1. EMPAT PERTANYAAN YANG MESTI DIJAWAB

Ertinya :

Daripada Abu Barzah Nadhlah Bin ‘Ubaid al-Aslami ra. berkata : Bersabda Rasullullah saw.:”Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba (di hadapan Allah swt. pada hari qiamat),sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya,untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya,untuk apa  ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya,daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya,untuk apa dibinasakannya(digunakannya).”

Hadis Riwayat Tirmizi

2. SIAPA TEMAN SETIA


Ertinya :

Daripada Anas Bin Malik RA Sesungguhnya Rasulullah SAW. bersabda : ” Ada TIGA macam yang akan menghantarkan jenazah ketika dibawa ke perkuburan, iaitu keluarganya, hartanya dan amalnya. Dua diantaranya akan kembali dan yang satu lagi akan tetap tinggal menyertainya. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalnya akan tetap setia bersamanya.”

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

3. SERINGAN-RINGAN SEKSAAN DI NERAKA

ERTINYA :

Daripada Nu’man Bin Basyir RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ” Sesungguhnya seringan-ringan seksaan penghuni NERAKA pada hari Kiamat ialah seseorang yang akan diletakkan di bawah telapak kakinya dua buah bara api neraka sehingga mendidih ( dari sebab panas kedua bara api tersebut ) otak yang ada di kepalanya. Dia mengira bahawa tidak ada orang lain yang lebih dahsyat seksaan daripadanya, padahal dialah yang paling ringan seksaannya”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM.

4. MERAMPAS SEBILAH KAYU MISWAK SUDAH BOLEH MEMBAWA PADAH

ERTINYA :

Daripada Abu Umamah Iyas bin Tha’labah al-Haristhi RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa yang mengambil hak milik seseorang Islam dengan sumpahnya, (mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah swt telah mewajibkan neraka baginya dan telah mengharamkan syurga untuk dimasukinya. Kemudian ada seorang lelaki yang bertanya: “Kalau hanya barang yang sangat sedikit, Ya Rasulallah?. Nabi SAW menjawab: Walaupun hanya setangkai kayu arak(kayu yang digunakan untuk bersiwak)”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

Dalam sebuah hadis  yang lain riwayat daripada Umar bin Khattab RA beliau berkata :

” Setelah selesai peperangan Khaibar ada segolongan di antara sahabat Rasulullah SAW datang menghadap kepada Baginda,kemudian mereka berkata: “Si Fulan itu mati syahid,dan si Fulan itu mati syahid”,sehingga akhirnya mereka menyebutkan nama seorang lelaki lalu mereka berkata”Si Fulan itu juga mati syahid”.Lalu Nabi SAW bersabda: “Tidak,sama sekali tidak. Fulan itu saya lihat dimasukkan ke dalam api neraka kerana menyembunyikan sehelai selendang atau(syak perawi hadis)sehelai baju kurung (daripada harta rampasan).”

HADIS RIWAYAT MUSLIM

5. SIAPA ORANG YANG BANKRAP (MUFLIS)

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA,bahawa Rasulullah SAW ber sabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?.” Sahabat menjawab :” Orang yang muflis di kalangan kami ialah seseorang yang tidak memiliki dirham (wang) dan juga tidak memiliki harta”.Lalu Nabi SAW bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis dari kalangan umatku ialah seseorang yang datang pada hari kiamat dengan membawa pahala sembahyang, puasa dan zakat, tetapi (dahulunya sewaktu di dunia) ia pernah mencai maki si fulan, menuduh si fulan,memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu  daripada pahala kebaikan orang tadi dan begitu pula seterusnya terhadap orang lain yang pernah teraniaya, ia akan diberikan pula daripada pahala orang tadi, sehingga apabila telah habis pahalanya sedangkan bebanan dosa penganiayaannya belum lagi dijelaskan (belum dapat dibayar semua), maka akan diambil daripada kesalahan orang yang teraniaya itu lalu dibebankan kepada orang tersebut, maka selanjutnya orang itu akan dicampakkan ke dalam api neraka”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

 

6. BAGAIMANA KITA AKAN MENGHADAPI SAKARATUL MAUT

 ERTINYA :

Daripada Aisyah R.Anha berkata : “Aku melihat RAsulullah SAW sedang menghadapi sakaratul maut dan di sisinya ada sebuah mangkuk yang berisi air, kemudian beliau memasukkan tangannya ke dalam mangkuk lalu menyapu mukanya dengan air sambil berdoa : “Ya Allah ! Berikanlah pertolongan kepadaku untuk menghadapi kepedihan mati dan sakaratul maut”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI.

7. MAHKAMAH QADHI RABBUN JALIL

 ERTINYA :

Daripada “Adiy bin Hatim RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : “Tidak ada seorang jua pun di antara manusia ini kecuali (pada hari Kiamat nanti ) akan dipercakapi oleh Allah SWT (dihadapkan ke Mahkamah Allah SWT). Maka pada waktu itu tidak ada orang lain yang sanggup menjadi jurucakap antara keduanya (sebagai orang yang ketiga atau peguam). Lalu orang yang dipercakapi oleh Allah SWT tadi akan melihat ke sebelah kanannya, maka ia tidak melihat melainkan  hanya pahala kebaikan yang pernah ia lakukan ketika berada di dunia dahulu. Dan apabila ia cuba melihat ke sebelah kiri, maka ia tidak melihat kecuali hanya balasan perbuatan jahat yang pernah dilakukannya ketika berada di dunia dahulu. Kemudian apabila ia melihat ke hadapan maka ia tidak melihat kecuali hanya api neraka. Maka tanamkanlah rasa takut terhadap api neraka dan jauhilah seksaannya walaupun kalau kamu hanya mampu bersedekah dengan sebelah buah kurma sahaja”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

8. BERENANG DI LAUTAN PELUH

ERTINYA :

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda : ” Seluruh manusia akan berdiri di hadapan Tuhan Pencipta Alam ini (pada hari kiamat nanti), sehingga salah seorang di antara mereka ada yang akan tenggelam di dalam peluhnya sendiri sampai ke pertengahan telinganya”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

9. BERAPAKAH DALAMNYA JURANG API NERAKA?

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata : Adalah kami (pada suatu hari) bersama-sama dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba terdengar suara benda yang jatuh dengan keras, lalu beliau bersabda : “Tahukah kamu suara apakah ini?. Kami menjawab : “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui”. Lalu Nabi SAW bersabda : Ini adalah (suara) sebiji batu yang dilemparkan ke dalam api neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu, maka batu itu terus saja jatuh menuju dasar neraka dan baru pada saat ini ia sampai ke dasarnya. Maka dari itu kamu mendengar suara jatuhnya”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

10. MAJORITI PENGHUNI SYURGA DAN NERAKA

ERTINYA : 

Daripada Ibnu Abbas dan Imran Bin Hushain Radhiallahu Anhum daripada Nabi SAW sabdanya : ” Aku melihat ke dalam Syurga maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada kalangan orang-orang yang faqir. Dan aku melihat ke dalam Neraka maka aku melihat kebanyakan penghuninya adalah daripada golongan perempuan”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI MUSLIM.

11. JANGAN DIPERMUDAH DOSA YANG KECIL

ERTINYA :

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ” Ada seorang perempuan yang diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya (dipenjarakannya) sampai kucing itu mati. Wanita itu akan dimasukkan ke dalam api Neraka. Perempuan itu tidak suka memberi makanan dan minuman ketika ia memenjarakan kucing itu , juga ia tidak suka melepaskannya untuk bebas memakan dari binatang-binatang kecil yang melata di bumi”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

12. HINDARI DOA ORANG YANG KENA ZALIM

ERTINYA :

Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW mengutus Muaz ke negeri Yaman (untuk menjadi amir dan Qadhi), lalu beliau bersabda kepadanya : ” Hindarilah doa orang yang terkena zalim,maka sesungguhnya tidak ada antara doanya itu dan antara Allah SWT sebarang benda yang mendinding (menghalang)”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

13. DIUSIR DARI SYURGA

ERTINYA :

Daripada Abdullah Bin Mas’ud RA,Rasulullah SAW bersabda : ” Tidak akan masuk ke dalam Syurga seseorang yang ada di dalam hatinya sifat takbur (kesombongan) sekalipun hanya seberat debu”. Lalu ada salah seorang di antara sahabat yang bertanya: ” Sesungguhnya ada seseorang yang suka bahawa pakaiannya itu baik dan kasutnya baik”. Nabi SAW menjawab: ” Sesungguhnya Allah SWT itu indah dan suka kepada keindahan. Takbur itu menolak yang benar dan menghina orang lain”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

14. HANYA BEROLEH PENAT DAN LETIH BERJAGA MALAM

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda: ” Berapa banyak orang yang bersembahyang tetapi yang didapatinya dari sembahyangnya itu hanyalah letih berjaga malam sahaja”.

HADIS RIWAYAT NASAI

15. HANYA BEROLEH LAPAR DAN DAHAGA

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan tidak meninggalkan berkelakuan dengan dasar dusta (ertinya berdusta dengan anggota), maka Allah SWT tidak akan memberikan apa-apa ganjaran ke atas keletihannya meninggalkan makan dan minum (maksudnya berpuasa)

HADIS RIWAYAT BUKHARI

Dan dalam riwayat Imam an-Nasai juga daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda :

” Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tidak memperolehi daripada puasanya itu selain daripada lapar dan dahaga”.

16. PENUNTUT YANG RUGI

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Sesiapa yang belajar ilmu pengetahuan dari jenis ilmu yang sepatutnya dipelajari hanya untuk mencapai keredhaan Allah SWT (iaitu ilmu agama),tetapi ia mempelajari ilmu tersebut tidak lain tujuannya kecuali hanya untuk mencapai sesuatu tujuan keduniaan, maka orang yang sedemikian tadi tidak akan mencium bau wangi Syurga”.

HADIS RIWAYAT ABU DAUD

17. MUJAHID YANG SIAL

ERTINYA : 

Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA bahawasanya seorang Arab Badwi datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya : ” Ya Rasulullah, ada seseorang yang berperang dengan tujuan merebut harta rampasan, dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan supaya disebut-sebut namanya, dan ada pula seseorang yang berperang dengan tujuan untuk memperlihatkan betapa hebat peranannya”. Dan dalam riwayat lain ” Ada seseorang yang berperang untuk menunjukan keberaniannya, dan ada pula seseorang yang berperang untuk membalas dendam keluarganya (kerana ada di antara keluarganya yang telah terbunuh dalam peperangan yang lalu)”. Dan dalam riwayat yang lain ada pula disebutkan : ” Ada seseorang yang berperang kerana mahu melepaskan kemarahannya, maka yang mana di antara semua ini yang dianggap orang yang berperang fisabilillah?”. Rasulullah SAW menjawab : ” Sesiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimah Allah SWT (Agama Islam) menjadi tinggi maka orang itu sahajalah yang dikatakan berjihad fisabilillah”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

18. SYAHID, ALIM, QARI DAN DERMAWAN YANG AKAN MASUK NERAKA

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ” Sesungguhnya orang yang pertama sekali diputuskan hukumannya pada hari Kiamat nanti ialah seorang lelaki yang mati syahid. Ia akan dihadapkan (kepada Allah SWT) lalu Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu berada di dunia dahulu, maka ia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah SWT lalu bertanya kepadanya :” Apa yang engkau telah buat dengan nikmat yang telah Kuberikan kepadamu itu?”. Ia menjawab : ” Nikmat itu telah saya gunakan untuk berperang kerana membela agamaMU sehingga aku gugur sebagai syahid”. Allah SWT berkata kepadanya : ” Engkau bohong ! Sebenarnya engkau berperang adalah dengan tujuan supaya engkau disebut-sebut sebagai seorang yang berani, dan telah pun dikatakan orang begitu kepadamu”. Orang itu lalu diheret ke atas mukanya sehingga ia dicampakkan ke dalam neraka.

Kemudian dihadapkan pula seorang lelaki yang belajar ilmu agama dan ia mengajarkannya kepada orang lain serta banyak membaca Al Quran. Lalu Allah SWT mengingatkannya akan nikmat yang pernah dianugerahkan kepadanya sewaktu berada di dunia dahulu dan ia pun kembali mengingatinya, kemudian Allah SWT lalu bertanya kepadanya : ” Apa yang telah engkau buat terhadap nikmat itu?”. Ia lalu menjawab : ” Aku telah belajar ilmu agama dan mengajarkannya kepada orang lain dan aku juga membaca Al Quran untuk mencari KeredhaanMu”. Allah SWT berkata kepadanya : ” Engkau bohong, ! Sebenarnya engkau belajar ilmu supaya engkau disebut-sebut sebagai orang yang alim dan engkau membaca Al Quran supaya engkau dikatakan seorang Qari yang pandai membaca Al Quran, dan telahpun dikatakan orang begitu kepadamu”. Orang itu lalu diheret ke atas mukanya sehingga ia dicampakkan ke dalam api neraka.

Kemudian dihadapkan pula seorang dermawan yang telah diluaskan Allah SWT  akan rezekinya dan dikurniakan kepadanya bermacam-macam harta benda. Lalu Allah SWT mengingatkannya terhadap nikmat yang telah dianugerahkannya, maka ia pun mengingatinya kembali. Kemudian Allah SWT  bertanya kepadanya : ” Apa yang telah engkau perbuat ke atas nikmat yang telah Aku anugerahkan itu?”. Ia menjawab : ” Tiada suatu jalan pun yang engkau mahukan supaya diberikan derma kepadanya kecuali telah saya dermakan harta saya kepadanya”. Allah SWT berkata kepadanya : ” Engkau bohong ! Engkau menderma supaya engkau disebut-sebut sebagai seorang dermawan, dan telah pun dikatakan orang begitu kepadamu”. Orang itu lalu diheret di atas mukanya sehingga dicampakkan ke dalam api neraka”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

19. PENDAKWAH YANG MALANG

ERTINYA :

Daripada Abu Zaid Usamah Bin Zain Bin Haritshah R.Anhuma berkata : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ” Akan didatangkan seorang lelaki pada hari Kiamat nanti lalu dilemparkan ke dalam api neraka sehingga terkeluarlah isi perutnya kemudian lalu ia berpusing (di tengah-tengah) unggunan api neraka) seperti berpusingnya seekor keldai di tempat penggilingan gandum, Para penghuni neraka terkejut melihat kejadian ini lalu mereka segera berhimpun di sekelilingnya sambil berkata kepadanya : ” Hai Fulan ! Mengapa engkau jadi begini? Bukankah dahulu (sewaktu di dunia) engkau suka menyuruh orang berbuat kebaikan dan melarang mereka daripada kemungkaran?”. Lalu orang itu menjawab : ” Ya benar. Dahulunya aku suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan, tetapi aku tidak melakukannya, dan aku suka melarang orang lain daripada kemungkaran, tetapi aku sendiri melakukannya”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

20. KENAPA DOA DITOLAK

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Sesungguhnya Allah SWT itu baik dan Dia tidak menerima kecuali yang baik juga dan sesungguhnya Allah SWT telah menyuruh orang-orang yang beriman dengan apa yang Ia suruh kepada sekalian Para Rasul, maka Allah SWT berfirman (seperti yang disebutkan dalam hadis di atas,yang maksudnya): ” Hai sekalian Rasul ! Makanlah daripada yang baik-baik (yang halal) dan beramallah akan amalan yang baik”. Dan Ia berfirman pula : ” Hai orang-orang yang beriman ! Makanlah dari segala yang baik yang telah Kami berikan rezeki kepada kamu”. Kemudian Nabi SAW menyebut seorang lelaki yang jauh perjalanannya, kusut rambutnya, berdebu badannya, mengangkatkan kedua tangannya ke langit sambil berdoa : Ya Rabbi, Ya Rabbi (Wahai Tuhanku), sedangkan makannya dari harta yang haram, minumannya dari harta yang haram, pakaiannya dari harta yang haram dan mulutnya disuapkan makanan yang haram, maka bagaimana akan diperkenankan doanya”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

21. JAUHI TUJUH PEMBINASA

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda : ” Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan”. Sahabat bertanya : ” Ya Rasulullah! Apakah tujuh pembinasa itu?”. Nabi SAW menjawab : ” Menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran menurut syara’, memakan harta riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan pertempuran (di waktu berkecamuk peperangan) dan menuduh berzina terhadap perempuan-perempuan mu’minah yang baik, yang selalu menjaga diri dari perbuatan yang keji”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

22. GOLONGAN YANG AKAN DISEKAT DARI TELAGA KAUTHAR

ERTINYA :

Daripada Asma’ Binti Abu Bakar Ash-Shiddiq R.Anhuma berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Ketika aku sedang berdiri di tepi telagaku (telaga al-Kauthar, iaitu pada hari kiamat nanti) sambil menunggu orang-orang yang datang meminum daripadanya, maka tiba-tiba ada orang-orang yang disekat daripada sampai ke sisiku (ke tepi telagaku). Lalu aku berkata : ” Bukankah mereka itu juga dahulunya daripada umatku?”. Maka dikatakan orang kepadaku : ” Ya benar, tetapi engkau tidak mengetahui bahawa mereka setelah itu kembali ke belakang (berpaling tadah atau meninggalkan ajaranmu)”. Berkata Ibnu Abi Mulaikah (salah seorang di antara perawi hadis): ” Ya Allah! Kami berlindung denganMu daripada kembali kepada kekufuran atau kami diuji dengan ujian yang berat”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI

23. KENAPA NERAKA YANG DIPILIH

ERTINYA :

Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda : ” Perumpamaan aku dan perumpamaan kamu adalah seperti seorang lelaki yang duduk berdekatan unggunan api maka banyaklah belalang dan rama-rama (kelkatu) yang menjatuhkan diri ke dalam api itu, maka orang itu berusaha sedaya upaya untuk menyekat binatang-binatang tadi supaya jangan sampai jatuh ke dalamnya. Aku (Rasulullah SAW) berusaha memegang simpulan kain kamu supaya kamu jangan jatuh ke dalam jurang api neraka, namun ramai di kalangan kamu yang masih juga hendak melepaskan diri daripada peganganku”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

Dan dalam hadis yang lain riwayat daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : ” Semua umatku akan masuk ke dalam Syurga, melainkan orang yang enggan. Sahabat merasa hairan lalu bertanya ” Ya Rasulallah! Siapa yang tidak suka masuk Syurga?” Rasulullah SAW menjawab : ” Sesiapa yang taat kepadaku bererti dia mahu masuk Syurga dan sesiapa yang menyalahi ajaranku maka orang itulah yang tidak mahu masuk Syurga”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI

24. KERANA MULUT BADAN BINASA

ERTINYA :

Daripada Muaz bin Jabal RA (dalam sebuah hadis yang panjang)………………………Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda : ” Sukakah engkau (hai Muaz)! aku khabarkan tentang asa perkara ini (asas agama Islam) dan tiang-tiangnya serta puncaknya? Lalu Muaz menjawab : ” Baiklah Ya Rasulallah”. Beliau SAW bersabda : ” Asas perkara ini adalah Islam, dan tiang-tiangnya adalah sembahyang dan puncaknya adalah Jihad”.Kemudian Baginda SAW bersabda lagi : ” Sukakah aku khabarkan kepada engkau punca bagi yang demikian itu semuanya?”. Aku menjawab : ” Baiklah Ya Rasulallah “. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya sambil bersabda : ” Peliharalah ini baik-baik”. Aku bertanya : ” Ya Rasulallah! Apakah kami akan diseksa dari sebab lidah kami?”. Lalu Nabi SAW menjawab : ” Ibu engkau kehilangan engkau, bukankah ramai nantinya orang yang akan disungkurkan (dicampakkan) ke dalam neraka adalah berpunca dari kerana mulut mereka sendiri”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

25. SEPATAH KATA YANG MENCEMAR AIR LAUTAN

ERTINYA :

Daripada Aisyah R.Anha berkata : ” Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW : ” Cukuplah bagimu Shofiyyah itu begini-begini”. Berkata setengah daripada perawi hadis : ” Yang dimaksudkan Aisyah bahwa Shofiyyah itu pendek atau rendah orangnya”. Maka Rasulullah SAW bersabda : ” Engkau telah menuturkan satu kalimah yang jikalau dicampur dengan air lautan nescaya kalimah itu akan membusukkannya”. Dan berkata pula Aisyah R.Anha : ” Pernah aku ceritakan kepada Rasulullah SAW tentang hal seseorang”, lalu beliau SAW bersabda : ” Aku tidak suka menceritakan hal seseorang sesungguhnya walaupun diberilan kepadaku begini-begini”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

26. KENAPA HATI MENJADI KERAS

ERTINYA :

Daripada Ibnu Umar R.Anhuma berkata : Rasulullah bersabda : ” Janganlah memperbanyak percakapan selain untuk berzikir kepada Allah SWT, maka sesungguhnya banyak bercakap selain berzikir kepada Allah SWT itu adalah menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Dan sesungguhnya sejauh-jauh manusia daripada Allah SWT ialah mereka yang berhati keras”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

27. PELUANG YANG TIDAK DIREBUT

ERTINYA :

Daripada Abdullah Bin Abbas R.Anhuma berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Ada dua macam nikmat yang selalu disia-siakan oleh sebahagian besar manusia, iaitu nikmat sihat dan nikmat kelapangan masa”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI

28. TAWARAN ISTIMEWA YANG KEKURANGAN PELANGGAN

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ” Seandainya orang ramai mengetahui betapa besar pahala azan dan menepati saf pertama (di masa sembahyang berjemaah), kemudian mereka tidak menemukan jalan untuk memperolehinya melainkan dengan membuat undi (atau giliran) nescaya mereka akan berbuat demikian. Juga seandainya mereka mengetahui betapa besarnya pahala bersegera (pergi ke masjid) untuk melakukan sembahyang berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Demikian pula seandainya mereka mengetahui betapa besarnya pahala sembahyang Isyak dan Subuh secara berjemaah, nescaya mereka akan datang untuk menghadirinya sekalipun mereka terpaksa berjalan dengan merangkak-rangkak”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

29. BERAMALLAH SEBELUM TERLAMBAT

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ” Bersegeralah kamu melakukan amalan kebaikan sebelum menemui tujuh perkara. Kamu sebenarnya tidak menanti melainkan tibanya (1) kefaqiran yang melalaikan (2) atau kekayaan yang menyebabkan kezaliman (3) atau sakit yang merosakkan badan (4) atau usia tua yang (menggagapkan) percakapan, (5) atau kematian yang melenyapkan segala sesuatu (6) atau tibanya Dajjal,maka ia adalah sejahat-jahat makhluk ghaib yang dinantikan, (7) atau tibanya hari qiamat, maka hari qiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit lagi “.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

30. BENGKAK KAKI KERANA BANYAK SEMBAHYANG MALAM

ERTINYA :

Daripada Aisyah R.Anha berkata : ” Bahawasanya Rasulullah SAW selalu beribadat di waktu malam sehingga bengkak kedua kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya :  “Kenapa engkau beribadat sampai jadi begini Ya Rasulallah?,sedangkan Allah SWT telah mengampuni dosamu yang terdahulu dan dosamu yang terkemudian (seandainya beliau berdosa,padahal sebenarnya beliau Ma’sum dari berbuat dosa). Lalu Nabi SAW menjawab : ” Bukankah lebih elok kalau aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur “.

HADIS RIWAYAT BUKHARI

31. TIGA BULAN DAPUR TIDAK BERASAP

ERTINYA :

Daripada ‘Urwah daripada Aisyah R.Anha bahawasanya Aisyah R.Anha pernah berkata kepada ‘Urwah bin Zubair : ” Demi Allah, hai anak saudaraku, sesungguhnya pernah kami melihat anak bulan, kemudian melihat pula anak bulan yang lain dan kemudian melihat pula anak bulan berikutnya, iaitu tiga kali melihat anak bulan bererti sudah dua bulan penuh masuk ke tiga bulan, sedangkan di rumah-rumah keluarga Rasulullah SAW tidak pernah dinyalakan api (untuk memasak sesuatu). Saya (‘Urwah) bertanya : ” Hai emak saudaraku, maka apakah yang menjadi makanan dalam kehidupan keluarga Rasulullah?”. Aisyah R.Anha lalu menjawab : ” Hanyalah dua benda sahaja, iaitu buah tamar dan air sejuk, dan hanya sahaja Rasulullah SAW mempunyai beberapa orang jiran daripada kalangan orang-orang Anshar, mereka mempunyai beberapa ekor unta yang diperah susunya dan dari masa ke semasa dihantar susu tersebut ke rumah Rasulullah SAW sebagai minuman kami”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

32. NABI SAW BIMBANG DENGAN KEKAYAAN UMATNYA

ERTINYA :

Daripada Amr bin ‘Auf Al-Anshari RA bahawasanya Rasulullah SAW menghantar Abu Ubaidah bin Al-Jarrah RA ke negeri Bahrain untuk mengutip uftinya (pajaknya). Kemudian (pada suatu malam) datanglah ia membawa harta itu dari Bahrain. Kaum Anshar mendengar akan kedatangan Abu Ubaidah tadi, lalu ramai di kalangan mereka yang bersembahyang Subuh bersama Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW selesai sembahyang, beliau terus pulang ke rumah, maka ramai orang pergi menuju ke rumah beliau untuk menemuinya. Rasulullah SAW lalu keluar dari rumahnya sambil tersenyum melihat tindakan sahabat-sahabatnya seraya bersabda :

” Barangkali kamu semua mendengar dengan kedatangan Abu Ubaidah (malam tadi) membawa sesuatu daripada Bahrain?” Mereka menjawab : ” Benar Ya Rasulallah “. Beliau selanjutnya bersabda : ” Ya!, bergembiralah kamu semua dan bolehlah kamu mengharapkan sesuatu yang akan menyeronokkan kamu. Demi Allah, aku tidak bimbang kalau kamu berhadapan dengan kefaqiran, tetapi yang sangat aku bimbangkan apabila kamu berhadapan dengan kekayaan, apabila dunia telah diluaskan bagi kamu sekalian seperti mana pernah diluaskan kepada umat-umat sebelum kamu. Kemudian kamu akan berebut-rebutan seperti mereka dahulu juga berebut-rebutan, maka akibatnya dunia itu akan membinasakan kamu seperti ia telah membinasakan mereka dahulu”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

33. MASA YANG PALING SESUAI UNTUK BERSEDEKAH

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya : ” Ya Rasulallah ! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya?”. Nabi SAW menjawab : ” Iaitu sedekah yang engkau berikan sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan sebenarnya engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), kerana engkau taku menjadi faqir dan engkau berangan-angan menjadi kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan-nangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkongan lalu ketika itu baru engkau berkata ” Untuk si Fulan ini sekian, untuk si Fulan itu sekian dan sebenarnya harta engkau pada ketika itu memang akan dimiliki (diwarisi oleh orang lain”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

34. BILA UMUR SUDAH MENCAPAI 60 TAHUN

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya : ” Allah SWT sudah tidak mahu menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga ia sampai berumur 60 tahun ” (sedangkan ia mati dengan tidak sempat berbuat ibadat).

HADIS RIWAYAT BUKHARI

35. KEMATIAN ADALAH SUATU KEPASTIAN

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Perbanyaklah olehmu mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan “.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

36. JAUHI TEMPAT REHAT YANG SEMPIT

ERTINYA :

Daripada Abu Sa’id Al-Khudri RA berkata : ” (Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk ke tempat sembahyangnya dan beliau melihat beberapa orang di kalangan sahabat yang tertawa terbahak-bahak, lalu beliau bersabda : ” Jikalau kamu memperbanyak mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan-mati-, nescaya aku dapati kamu bukan seperti keadaanmu sekarang ini. Oleh itu perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang memutuskan segala kelazatan-mati-, maka bahawasanya tidak berlalu satu hari ke atas kubur melainkan kubur berkata (kepada manusia) : ” Akulah tempat perasingan, akulah tempat persendirian, akulah rumah tanah, akulah tempat yang penuh dengan ulat “. Maka apabila dikuburkan seseorang yang beriman, kubur akan berkata kepadanya : ” Selamat datang untukmu, sesungguhnya engkau adalah orang yang paling kukasihi yang berjalan di atas belakangku. Pada hari ini urusanmu telah diserahkan kepadaku, maka engkau akan melihat betapa aku akan berbuat baik bagimu. Lalu kubur itu akan meluas sejauh mata memandang dan dibukakanlah baginya satu pintu yang dapat menyampaikannya ke dalam Syurga.

Dan apabila dikuburkan seseorang yang sangat banyak melakukan maksiat atau (syak perawi hadis) seseorang yang kafir, maka kubur akan berkata kepadanya : ” Tidak ada ucapan selamat datang bagimu, sesungguhnya engkau adalah yang paling kubenci yang berjalan di atas belakangku. Pada hari ini segala urusanmu telah diserahkan kepadaku, maka engkau akan melihatlah betapa aku akan membalas perbuatanmu “. Lalu kubur itu menghimpitnya sehingga berselisih tulang-tulang rusuknya “. Ketika Rasulullah SAW menceritakan kejadian ini beliau menyilang di antara jari-jemari tangannya, kemudian beliau SAW bersabda lagi : ” Maka Allah SWT mengerahkan kepadanya 70 ekor ular yang sangat berbisa. Jikalau hanya seekor daripadanya menyemburkan bisanya ke atas permukaan bumi ini, pasti tidak akan tumbuh lagi sebarang tanaman sampai ke akhir umur dunia nanti. Maka ular-ular yang berbisa tadi menggigit dan melukainya dan teruslah ia dalam keadaan yang sedemikian itu sehingga sampai waktu untuk dihisab di hadapan Allah SWT. Begitulah keadaan sesebuah kubur ; adakalanya merupakan satu taman di antara taman-taman Syurga atau salah satu lubang daripada lubang-lubang api  neraka “.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

37. SIAPA ORANG YANG BIJAK

ERTINYA :

Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus RA daripada Rasulullah SAW sabdanya : ” Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang lemah (tidak cerdik) ialah orang yang selalu mengikuti hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah SWT. (untuk mendapat kebahagiaan dan pengampunan daripadaNya tanpa beramal soleh)”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

38. PAHALA YANG BERTERUSAN

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ” Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah amalnya melainkan daripada TIGA sumber sahaja, iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak yang soleh yang akan mendoakan untuknya”

HADIS RIWAYAT MUSLIM

39. SUMBER PAHALA ITU BANYAK

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Setiap sendi daripada manusia hendaklah memberikan sedekah pada setiap hari yang terbit padanya matahari. Berlaku adil antara dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah. Menolong orang lain pada binatangnya (kenderaannya) maka engkau menolongnya menaiki kenderaan atau membantu mengangkatkan barangnya ke atas kenderaannya adalah juga sedekah. Perkataan yang baik juga sedekah. Setiap langkah yang engkau jalani untuk pergi sembahyang (berjemaah) juga sedekah. Engkau menyisihkan apa-apa yang dapat mengganggu di jalan itu juga sedekah”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM.

Dalam riwayat lain, Imam Muslim pernah meriwayatkan daripada Aisyah R.Anhu Rasulullah SAW bersabda : ” Bahawasanya setiap insan daripada anak Adam adalah diciptakan badannya daripada TIGA RATU ENAM PULUH sendi. Maka sesiapa yang bertakbir, memuji Allah, bertahlil, bertasbih, meminta ampun, menyisihkan sebiji batu yang mengganggu di jalan orang ramai, atau membuang sebilah duri atau sepotong tulang dari jalan orang ramai, atau menyuruh berbuat baik atau mencegah dari perbuatan mungkar, sehingga apa yang dilakukannya mencukupi bilangan TIGA RATUS ENAM PULUH kali, maka orang tersebut pada hari itu telah menjauhkan dirinya daripada api neraka”.

40. RAHMAT YANG LUAS DAN PENGAMPUNAN YANG BERKEKALAN

ERTINYA :

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW, pada suatu riwayat yang Baginda meriwayatkan daripada Allah SWT (ertinya dalam hadis qudsi) sabdanya : ” Apabila seseorang hamba itu melakukan dosa lalu ia berdoa : ” Ya Allah, ampunilah dosaku” maka Allah SWT berfirman baginya: ” HambaKu melakukan sesuatu yang berdosa lalu ia memahami bahawa ia mempunya Tuhan yang dapatmengampuni dosanya atau boleh juga menjatuhkan hukuman dengan sebab adanya dosa itu”. Kemudian apabila hamba itu kembali berbuat dosa lalu ia berdoa pula: ” Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku”, maka Allah SWT berfirman: ” HambaKu telah berbuat dosa dan ia memahami bahawa ia mempunyai Tuhan yang mengampuni segala dosa atau boleh pula menyeksa dengan sebab dosa itu”. Kemudian hamba itu sekali lagi berbuat dosa maka ia lalu berkata: ” Ya Tuhanku ampunkanlah dosaku”, maka Allah SWT lalu berfirman kepadanya: ” HambaKu berbuat dosa dan ia menyedari bahawa baginya ada Tuhan yang mengampuni segala dosa dan boleh menyeksa dengan sebab dosa itu. Sesungguhnya Aku mengampuni segala dosa hambaKu, maka hendaklah ia berbuat sesuka hatinya”.

HADIS RIWAYAT BUKHARI & MUSLIM

41. PINTU TAUBAT MASIH TERBUKA

ERTINYA :

Daripada Abu Abdirrahman Abdullah bin Umar bin Al-Khattab R.Anhuma daripada Rasulullah SAW bersabda: ” Bahawasanya Allah Azza Wa Jalla menerima taubat seseorang hamba selama rohnya masih belum sampai ke halqum (kerongkong)”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI

Dan daripada Abu Musa Abdullah bin Qais al-Asy’ari RA berkata: Rasulullah SAW bersabda : ” Bahawasanya Allah SWT menghuraikan tanganNya (rahmatNya) di waktu malam supaya bertaubat orang yang berbuat dosa di waktu siang dan Ia menghuraikan tanganNya (rahmatNya) di waktu siang supaya bertaubat orang yang berbuat dosa di waktu malam, sehingga terbit matahari dari tempat tenggelamnya”.

HADIS RIWAYAT MUSLIM

42. JANGAN BERPUTUS ASA

ERTINYA :

Daripada Anas RA berkata : Rasulullah SAW bersabda : ” Allah SWT telah berfirman (dalam hadis qudsi) : ” Hai anak Adam ! Selama engkau masih berdoa dan berharap kepadaKu, Aku mengampuni bagimu akan segala dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli (walaupun dosa itu banyak sekali). Hai anak Adam ! Jikalau seandainya dosamu itu sampai ke atas awan yang ada di langit, kemudian kamu datang mengharapkan keampunan daripadaKu nescaya Aku berikan keampunan kepadamu. Hai anak Adam ! Sesungguhnya jikalau engkau datang kepadaKu membawa dosa sepenuh bumi ini, kemudian engkau datang menemui Aku pada hal engkau tidak mempersekutukan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan datangkan kepadamu sepenuh bumi pula keampunan”.

HADIS RIWAYAT TIRMIZI