mereka mereka sedang berehat membaca surat khabar. Sikap seperti ini tanpa disedari akan memberikan kesan mendalah kepada anak-anak dari sudut kejujuran dan bersikap benar. Tindakan ibu bapa yang ‘menghalalkan’ menipu itu secara diam akan menjadi ikutan anak itu pula.

Ringan tulang

Selain itu, anak-anak perlu dilatih supaya menjadi seorang yang rajin, bersungguh-sungguh dan cekap melakukan sesuatu. Sejak dari kecil anak-anak perlu diajar menjadi seorang yang ringan tulang. Kerja-kerja asasi untuk keperluan sendiri seperti mengemas tempat tidur, membasuh pinggan, menyusun buku sekolah, dan membasuh kasut eloklah dilakukan sendiri oleh anak-anak. Selain itu mereka juga perlu didorong membantu kerja-kerja rumah yang mudah seperti menyiram pokok bunga, membersihkan meja makan, menyapu rumah dan seumpamanya.

Kaedah jadual juga boleh dibuat bagi mendisiplinkan anak-anak dengan kerja-kerja rumah. Jika sesuai, anak-anak boleh diberikan ganjaran atau upah bila melakukan sesuatu kerja yang lebih mencabar seperti memnasuh kereta dan seumpamanya. Ringkasnya, anak-anak perlu sentiasa dilatih untuk rajin membantu dan mempunyai tanggungjawab untuk mencantikkan rumah.

Menjaga lidah

Anak-anak juga perlu dididik agar menjaga tutur kata kerana ia merupakan satu manifestasi penting kepada kesempurnaan akhlak. Kerana pulut, santan binasa; kerana mulut badan binasa. Cara perbicaraan serta perkataan serta mauduknya amat penting diperhatikan oleh ibu bapa. Alangkah cantiknya jika di anak berbicara dengan sopan, manis dan petah. Alangkah bagusnya jika anak-anak tahu untuk bertegur sapa dan bertanya khabar dengan berhemah tinggi bila berdepan tetamu atau rakan ibu bapa.

Biasanya anak-anak mudah terpengaruh dengan cara percakapan, bahasa dan slanga kawan-kawannya. Oleh itu, ibu bapa berperanan untuk membuat peraturan dan disiplin agar perkataan-perkataan tertentu yang kasar, lucah, kotor dan bersifat maki hamun tidak boleh disebut dalam berkomunikasi. Rasional disebalik larangan itu perlu dijelaskan kepada anak-anak agar mereka memahami kesalahan yang dilakukan oleh kawan-kawannya.

Ibu bapa juga perlu memantau cara anak-anak memanggil sesama adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan. Galakkan mereka menggunakan bahasa panggilan yang mesra dan bersopan. Latih mereka menggunakan panggilan yang betul apabila berdepan dengan mereka yang lebih dewasa.

Teguran yang segera dan berhemah perlu diberikan jika, anak-anak menggunakan lidah mereka untuk mengeji, mengumpat dan memfitnah. Bahkan galakkan mereka menggunakan lidah untuk membanyakkan berzikir dan membaca al-Quran. Insyaallah dengan kaedah ini anak-anak akan lebih terdorong untuk membentuk peribadi mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.

21. BILA ANAK SUDAH PANDAI BERBOHONG

Bila Anak Sudah Pandai Berbohong

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

“Jangan nangis, nanti serigala jadian datang!” kata seorang ibu yang cuba memujuk anaknya yang sedang menangis.

“Anis, kat luar tu ada orang minta sedekah, cakap ayah tak ada kat rumah” suruh seorang ayah kepada anaknya.

“Tak payah ikut, mak nak pergi klinik. Kalau doktor nampak budak-budak, dia cucuk kat punggung”

Ramai ibu bapa yang terkejut dan marah bila anaknya sudah mula pandai berbohong. Namun, sedikit ibu bapa yang menyedari bahawa tabiat itu sebahagiannya adalah hasil dari ‘didikan’ mereka sendiri. Dialog di atas adalah beberapa contoh situasi berlaku pembohongan ibu bapa yang kemudiannya menjadi ikutan anak-anak.

Pak Turut

Tindakan ibu bapa yang ‘menghalalkan’ pendustaan atau pembohongan akhirnya melekat kuat dalam memori si anak. Akhirnya apabila dia terdesak, dia mula pandai berbohong. Selepas itu dia merakasan berbohong itu banyak memudahkan dia mendapat sesuatu atau melepaskan diri dari sesuatu. Kemudian dia akan terus berbohong walau pun bukan dalam keadaan terdesak. Lama-kelamaan perangai berbohong itu menjadi perkara biasa bagi anak itu sehingga dia dewasa.

Rasulullah SAW sendiri melarang keras ibu bapa yang membiasakan pembohongan di hadapan anak-anak sehingga menjadi contoh kepada mereka. Pembohongan tetap keji dan hodoh walaupun kononnya dibuat dengan niat untuk memujuk, menyedapkan telinga, menenangkan, menggembirakan atau bergurau. Allah tetap mencatat amalan bohong itu sebagai satu dosa walaupun niatnya dikatakan ‘murni’.

Keprihatinan Rasulullah SAW dalam pengaruh amalan bohong dalam mendidik anak terungkap dalam satu kisah yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Al-Baihaqi dari Abdullah bin Amir r.a. yang melaporkan: “Pada suatu hari. ibuku memanggil ku ketika Rasulullah SAW berada di rumah kami. Hai, mari ke mari, ibu mahu berikan sesuatu…Lantas Rasulullah SAW bertanya kepada ibu: Apa yang hendak puan berikan kepadanya? Ibuku menjawab: Saya hendak berikan kepadanya kurma. Maka bersabda Rasulullah SAW: Andaikata engkau tidak memberikannya sesuatu nescaya akan dicatitkan ke atas mu satu dusta”

Ajaran Ketam

Ibu bapa tidak akan berjaya mendapat anak yang jujur sampai bila-bila jika mereka sendiri mempamerkan budaya bohong. Ibu bapa seperti ini ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan betul. Kadang-kadang didikan songsang ini berlaku tanpa disedari. Secara umumnya, ibu bapa biasanya ‘mengajar’ anak-anak berbohong dalam situasi berikut:

  • Ketika ibu bapa mahu melarang anak-anak melakukan sesuatu dengan cara menakutkan anak-anak dengan sesuatu yang palsu dan bohong. Kaedah ini popular dan berkesan untuk menghalang anak-anak kecil dari terus menangis atau sebagainya. Namun kesannya besar dalam memberikan tanggapan salah kepada mereka bahawa berbohong itu dibolehkan. Hal ini akan disedari oleh anak-anak bila mereka semakin matang dan memahami apa yang ditakut-takutkan itu.

 

  • Apabila anak-anak bertanya sesuatu yang dia tidak tahu tetapi enggan menunjukkan kejahilannya, maka dia memberikan jawapan yang tidak betul dan palsu.

 

  • Ibu bapa juga kerap bohong ketika mereka berjanji bagi menghargai atau memujuk anaknya, tetapi lupa dengan janjinya. Sedangkan anak-anak tidak pernah melupakan janji kedua ibu bapa mereka. Lebih parah lagi mereka langsung tidak cuba untuk menunaikan janji bila diingatkan oleh anak-anak.

 

  • Apabila si anak dijadi orang tengah oleh ibu bapa bagi mengelakkan sesuatu dengan cara berbohong. Dalam situasi ini mereka akan menyuruh anak mereka berbohong bagi mengelakkan dari sesuatu seperti tetamu yang datang atau panggilan telefon.

 

  • Ibu bapa menipu atau berhelah dalam urusan seharian, dan anak-anak menyaksikan pembohongan itu. Situasi ini berlaku termasuklah ketika mereka berbohong dengan pasangannya atau dalam urusan kerja. Jika anak-anak menyaksikan pembohongan ini, mereka akan menganggap bahawa berbohong itu suatu yang tidak salah, bahkan kadang-kadang amat diperlukan.

 

Siakap senohong

Lebih jauh dari itu, tabiat berbohong akan mendorong pula kepada seribu macam kejahatan lain. Tentu kita tak lupa pantun ringkas berikut:

Siakap senohong,

Gelama ikan duri

Bercakap bohong,

Lama-lama mencuri

 

Bahkan dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda, seperti yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Ibnu Mas’ud r.a: “Waspadalah kamu dengan sifat bohong, kerana sesungguhnya pembohongan itu akan menarik kamu kepada kejahatan, sedang kejahatan itu akan membawa kamu kepada api neraka. Dan apabila seseorang itu terus berbohong, dan berkekalan dengan tabiat berbohong, dia dilabelkan di sisi Allah sebagai ‘pembohong’.”

Penekanan bahawa berbohong ‘akan menarik kamu kepada kejahatan’ seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW itu menunjukkan bahaya besar benih-benih pembohongan. Seorang yang pandai berbohong akan berasa bebas untuk membuat segala macam onar dan maksiat lantaran dia boleh menyembunyikan kejahatannya dengan berbohong. Tabiat berbohong juga menjadikan pelakunya berasa enteng mengkhianati kepercayaan orang lain. Oleh kerana itu, pelaku itu tentunya tidak akan rasa bersalah untuk mengkhianati hak orang lain dengan cara yang lebih rakus seperti mencuri, mencederakan atau sebagainya.

Sebaliknya, jika seseorang itu membersihkan dirinya dari sifat bohong, maka dia akan mudah terhindar dari melakukan kejahatan. Pernah satu ketika seorang lelaki yang baru memeluk Islam meminta izin untuk terus melakukan dosa-dosa seperti minum arak, zina dan sebagainya kerana dia telah terlalu biasa melakukannya. Sebagai satu kaedah dakwah, Baginda SAW memberikan kelonggaran kepadanya dengan syarat dia mesti berjanji untuk tidak berbohong. Dia bersetuju. Bila pulang ke rumahnya, dia berasa sukar untuk meneruskan maksiat kerana malu jika ditanya oleh Rasulullah SAW. Akhirnya dia terus meninggalkan maksiat itu. Demikianlah buruknya pembohongan dan hebatnya kelebihan kejujuran.

Kisah Al-Jailani

Seorang tokoh ulama yang juga waliullah Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani menceritakan kisah dirinya tentang kejujuran. Katanya: Aku dibiasakan untuk bercakap benar sejak dari kecil lagi. Satu hari aku berangkat dari Makkah menuju ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Ibuku memberikan kepada ku 40 dinar untuk perbelanjaan sara hidup. Ibuku berpesan agar aku bercakap benar.

Apabila aku tiba di perkampungan Hamdan, kafilahku diserang oleh sekumpulan perompak. Seorang perompak datang kepada ku seraya bertanya: Apa yang engkau ada? Jawabku: 40 dinar! Perompak itu menyangka, aku bergurau, maka dia pun tidak mengapa-apakanku. Kemudian datang lagi perompak lain bertanya: Apa yang engkau ada? Aku memberitahunya seperti tadi.

Dia berasa hairan lalu membawa ku kepada ketua perompak, lantas ketua perompak itu pula bertanya. Aku memberikan jawapan sama. Semua perompak itu merasa terkejut atas kejujuran itu. Lalu ketua perompak itu bertanya lagi: Apa yang menyebabkan kamu berkata benar? Jawabku: Ibuku berpesan agar berkata benar dan aku berjanji untuk mematuhi pesanannya, dan aku takut untuk mengkhianati janji itu.

Tiba-tiba ketua perompak itu diselubungi perasaan takut dan gerun, lantas dia menjerit sambil mengoyak-ngoyak bajunya. Dia berkata: ‘Ya Allah, engkau takut untuk mengkhianati janji mu kepada ibu mu sedangkan aku tidak takut untuk mengkhianati janjiku kepada Tuhan ku’.

Secara tiba-tiba ketua perompak itu mengarahkan agar semua perompak mengembalikan segala barang yang dirampas kepada pemiliknya. Dia berkata: ‘Sekarang aku bertaubat di hadapan mu’. Maka para pengikutnya pula berkata: ‘Engkau ketua kami semasa kami merompak, sekarang engkau ketua kami apabila kami semua bertaubat.’ Akhirnya semua perompak itu bertaubat, dengan barakah dari sifat murni berkata benar itu.

Demikianlah kisah pengalaman Al-Jailani yang menggambarkan manfaat tersurat dan tersirat dari berkata benar. Menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk sentiasa menasihati anak-anak untuk meninggalkan tabiat bohong dan mengamalkan kejujuran. Insyaallah, dengan hilangnya sifat bohong itu, Allah akan memudahkan jalan untuk kita mendidik anak kita menjadi anak yang soleh dan muslih.

22. MENGAJAR ANAK MENCURI

Anda membiarkan anak mencuri?

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

Sebuah mahkamah telah menjatuhkan hukuman potong tangan ke atas seorang pencuri. Apabila tiba waktu menjalankan hukuman, pencuri itu menjerit sekuat suaranya: ‘Sebelum tangan saya dipotong, tolonglah potong lidah ibu saya! Pernah saya mencuri dahulu sebutir telur dari rumah jiran saya, tetapi ibu saya tidak memarahi saya, dan tidak menyuruh saya mengembalikan telur itu kepada jiran saya. Malah dia gembira, sambil berkata: “Syukur, anak ku sudah menjadi manusia kini!” Kalau tidak kerana lidah ibu saya, nescaya saya tidak akan menjadi pencuri dalam masyarakat.’

Demikianlah satu kisah yang dipetik oleh Dr Abdullah Nasih Ulwan dalam menjelaskan betapa hodohnya tabiat mencuri dan betapa besarnya pengaruh ibubapa dalam membentuk tabiat itu. Semua ibu bapa tahu bahawa tabiat mencuri itu memang buruk. Namun secara tidak sedar, sesetengah ibubapa membiarkan anaknya menjadi pencuri.

Dua puluh sen

Mengajar mencuri bukan sahaja berlaku dalam bentuk yang ketara seperti kisah di atas. Ia juga berlaku secara tidak sengaja. Berapa ramai ibu atau bapa yang membiarkan wang syiling atau kertas diletakkan merata-rata di dalam rumah. Wang milik si bapa atau ibu ini mungkin dalam jumlah yang kecil seperti dua puluh sen atau seringgit sahaja. Bagi mereka wang sebanyak itu tidak membawa apa-apa kesan jika hilang atau diambil orang.

Namun budaya membiarkan wang merata-rata itu sebenarnya boleh menanam benih budaya mencuri ke atas anak-anak. Anak-anak yang memang sukakan duit mungkin akan mengambil wang itu. Pada peringkat awal mungkin anak itu meminta izin atau mengambilnya dihadapan ibu bapa.

Kemudian, si bapa mungkin bersikap tidak kisah jika anaknya mengambil wang berkenaan. Lama-kelamaan, sifat longgar ibu bapa tadi mungkin diterjemahkan sebagai kebebasan untuk mengambil wang itu tanpa kebenaran pemiliknya. Lantas mereka mentafsirkan bahawa mengambil harta dan wang orang, atau mencuri itu bukanlah satu kesalahan.

Beg sekolah

Pernahkah anda ‘menyelongkar’ beg sekolah anak anda. Atau anda sekadar buat tak tahu dengan apa yang ada dalam beg sekolah itu. Ibu bapa sewajarnya melazimi membuka dan menyelenggarakan beg sekolah anak. Cara ini bukan sahaja dapat membantu kita memahami perkembangan akademik mereka, bahkan juga dapat memantau sebahagian dari tabiat mereka.

Apabila ibu bapa membuka dan meneliti beg sekolah anak, secara tidak langsung ibu dan bapa dapat melihat buku-buku latihan dan buku tulis anak-anak mereka. Pemantauan secara rutin tapi mengejut akan menjadikan anak-anak rasa diberi perhatian seterusnya mendorong mereka untuk lebih gigih berusaha.

Namun selain itu, tindakan memeriksa beg sekolah anak juga dapat memantau buku, alat tulis atau apa sahaja yang ada dalam beg anak-anak. Dari sini ibu bapa boleh pastikan sama ada anak-anak itu mengambil barang milik orang lain atau tidak. Jika terdapat pensil, buku atau mainan milik orang lain dalam beg mereka, maka ibu bapa perlu segera meminta mereka memulangkan kembali kepada pemilik asal.

Panjang tangan

Bila berziarah ke rumah saudara mara atau rakan-rakan, ibu bapa perlulah peka dengan apa yang ada di tangan anak-anak ketika pulang. Kadang-kddang terdapat anak-anak yang mengambil barang orang tuan rumah tanpa kebenaran. Sebahagian mereka mengambilnya tanpa rasa bersalah tanpa memahami konsep dosa pahala. Bila mereka suka dan minat mereka ambil begitu sahja.

Biasanya tuan rumah buat-buat tidak nampak bagi mengelakkan tetamu berasa malu. Maka, menjadi tanggungjawab ibu bapa sendiri untuk memastikan anaknya tidak mengambil apa-apa dan jika terambil, barangan itu perlulah dikembalikan kepada tuan rumah. Inilah kaedah penting yang perlu disemai bagi mengelakkan anak itu menjadi ‘panjang tangan’ bila sudah remaja dan dewasa nanti.

Hak orang dan hak saya

Sebenarnya sejak dari kecil anak-anak perlu difahamkan dengan konsep hak milik. Setiap kali ibu bapa menghalang anaknya dari barang milik orang lain, mereka perlu menjelaskan bahawa barang itu adalah milik orang lain. Katakan kepadanya seperti: ‘Tak boleh ambil ni. Barang ni bukan kita punya. Barang ini Osman yang punya’

Jika anak-anak dibawa ke kedai, jelaskan juga bahawa sesuatu barang hanya boleh diambil selepas dibayar harganya. Bila anak itu sudah makin bijak, bolehlah ibu bapa melatih mereka melakukan jual beli. Latihan ini bukan sahaya dapat meningkatkan keyakinan diri, bahkan dapat memberikan kefahaman tentang konsep hak milik dan kepunyaan. Secara tidak langsung mereka dapat mengetahui kesalahan mengambil hak orang lain.

Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab untuk menjelaskan tentang dosa mencuri. Berikanlah ancaman balasan api neraka kepada mereka yang mencuri. Tekankan juga tentang betapa seriusnya kesalahan mencuri sehingga Islam menetapkan hukuman potong tangan ke atas mereka yang disabitkan kesalahan mencuri.

Kisah kejujuran

Selain itu anak-anak juga perlu didedahkan dengan kisah-kisah teladan berkaitan kejujuran. Umpamanya kisah seorang anak gadis dan ibunya yang menjual susu. Si ibu ingin mencampurkan susu dengn air untuk mendapat untung yang lebih. Lantas si anak mengingatkan tentang larangan Amirul Mukminin Umar Al-Khattab agar para penjual tidak mencampurkan air ke dalam susu. Lantas si ibu memberikan alasan: ‘Ah! Kalau kita campur pun, mana Amirul Mukminin boleh tahu’. Maka si anak memberikan jawapan yang sangat bermakna: ‘Jika Amirul Mukminin tidak melihat kita, tetapi Tuhan Amirul Mukminin tetap melihat kita!’

Begitu juga kita Abdullah bin Dinar yang berjalan bersama dengan Umar al-Khattabke Makkah. Dalam perjalanan, mereka terserampak dengan seorang penggembala dari atas gunung. Maka Umar cuba mengujunya dengan berkata: ‘Wahai penggembala, juallah kepada ku seekor dari kambing itu. Maka jawab penggembala:’Sesungguhnya aku hanya hamba sahaya’. Umar berkata lagi:’Katakanlah sahaja kepada tuan mu bahawa kambing itu dimakan oleh serigala. Penggembala itu menjawab dengan ringkas tapi padat: ‘Kalau begitu, dimanakah Tuhan?’. Umar menangis mendengar jawapan itu. Lalu beliu mengikutnya pulang menemui tuannya, dan Umar membeli hamba si penggembala itu untuk membebaskannya.

Demikianlah beberapa contoh kejujuran tinggi yang dapat meleburkan sifat tamak haloba dan khianat. Anak-anak yang ditanah rasa kehadiran Allah tentunya akan menjauhi sifat mencuri. Mudah-mudahan anak-anak kita semua dapat dilatih dengan sifat dan akhlak mula sehingga meninggalkan sifat jahat seperti mencuri.

23. ANAK SOPAN SANTUN

Latih Anak Biar Bersopan

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Alangkah malunya ibu bapa jika anak sendiri menjadi buah mulut angkara sikap biadap dan kurang sopan. Mana mahu diletakkan muka jika orang ramai sentiasa menyebut-nyebut perangai tidak sopan anak yang tidak tahu menghormati orang tua dan bercakap kasar. Orang tidak menyelahkan si anak, tetapi mereka akan menyunding jari kepada ibu dan bapa yang tidak tahu mendidik anak sendiri.

Lebih malang lagi, jika anak itu tidak tahu dengan ibu bapa sendiri. Bercakap dengan ibu bapa seperti bercakap dengan kawan sendiri—kadang-kadang lebih kasar dan lebih biadap. Jika ini berlaku, ibu bapa perlulah melakukan muhasabah. Adakah anak itu sudah diasuh dengan adab sopan? Adakah mereka sudah dibiasakan dengan budi bahasa yang luhur? Adakah ibu bapa sendiri telah menunjukkan model yang betul untuk melatih anak bersopan?

Bawa masalah

Sopan santun sebenarnya bermula dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besarnya. Anak yang bersopan menjadi penyejuk mata kepada ibu bapa dan orang-orang lain. Tingkah lakunya mendamaikan hati sesiapa yang melihatnya. Bercakap dengannya akan menarik perhatian dan menggembirakan hati.

Sementara orang yang tidak beradab sopan pula menjadi ‘trouble maker’ kepada ibu bapa dan orang lain. Sikapnya menyusahkan orang. Cakapnya menyakitkan hati. Tingkahlakunya menjengkelkan. Bila dia menjadi tamu dia tidak menghormati tuan rumah. Bila dia menerima tamu, dia tidak pandai meraikannya. Ringkasnya, orang yang tiada sopan adalah orang yang tidak tahu untuk berakhlak dengan orang lain dengan berhemah.

Soal hati

Pada zahirnya, kelakuan sopan kelihatan soal gerak laku semata-mata. Namun hakikatnya ia datang dari dalam hati dan perasaan. Oleh itu ibu dan bapa yang ingin mendidik kesopanan, perlu mengambil kira soal penjiwaan kepada kelakuan sopan itu sendiri. Seorang yang bersopan sebenarnya seorang yang menghargai orang lain, serta menganggap orang lain sebagai seorang yang perlu dikasihi dan dihormati.

Orang yang sopan juga ialah seorang yang mahu menggembirakan hati orang lain dengan kelembutan dan keindahan perilaku. Dia tidak mengharapkan pujian, namun semata-mata mahu orang lain berasa tenang dan damai dengan akhlaknya.

Ibu bapa yang mahukan anaknya bersopan, perlulah memahamkan kepada anak-anak bahawa menghargai dan menggembirakan hati orang lain adalah satu amal soleh yang penting. Ingatkan juga betapa Allah sentiasa mahukan hambanya menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.

Ibu bapa juga perlu menekankan bahawa menjaga kesopanan adalah suruhan Baginda RAsulullah SAW. Mempamerkan akhlak yang luhur bermakna mengikut jejak langkah Baginda SAW. Maka menjaga kesopanan tentunya satu ibadah dalam rangka mengikut sunnah yang amat dituntut oleh agama.

Depan rezeki

Contoh kesopanan yang paling mudah dan menonjol ialah sewaktu anak-anak mengadap rezeki. Pertamanya, anak yang bersopan tidak lupa untuk membasuh tangan sebelum makan. Mereka juga tahu memilih tempat makan yang betul. Bukannya di atas katil atau mana-mana tempat yang tidak sesuai. Mereka makan sambil duduk, bukannya baring atau berdiri. Mereka juga lebih suka makan beramai-ramai serta tidak kedekut berkongsi makanan yang dimiliki.

Jika makanan itu terhidang untuk dipilih, mereka tidak bersikap tamak. Mereka mengambil sekadarnya, dan makan seadanya. Mereka tidak luba membaca bismillah dan menggunakan tangan kanan. Kalau makanan atau air itu panas, mereka tidak meniupnya kerana itu satu kegelojohan yang ditegur oleh Baginda SAW.

Kalau makanan itu tidak sedap, dia tidak mencelanya, tetapi menolaknya dengan baik. Bahkan ibu bapa perlu mengajar anak-anak memuji hidangan yang dimakan dengan ikhlas serta mendoakan orang yeng menyediakannya.

Kelakuan makan berselang seli dengan minum air juga perlu ditegur. Amalan itu bukan sahaja tidak bersopan, bahkan juga boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka masa panjang. Begitu juga kelakuan sendawa atau bernafas di dalam gelas yang nampak tidak sopan di mata orang.

Dari kecil lagi anak-anak perlu dididik agar makan tanpa membazir. Ketika menyuap makanan mintalah mereka berhati-hati agar tiada yang terpelanting diluar pinggan. Jika ada minta mereka kutip kembali, kecuali jika sudah tercemar. Sebelum selesai, pastikan semua makanan sudah tiada dalam pinggan. Jika yang dimakan itu nasi, pastikan jangan ada walau sebutir nasi tertinggal dalam pinggan.

Demikianlah antara adab kesopanan yang perlu diperhatikan oleh para ibu bapa. Anak yang bersopan pasti akan disanjungi dan dikasihi oleh masyarakat. Biar menjadi anak insan berguna ibarat pohon yang rendang yang memberikan manfaat kepada orang lain.

24. BERLUMBA SUKAN DENGAN ANAK

Usah sekat anak-anak bersukan

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Masih ada yang menganggap bahawa sukan itu adalah perkara asing dalam Islam. Ada juga yang memandang bahawa orang-orang yang soleh adalah orang yang menjauhi sukan—kerana sukan dikatakan aktiviti lagha. Maka, ada segelintir ibu bapa yang mengekang anak-anaknya dari terlibat dengan aktiviti sukan.

Anda perlu tahu bahawa Rasulullah SAW pernah mengadakan pertandingan lumba lari untuk anak-anak saudara baginda, iaitu anak-anak Abbas serta memberikan hadiah kepada pemenangnya.

Dalam hadith berkaitan, Imam Ahmad meriwayatkan dari Abdullah bin Harith r.a. yang berkata: Rasulullah SAW membariskan Abdullah, Ubaidullah serta semua anak-anak Abbas r.a. kemudian bersabda: “Siapa yang lebih dahulu sampai kepadaku akan mendapat hadiah.” Lalu mereka pun berlumba lari agar menang dan sampai dahulu kepada baginda SAW. Akhirnya masing-masing sampai kepada Rasulullah. Ada yang berada di punggung dan ada yang berada di dada baginda SAW. Lantas, baginda pun mencium mereka semua.

Bayangkan bagaimana mesranya Baginda dengan kanak-kanak. Walau pun Rasulullah SAW sentiasa sibuk sebagai pembimbing ummah dan teraju utama negara, baginda tetap mempunyai masa untuk melayani anak-anak kecil—dengan begitu merendah diri sesuai dengan kesukaan si anak-anak.

Naluri manusia sukakan bersaing, juga suka untuk menjadi pemenang. Mana-mana manusia juga sukakan hadiah. Semua manusia juga sukakan bermain-main dan berseronok. Di sinilah letaknya peranan sukan untuk memenuhi keperluan dan keinginan manusia sesuai dengan keperluan jasmani. Maka, Islam sebagai agama fitrah juga menggalakkan aktiviti sebegini sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah SAW dalam hadith tadi.

Sebaik-baik ‘unta’

Teladan Rasulullah SAW dalam aspek sukan dan bermain-main bersama anak-anak ini jelas terserlah dalam kesukaannya bermain-main dengan cucu-cucu terutamanya Hasan dan Husain. Baginda bermain-main dengan si kecil sesuai dengan tahap umur mereka. Bahkan, tika bermain-main, bahasa Baginda juga berubah menjadi ‘bahasa anak-anak’.

Terdapat beberapa riwayat yang menceritakan kisah-kisah baginda bermain-main dengan cucu-cucu tersayang. Selain ia menggambarkan betapa luasnya limpahan kasih baginda kepada kanak-kanak, ia juga membuktikan bahawa bermain-main dengan anak-anak itu merupakan sunnah yang sesuai dengan fitrah manusiawi.

Dalam riwayat al-Tabarani dari Jabir r.a., yang berkata: Aku pernah masuk ke rumah Nabi SAW sedang bahinda sedang merangkak, sementara Hasan dan Husin naik di atas punggung bagimda SAW. Baginda mengatakan sebaik-baik ‘unta’ adalah unta kamu berdua, dan sebaik-baik penunggangnya adalah kamu berdua.”

Bersukan dan bermain ini perlu disesuaikan dengan usia anak-anak. Para ibu bapa perlu bijak memahami perkembangan fizikal dan mental mereka dalam memilih permainan yang sesuai agar mereka tidak jemu untuk bermain bersama-sama. Jika punya kesempatan, tinjaulah permainan anak-anak sebaya dengan mereka, agar ibu bapa dapat menjadi ‘rakan’ sepermainan yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa.

Minda tangkas

Tidak syak lagi bahawa bersukan dan bermain ini amat penting untuk membina kesihatan fizikal. Badan yang cergas dan selalu berpeluh tentunya akan mendorong akal untuk turut cergas. Otot-otot muda yang sedang pesat membesar perlu sentiasa dirangsang dengan aktiviti fizikal. Gerakan fizikal tentunya dapat meningkatkan potensi psiko-motor anak-anak untuk menjadi insan yang membangun dengan seimbang.

Oleh yang demikian, ibu bapa perlu memantau agar anak-anak lebih mengutamakan permainan fizikal berbanding permainan-permainan memanfaatkan kemampuan fizikal dan mental pada skala kecil seumpama ‘computer game’ yang menjadikankan mereka lebih banyak terperap di rumah atau di kafe siber. Permainan dalaman seperti catur juga boleh diajar dengan tujuan untuk menajamkan kemahiran berfikir—namun ia tidak boleh menggantikan keperluan permainan fizikal yang dapat mengeluarkan peluh.

Ustaz Abdullah Nasih Ulwan menyebut bahawa berdasarkan petunjuk Sunnah, RAsulullah SAW menganjurkan agar umat Islam mempelajari berenang, melempar panah, menunggang kuda dan sebagainya. Aktiviti sebegini bukan sahaja dapat menguatkan fizikal dan menajamkan minda , bahkan juga mampu menjadikan umat Islam sentiasa bersedia menghadapi ujian dan cabaran dari musuh-musuh Islam.

Lepas penat belajar

Selain untuk menyihatkan badan, bersukan atau bermain juga dapat mengendurkan stress di kalangan anak-anak. Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Ihya Ulumuddin: “Setelah selesai belajar, anak-anak sewajarnya bermain dengan permainan yang baik dan dapat menghilangkan keletihan belajar atau menuntut ilmu. Namun jangan pula bermain sehingga terlalu penat. Melarang anak-anak bermain serta memaksanya untuk belajar tanpa henti akan mematikan hatinya, menghilangkan kecerdasannya, dan merosakkan hidupnya sehingga menyebabkannya terpaksa mencari penyelesaian yang dapat memulihkan kerosakan itu.”

Kemampuan fikiran manusia adalah terbatas. Walau pun peperiksaan penting seperti UPSR, PMR dan SPM kian hampir sekalipun, anak-anak tetap memerlukan waktu untuk kerehatan minda. Kanak-kanak dan remaja biasanya memerlukan aktiviti fizikal untuk ‘melepaskan’ beban kepenatan belajar. Secara tidak langsung, aktiviti fizikal juga dapat memulihkan kecerdasan badannya dan membolehkan sel-sel otaknya menerima maklumat baru dan menganalisa maklumat lama dengan lebih tangkas.

Yakin boleh!

Selain itu bersukan dan bermain juga mempunyai peranan besar yang lain. Secara tidak langsung, bersukan sebenarnya mampu meningkatkan tahap keyakinan diri anak-anak. Keinginan yang tinggi untuk berjaya juga dapat disimulasikan melalui pertandingan-pertandingan kesukanan. Kemampuannya untuk melepasi satu tahap hingga ke tahap yang lain dapat menambahkan semangatnya untuk menjadi juara dalam kehidupan.

Ibu bapa juga perlu menyedari bahawa bermain dan bersukan juga dapat mengeratkan ikatan kasih dalam keluarga. Ajaklah anak-anak serta anak-anak saudara anda bermain dan bersukan. Jika punya kesempatan anjurkanlah pertandingan badminton, futsal atau bola air sesama keluarga atau sanak saudara. Insyaallah cara ini dapat melimpahkan lagi rasa sayang sesama famili. Jika insan paling mulia dan paling sibuk seperti Rasulullah SAW mampu menganjurkan pertandingan, tak kan lah kita tidak mampu!

Ada batas

Dalam menggalakkan anak-anak bermain, ibu bapa perlu juga membuat pemantauan. Umpamanya bila bermain janganlah sampai menganiaya binatang. Jika bertanding, janganlah pula ada sifat tamak, dengki dan khanat. Selain itu anak-anak juga perlu sentiasa dipesan agar berhenti bermain seketika sebelum menjelang Maghrib.

Ini kerana Rasulullah SAW mengingatkan bahawa waktu hujung senja itu adalah waktu syaitan berkeliaran. Selain itu percampuran kanak-kanak lelaki wan perempuan juga perlu dipantau, terutamanya jika mereka telah mencecah usia remaja.

Tegasnya, bersukan itu amat penting. Rasulullah SAW menjunjukkan contoh yang jelas tenatang kepentingan bersukan dan bermain-main. Namun pemantauan ibu bapa amat penting agar anak-anak sentiasa berada pada landasan akhlak dan iman ketika bersukan dan bermain.

25. APABILA ANAK SAKIT

Apabila anak anda sakit…

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

Sihat atau sakit adalah ketentuan Allah. Ada orang yang dikurniakan kesihatan berpanjangan dan jarang-jarang ditimpa dengan kesakitan. Ada pula orang yang diuji dengan bermacam-macam sakit dan sering derita menahan kesakitan. Ada juga yang menerima musibah penyakit berat sehingga mengakibatkan kematian. Demikianlah rencah kehidupan.

Demikian juga dengan anak-anak. Ada yang sering sakit dan ada yang sentiasa sihat. Ada yang ditimpa penyakit biasa dan ringan seperti batuk dan demam, dan ada pula yang menderitai sakit kronik seperti jantung berlubang dan kanser.

Berubat itu takdir

Biar apa pun fenomenanya, ibu bapa tetap mempunyai peranan besar untuk menjaga kesihatan anak-anak. Tika sihat, perlu beringat. Bila sakit perlu berubat. Ini semua dinamakan ikhtiar.

Dr Abdullah Nasih Ulwan mengingatkan bahawa ibu bapa perlu mengambil berat soal kesihatan anak-anak termasuklah dalam berusaha untuk memulihkan kesihatan anak-anak sewaktu sakit, kerana pergantungan kepada sebab musabab adalah suatu yang fitrah yang menepati ajaran Islam.

Dalam Hadith riwayat Imam Ahmad dan Al-Tarmizi, bahawa Abu Hurairah berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah! Adakah jampi yang kita bacakan, ubat yang kita ambil, dan pantang yang kita lakukan itu bertentangan dengan takdir Allah? Maka jawab Rasulullah SAW: Semuanya itu adalah takdir Allah juga.

Menuntut cakna

Tidak semua anak-anak pandai menceritakan rasa sakit mereka. Kadang-kadang mereka menderitai kesakitan, tetapi tidak menyatakan tentang masalah itu kepada ibu bapa. Mungkin kerana mereka takut, malu atau keliru. Mungkin juga mereka pernah bersuara tetapi tidak diendahkan oleh ibu bapa, lantas mereka terus mendiamkan diri walaupun kesakitan itu masih dideritai.

Di sini letaknya peranan ibu bapa untuk menjadi manusia yang cakna dengan apa yang dirasai oleh anak-anak. Anak-anak yang masih lemah itu amat bergantung harap kepada ibu bapa. Sewaktu mereka bayi dan tidak tahu berbicara, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memiliki kepekaan yang tinggi dengan perkembangan mereka. Bahasa tangisan mereka perlu dijiwai agar sengsara sakit mereka tidak diabaikan begitu sahaja.

Apabila anak-anak sudah pandai berbicara, dengarlah rintihan mereka. Usah pandang ringan kesakitan mereka. Sifat cakna ibu bapa itulah sebenarnya pengikat kasih yang amat berharga bagi anak-anak yang dahagakan perhatian dari mereka yang dikasihi.

Demam bawa malang

Apabila anak-anak sakit, usahlah bertangguh untuk berikhtiar merawatnya. Islam mengajar kita untuk bersegera mengubati sakit yang dideritai. Berusahalah mengubati mereka mengikut tahap risiko dan kemampuan yang dimiliki. Sebaik-baiknya, ibu bapa perlu bersedia dengan alatan kecemasan, minyak urut dan ubat-ubat yang biasa seperti ubat demam. Ibu bapa juga mesti memiliki ilmu asas berkaitan dengan kesihatan, penyakit dan rawatan agar tindakan segera dapat dilakukan sendiri oleh ibu bapa.

Namun jika penyakit itu serius dan berterusan, usahlah bertangguh untuk ke klinik atau hospital. Kadang-kadang sifat bertangguh dan sikap tak kisah itu membawa penyesalan besar hingga akhir hayat.

Contohnya demam, yang dianggap sebagai penyakit biasa. Namun, jika suhu demam itu pada tahap yang sangat, kesan kepanasan itu boleh menjejaskan otak si anak, dan dia mungkin akan mengalami gangguan fikiran sepanjang hayat.

Menghisap luka

Itulah sebabnya RAsulullah SAW, amat mengambil berat agar kesakitan dan penyakit itu dirawat segara sebagaimana yang sebut oleh Ibnu Sa’d yang meriwayatkan dari A’isyah r.a. bahawa dia berkata: Suatu ketika Usamah r.a. pernah tergelincir dan jatuh menimpa hujung pintu sehingga dahinya berdarah. Melihat kejadian itu, baginda berkata kepada A’isyah: “Wahai A’isyah, cepat hentikan darah itu!” Namun ternyata A’isyah merasa jijik. Akhirnya Rasulullah SAW sendiri menghisap tempat luka tersebut kemudian memuntahkan darah yang baginda hisap.

Hadith di atas, selain daripada menggambarkan perlunya ibu bapa bertindak segera bagi menangani kesakitan, ia juga menunjukkan bahawa dalam merawat anak-anak, ibu bapa perlu mengikis rasa jijik. Rasa kasih kepada anak-anak sepatutnya dapat mengikis perasaan jijik. Apatah lagi jika melihat anak yang menderitai kesakitan tersebut.

Belaian penyembuh

Anak yang sedang sakit biasanya akan menjadi lebih manja dari biasa. Ini menunjukkan bahawa mereka amat dahagakan perhatian dan kasih sayang. Pada saat inilah belaian cinta dari ibu bapa menjadi amat bermakna.

Bila anak anda sakit, usahlah lokek untuk mengusap-usap badannya. Jika sesuai, sapukan dada atau perunya dengan minyak dan urutlah dengan perlahan-lahan. Sentuhan ibubapa ini sebenarnya memberikan kepadaya semangat untuk menghadapi keperitan sakit. Perasaan yang bersemangat itu seterusnya mampu merangsang kekuatan antibodi semulajadi untuk melawan penyakit yang dihadapi.

Selain itu, ibu bapa juga perlu bersabar dengan kerenah anak-anak yang sakit. Jika mereka merasakan bahawa kesakitan mereka dipandang enteng oleh ibu dan ayah, mereka kadang-kadang akan menujukkan sikap memberontak. Oleh yang demikian, ibu bapa perlu peka dengan perubahan anak-anak dan bijak membaca bahasa badan mereka.

Ada juga anak-anak yang amat tidak sukakan ubat. Mereka berasa sangat susah untuk menelan ubat. Anak-anak begini perlukan kesabaran ibu bapa yang dapat mendorong mereka secara bijak.

Mencegah lebih baik

Selain itu ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar mencegah penyakit dan memahami tentang punca-punca penyakit. Makanan tambahan yang halal dan berkhasiat perlu digalakkan. Disiplinkan anak-anak memakan sayur-sayuran serta buah-buahan yang dapat menyediakan vitamin serta anti oksida.

Anak-anak juga sebenarnya akan menjadi lebih peka jika didedahkan dengan bahaya sesuatu penyakit dan bagaimana sesuatu penyakit itu boleh merebak. Kesedaran ini perlu dipupuk dari awal agar anak-anak menjadi pembersih dan sentiasa menjaga kesihatan sejak dari kecil lagi.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu cakna dengan soal kesihatan anak-anak. Pendidikan kesihatan perlu dilaksanakan secara teori lebih-lebih lagi secara praktikal. Tanggungjawab ibu bapa bukan sekadar memberikan nafkah wang ringgit, bahkan juga menjaga anak-anak agar sentiasa sihat jasmani dan rohani. 

26. AJAR ANAK MAKAN CARA NABI

Ajar Anak Makan Cara Nabi

Oleh:

Dr Muhammad Fathi Yusof

Penolong Pengarah

Pusat Islam

Universiti Teknologi Malaysia

Kampus Kuala Lumpur

 

Makanan bukan sahaja mempengaruhi kesihatan, bahkan juga peribadi seseorang anak. JIka ibu bapa berjaya mendidik anak untuk teliti dan tertib dalam soal makan, maka ia akan mempengaruhi tingkahlakunya dalam perkara-perkara lain. Bahkan, makanan yang membentuk darah daging seseorang manusia memberikan kesan yang besar termasuklah dari sudut penerimaan amal dan doanya di sisi Allah.

Buktinya ialah sabda RAsulullah SAW seperti yang direkodkan oleh Muslim, Ahmad dan Al-Tarmizi, yang bermaksud: “Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya kusut masai, dan mukanya dipenuhi dengan debu. Dia menadahkan tangannya dan berdoa kepada AllahSWT, sedangkan manakannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, dan mulutnya disuapkan dengan sesuatu yang haram, maka bagaimanakah akan diperkenankan permohonannya?”

Makan Berjamaah

Makan adalah aktiviti harian. Ibu bapa selaku insan yang sentiasa dekat dengan anak-anak perlu mengambil peluang ini untuk mendidik anak melalui budaya makan yang baik. Bagi muslim makan bukan sekadar satu rutin harian, jauh sekali sebagai aktiviti pemuas nafsu selera. Bahkan ia adalah satu ibadah yang perlu dilakukan dengan niat untuk memberikan tenaga dan kesihatan agar tubuh badan dapat terus melaksanakan ibadah dan amanah di atas muka bumi ini.

Oleh yang demikian, aktiviti makan perlu dibudayakan sesuai dengan kedudukannya sebagai ibadah. Membudayakan makan sebagai ibadah membolehkan keluarga mendapat manfaat-manfaat sampingan daripadanya seperti dapat merapatkan ikatan sesama ahli keluarga. Ia juga melahirkan perasaan hormat yang berterusan kepada ibu bapa, melalui adab mengutamakan bapa dan ibu sewaktu makan. Di samping itu ia juga mengukuhkan rasa kerjasama antara ahli keluarga melalui berkongsi lauk, aktiviti memasak dan membersihkan pinggan.

Rasulullah SAW amat menggalakkan agar umatnya makan secara berjamaah. Oleh itu, ibu bapa perlu berusaha sedaya upaya agar ‘program’ sarapan, makan tengahari dan makan malam terutamanya dapat dilaksanakan secara berjamaah melibatkan semua anak-anak. Amalan sesetengah anak-anak yang suka makan berasingan dan bersendirian di depan televisyen atau mana sahaja perlu dielakkan. Setiap ali keluarga pula perlu dilatih agar mempunyai tabiat jadual makan yang seragam, agar semua boleh datang serentak untuk makan. Inilah cara pendidikan berkesan dan mudah untuk sebuah keluarga muslim.

‘Bekas’ Paling Jijik

Sewaktu makan, usah lupa untuk memastikan setiap anak-anak mematuhi adab makan. Adab-adab seperti yang pernah dibincangkan dalam bahagian yang lalu perlu diamalkan. Latihan disiplin dan adab ketika makan akan mempengaruhi persepsi anak-anak terhadap adab dan disiplin dalam perkara-perkara lain. Dalam hal ini kesabaran ibu bapa untuk membentuk akhlak Islami dalam soal makan dan minum amat diperlukan.

Dalam Islam, adab-adab yang diajar oleh Rasulullah SAW bukan sahaja untuk menjaga tertib dan disiplin, bahkan juga penting untuk kesihatan dan keselamatan diri. Tidak dapat dinafikan bahawa kesihatan manusia amat bergantung kepada budaya makan. Rasulullah SAW bersabda seperti yang direkodkan oleh Imam Ahmad dan Al-Tarmizi, maksudnya:

“Tiada bekas yang lebih buruk dari perut anak Adam yang terisi penuh dengan makanan. Memadailah untuk anak Adam itu beberapa suap makanan yang akan menegakkan tulang sulbinya. Kiranya terpaksa, maka biarlah satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya dan satu pertiga lagi untuk pernafasannya.”

Begitu juga dalam soal minum, Baginda SAW mengajar cara minum yang sihat bagi memudahkan percernaan dan pernafasan. Dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim terdapat hadith daripada Abu Qatadah yang merekodkan bahawa Nabi Muhammad SAW melarang umat Islam untuk bernafas di dalam gelas ketika minum. Selain itu, Al-Tarmizi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa Baginda SAW bersabda, mafhumnya:

“Jangan kamu minum sekaligus seperti binatang minum, tetapi minumlah dua teguk, dua teguk atau tiga teguk, tiga teguk, dan bacalah Bismillah sebelum minum dan sebutlah Alhamdulillah jika sudah selesai.”

Logo Halal

Seperti yang disentuh di awal perbincangan tadi, makanan yang masuk ke dalam perut manusia akan membentuk darah daging dan akan dapat menentukan makbulnya sesuatu doa dan mempengaruhi pembentukan peribadi seseorang. Maka umat Islam perlu memilih makanan yang ‘halalan toyyiba’ iaitu halal dan baik

Oleh yang demikian, anak-anak perlu dilatih memilih makanan halal. Bila berkunjung dikedai atau pasaraya, dedahkan kepada mereka tentang perbezaan antara makanan yang halal dan bukan halal. Biasakan anak-anak menyemak dan mencari maklumat pada label yang terdapat pada barang makanan yang dibeli.

Jelaskan secara mudah kenapa tidak boleh membeli makanan yang tiada logo halal atau sekadar mempunyai tanda halal palsu. Anak-anak sebenarnya mudah patuh jika ibu bapa bersungguh-sungguh dan konsisten dalam memastikan hanya makanan halal yang dibenarkan beli. Anak-anak akan menjadi peka dengan logo halal jika ibu bapa mereka sendiri yang mengambil berat tentang soal itu.

Selain itu anak-anak juga perlu dijelaskan tentang bahaya bahan-bahan perwarna dan pengawet, perisa tiruan, MSG, serta gula dan lemak berlebihan. Disiplinkan mereka agar tidak menjadikan makanan ringan yang mengandungi bahan-bahan yang memudaratkan kesihatan ini sebagai kegemaran. Timbulkan kesedaran dalam jiwa mereka agar mereka takut dengan kesan jangka panjang bahan seperti itu. Lebih penting lagi, ibu bapa perlu menjadi contoh dengan turut sama tidak mengambil makanan yang mudharat.

Madu dan habbatus sawda’

Rasulullah SAW menunjukkan contoh hebat sebagai seorang yang mengambil makanan seimbang lagi menyihatkan. Makanan Rasulullah SAW mengandungi karbohidrat seperti roti gandum, juga mengandungi protein seperti daging kambing, serta lemak yang menyihatkan seperti minyak zaitun. Rasulullah SAW amat menggemari tamar yang mengandungi keseimbangan karbohidrat, protein dan lemak yang sesuai untuk keperluan badan yang sihat. Selain buah-buahan, Rasulullah SAW juga memakan sayur-sayuran seperi timun dan sebagainya.

Anak-anak biasanya agak liat untuk mengambil sayur. Ibu bapa perperanan untuk memberikan galakan agar mereka makan makanan yang berkhasiat ini. Selain itu Galakkan juga anak-anak membanyakkan minum air masak dan mengurangkan pengambilan gula. Cara ini memastikan anak-anak sentiasa cergas dan sihat kerana air mampu membekalkan tenaga dan membersihkan sistem badan.

Selain itu ibu bapa juga perlu membiasakan anak-anak mengambil makanan tambahan yang menyihatkan seperti madu lebah, habbatus sawda, kismis, kurma dan sebagainya. Makanan-makanan tambahan ini bukan sahaja terbukti berkhasiat dari sudut kajian saintifik, bahkan lebih penting lagi ia disebut dalam al-Quran dan hadith nabi. Kini makanan-makanan ini boleh didapati dengan amat mudah kerana banyak di pasaran, dan dijual dalam pembungkusan yang bersih dan senang digunakan.

Secara ringkasnya, ibu bapa mempunyai peranan besar untuk membentuk budaya makan beradab dan sihat kepada anak-anak. Budaya makan Islam yang sederhana seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW menjamin agar umatnya sentiasa cergas dan terhindar dari penyakit. Budaya ini bertepatan dengan tujuan hidup manusia iaitu untuk beribadah dan melaksanakan amanah—bukannya untuk memenuhi kehendak nafsu.