Swaakreditasi

Status swaakreditasi melayakkan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mengakredit program pengajiannya sendiri kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi serta pengiktirafan badan profesional yang berkenaan.

Peruntukan undang-undang bagi Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) melaksanakan perkara-perkara yang berkaitan dengan swaakreditasi terkandung dalam Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 (Akta 679).

Bab 4 Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007 mengandungi peruntukan-peruntukan bagi pemberi pendidikan tinggi swaakreditasi:

  1. Seksyen 61 menggariskan peruntukan bagi permohonan status swaakreditasi atas undangan Y.B. Menteri dan bagi MQA melaksanakan audit institusi sebelum perakuan status swaakreditasi dikeluarkan.
  2. Seksyen 62 menerangkan tentang permohonan IPT swaakreditasi untuk mendaftar program pengajian mereka yang telah diakredit dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR).
  3. Seksyen 63 menggariskan perkara-perkara tentang sijil perakuan swaakreditasi serta sijil perakuan akreditasi program.
  4. Seksyen 64 adalah mengenai pembatalan status swaakreditasi atau pembatalan pendaftaran.

MQA telah menerbitkan Kod Amalan Audit Institusi (Code of Practice for Institutional Audit, COPIA) sebagai panduan untuk melaksanakan audit institusi secara am, termasuk audit institusi bagi tujuan penganugerahan status swaakreditasi.

Seksyen 2 COPIA menggariskan standard dan kriteria yang diguna pakai untuk menilai (audit) sesebuah institusi berdasarkan sembilan bidang penilaian bagi jaminan kualiti. Bagi tujuan penganugerahan status swaakreditasi, kriteria penting yang diberi penekanan khusus ialah sesebuah IPT perlu mempunyai sistem jaminan kualiti dalaman yang robust.

Pada 28 November 2008, Y.B. Menteri Pengajian Tinggi telah mempelawa kumpulan pertama institusi pengajian tinggi untuk memohon status swaakreditasi. Kumpulan pertama ini terdiri daripada lapan IPT, iaitu empat universiti penyelidikan serta empat kampus cawangan universiti luar negara yang kampus induknya di negara asal berstatus swaakreditasi. Lapan IPT tersebut adalah seperti berikut:

  1. Universiti Malaya
  2. Universiti Sains Malaysia
  3. Universiti Kebangsaan Malaysia
  4. Universiti Putra Malaysia
  5. Monash University Sunway Campus
  6. The University of Nottingham Malaysia Campus
  7. Swinburne University of Technology Sarawak Campus
  8. Curtin University of Technology Sarawak Campus

Bagi memohon status tersebut, kesemua IPT di atas telah menghantar dokumen Self-Review Portfolio kepada MQA untuk penilaian. MQA telah melaksanakan audit institusi secara komprehensif berdasarkan COPIA dengan penekanan khusus terhadap sistem jaminan kualiti dalaman IPT berkenaan.

Pada 17 Mei 2010, Y.B. Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyerahkan Sijil Swaakreditasi kepada kesemua lapan IPT di atas dalam satu majlis ringkas. Penganugerahan status swaakreditasi IPT tersebut berkuatkuasa pada 29 April 2010.

Pada 22 September 2010, Y.B. Menteri Pengajian Tinggi telah mempelawa sebuah lagi IPT untuk memohon status swaakreditasi iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) setelah UTM memperoleh taraf universiti penyelidikan. MQA telah melaksanakan audit terhadap UTM selepas menerima permohonan daripada universiti tersebut. UTM telah dianugerahkan status swaakreditasi berkuatkuasa pada 29 Mac 2013.

sumber: MQA, http://www.mqa.gov.my/PortalMQAv3/default/bm/swaakreditasi.cfm