KIK platform tingkat mutu perkhidmatan UTM

JOHOR BAHRU 29 Dis. – Kakitangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) disaran untuk menjadikan Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) sebagai platform bagi meningkatkan lagi mutu perkhidmatan universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk Dr. Marzuki Khalid berkata, konvensyen KIK yang diperkenalkan sejak 2005 itu memberi peluang kepada tenaga kerja dan kakitangan universiti membentangkan hasil projek yang telah dijalankan.

Jelas beliau, ia kemudian akan diaplikasikan bagi penambahbaikan mutu kerja dan perkhidmatan sekali gus memberikan kepuasan kepada para pelanggan terutama penuntut universiti berkenaan.

”Saya berharap konvensyen ini akan terus dijadikan medan untuk meningkatkan lagi mutu kerja dan perkhidmatan di fakulti masing-masing pada masa akan datang.

”Dekan-dekan fakulti juga diharap dapat memberi sokongan dan penghargaan kepada kakitangan mereka yang telah banyak meluangkan masa dan tenaga bagi menjayakan konvensyen ini,” katanya ketika berucap sempena majlis penutupan konvensyen KIK peringkat UTM, di sini hari ini.

Sebanyak sembilan kumpulan antaranya daripada Fakulti Pendidikan, Fakulti Sains, Perpustakaan Sultanah Zanariah dan Pejabat Pendaftar mengikuti konvensyen selama dua hari bermula semalam.

Pasukan 5K dari Bahagian Perpusatakaan Sultanah Zanariah muncul sebagai Kumpulan Terbaik dan Persembahan Terbaik bagi kategori teknikal sekali gus membawa pulang wang tunai keseluruhan RM2,500, piala iringan, piala pusingan dan sijil penghargaan.

Kumpulan Inspire dari Bahagian Pengurusan Modal Indan (HMC), Pejabat Pendaftar turut memenangi kategori pengurusan bagi Persembahan Terbaik manakala kumpulan Elit dari Fakulti Pendidikan memenangi kategori pengurusan bagi Kumpulan Terbaik.

Sementara itu, ketua pasukan 5K, Salihudin Bakri, 27, berkata pasukannya mencipta sistem ‘aesy’ bagi memudahkan lagi para pelanggan mencari buku rujukan di perpustakaan berkenaan.

Sumber: Utusan  Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_02.htm