Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh/Salam Sejahtera,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dianugerahkan Status Swaakreditasi oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Ianya diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi YB Dato’ Seri Khalid Nordin semasa Majlis Penutupan Rasmi Program Jom Masuk U di Persada Johor pada 13 April 2013. Status tersebut membolehkan UTM mengakreditasi program akademiknya secara kendiri, kecuali program profesional yang memerlukan akreditasi dan pengiktirafan badan profesional berkaitan. Penganugerahan in merupakan satu pengiktirafan kepada UTM dan keyakinan KPT dan MQA kepada mekanisme jaminan kualiti dalaman.
Unit Kualiti Universiti sebagai urus setia Audit Penilaian Swaakreditasi UTM ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak-pihak yang telah membantu sehingga UTM berjaya mencapai status ini:
- YBhg Datuk Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti yang memberi dorongan, sokongan dan kerjasama sebelum, semasa dan selepas lawatan audit;
- YBhg Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Induk dan semua ahli jawatankuasa yang telah merancang dan memandu dalam persediaan dokumen dan persediaan keperluan ke arah menjadikan UTM berstatus institusi swaakreditasi;
- Semua ahli jawatankuasa pelaksana dari pelbagai Pusat Tanggungjawab dalam memastikan sesi lawatan audit berjalan lancar dan mencapai matlamatnya;
- Semua panel penulis dan penyunting Laporan Portfolio Penilaian Kendiri MQA-03 serta penyedia bahan sokongan yang telah mendokumentasi dan melengkapkan pelaporan semua aspek bidang penilaian;
- Semua auditor dalam yang telah melaksanakan tanggungjawab pra audit sebagai persediaan kepada PTJ dalam menghadapi lawatan audit sebenar;
- Semua auditee dari kalangan pengurusan tertinggi universiti, dekan fakulti/sekolah, ketua bahagian, wakil senat, timbalan-timbalan dekan, ketua-ketua jabatan, wakil pengurusan kualiti fakulti, staf akademik, staf bukan akademik, wakil industri/pihak berkepentingan, wakil alumni, wakil kolej/pusat kerjasama, dekan/pengarah dan staf yang terlibat dalam lawatan tapak dan pelajar dari pelbagai peringkat yang seia dan sekata dalam pengesahan dan perkongsian maklumat universiti;
- Semua krew majlis pembukaan dan penutup audit dan majlis penganugerahan yang sama menyumbang untuk kelancaran majlis;
- Semua pemandu yang setia dan berhemah;
- Semua staf Unit Kualiti Universiti yang komited dan berkorban dalam memastikan agenda kualiti universiti terlaksana;
- Dan semua pihak lain yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan Audit Penilaian Swaakreditasi UTM.
Semoga usaha ikhlas kita diberkati Allah dan wawasan universiti untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik dan teknologi bertaraf dunia dengan semangat Jiwa Akademia melalui kerangka Akademia Baharu dapat dicapai.
Terima kasih.
Inovatif ● Entrepreneurial ● Global
Prof. Dr. Abdul Samad Ismail
Pengarah
Unit Kualiti Universiti