DARI MEJA TIMBALAN NAIB CANSELOR (HEMA)

Selamat datang ke Universiti Teknologi Malaysia!

Kami berasa teruja kerana anda telah memilih UTM sebagai destinasi pilihan bagi memenuhi keperluan akademik dan penyelidikan anda sekalian.

UTM beroperasi dari kampus utama Johor Bahru, dan kampus cawangan Kuala Lumpur. Kita mempunyai lebih daripada 24,000 mahasiswa yang melanjutkan pengajian mereka dari peringkat ijazah sarjana muda sehingga ke peringkat PhD, dengan 3,200 mahasiswa antarabangsa berasal dari 60 negara. Lebih daripada 85 peratus daripada staf akademik UTM berkelayakan PhD. Kita juga berbangga kerana menjadi antara 100 universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Mahasiswa UTM banyak membanggakan pihak universiti. Mereka menganjurkan lebih daripada 500 aktiviti pembangunan mahasiswa setiap tahun. Mereka mewakili universiti di pelbagai pertandingan dan kejohanan di dalam dan luar negara, dan telah mendapat anugerah dan pengiktirafan bagi usaha mereka. Kita mempunyai hubungan yang kukuh dengan lebih daripada 1,200 organisasi dari pelbagai industri, memberi mereka capaian kepada kumpulan bakat terbaik dari UTM.

Staf UTM aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti penyelidikan dan pembangunan. Mereka bekerjasama dengan wakil industri dan ahli komuniti, berkongsi pengetahuan dan kepakaran dengan masyarakat. Mereka juga berusaha untuk membantu mahasiswa kita mencapai potensi sepenuhnya menerusi khidmat rundingan akademik, serta pelbagai peluang pembangunan kerjaya dan pembangunan sahsiah.

Universiti mengamalkan budaya kelestarian dalam segala teras kerja utamanya. UTM merupakan organisasi pertama di rantau Asia Tenggara yang diberi pengiktirafan 3 bintang Energy Management Gold Standard (EMGS) di bawah penarafan ASEAN Energy Management Scheme (AEMAS). Kampus Johor Bahru UTM berada di persekitaran hijau, dan orang ramai digalakkan untuk melawat kampus tersebut bagi pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi bersama – sama dengan komuniti UTM.

Kepada semua rakan – rakan, pelawat dan tetamu, kami mengalu – alukan kedatangan tuan – tuan dan puan – puan sekalian untuk datang dan membina pengalaman pendidikan tinggi bersama – sama UTM. Kami juga berminat untuk meneroka pelbagai peluang kerjasama dengan anda.

Jumpa lagi!

Prof. Dato’ Dr. Mohd. Ismail B. Abd Aziz
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni)
Universiti Teknologi Malaysia

Hak Cipta Terpelihara @2016-2017    |    Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa & Alumni, UTM Kuala Lumpur